Kehadiran Puan Melati, guru matematik tambahan itu ke dalam kelas 5 Sains, menjadikan seisi kelas senyap sepi.
Awani yang sedang menyiapkan laporan eksperimen fiziknya lantas menyimpan kertas dan alat tulis di bawah meja. Puan Melati sangat tidak suka melihat meja pelajarnya bersepah. Dan jika dia dapat tahu ada pelajar yang menyiapkan kerja rumah sewaktu dia mengajar, bersedialah untuk menghadap panas mentari selama sejam di tengah padang.
Puan Melati berdehem kuat. Semua mata beralih memandangnya yang sedang berpeluk tubuh di samping meja guru. Di tangannya terdapat sehelai kertas putih yang Awani pasti adalah kerja rumah mereka nanti.
"Baiklah, pelajar. Di tangan saya ni adalah kerja khusus kamu untuk subjek matematik tambahan. Memandangkan kamu semua dah tau, ini subjek wajib lulus bagi yang nak masuk uni dan sebagainya, sila ambil perhatian apa yang saya nak cakap ni..."
Puan Melati mengambil nafas seketika. Dia tahu ada pelajarnya yang tengah mengeluh dan tidak suka dengan apa yang disampaikannya tadi. Tetapi dia juga tahu mereka tak boleh mengelak untuk menyiapkan kerja khusus yang penting ni.
"Jumlah markah untuk kerja khusus ni cuma 20 markah. Saya tahu markah ni memang rendah, tapi tak bermakna kamu boleh buat kerja sambil lewa. Markah daripada kerja khusus ni boleh ditambah dalam markah trial kamu nanti dan mungkin boleh tolong kamu lulus."
Keterangan Puan Melati menerima pelbagai reaksi dari pelajar 5 Sains. Ada yang teruja, ada yang masih tidak suka dan ada juga yang blur dengan apa yang perlu dibuat. Puan Melati memberikan setumpuk kertas putih kepada Alfi untuk diedarkan kepada seisi kelas.
Awani yang pertama menerima kertas tersebut lantas meneliti isi kandungannya. Lakaran silinder beserta ukuran panjangnya menarik perhatian gadis bermata empat itu. Dia kemudian beralih untuk membaca soalan di bawah lakaran tersebut namun suara Puan Melati membuatkan Awani mendongak kembali.
"Sebelum saya mulakan penerangan bagaimana nak siapkan kerja khusus ni, saya diberitahu bahawa kerja ni boleh disiapkan secara individu atau dalam kumpulan. Tetapi dari pemerhatian saya, lebih mudah awak siapkan kerja ni dalam kumpulan.."
Wajah Awani berkerut seribu. Dia sejujurnya tidak suka dengan kerja kumpulan. Bukan kerana dia yakin boleh siapkan kerja ni sendiri tanpa bantuan orang lain, tapi sebab dia tiada calon untuk dijadikan kumpulan. Jika had kumpulan adalah tiga orang, lagilah dia runsing.
Pelajar perempuan 5 Sains hanya ada sepuluh orang, dan pastinya mereka memilih rakan baik masing-masing untuk sekumpulan sekali. Akhirnya, Awani akan dipinggirkan dan terkial-kial mencari kumpulan yang boleh disertainya.
"Oleh itu, saya dah tetapkan 5 buah kumpulan dengan lima orang ahli kecuali satu kumpulan yang hanya ada empat orang sahaja memandangkan bilangan pelajar kelas ni adalah ganjil. Saya tak benarkan kamu tukar ahli kumpulan sebab saya pilih kedudukan kamu mengikut tahap kamu dalam subjek ni."
Awani mendengar keluhan demi keluhan dari rakan sekelasnya di belakang. Buat sesaat, dia merasakan dirinya selfish kerana hanya dia yang berasa lega kerana tidak perlu bersusah payah mencari kumpulan nanti. Awani mengukir senyuman pahit sembari menunduk memerhatikan kertas di tangannya.
"Saya akan umumkan nama kumpulan dan ahli-ahlinya. Jadi saya nak kamu duduk mengikut kumpulan dahulu sebelum saya terangkan perkara selanjutnya."
Bunyi kerusi ditolak menarik Awani keluar dari lamunannya. Dia pantas bergerak mengikuti rakan-rakan perempuannya yang beratur di belakang kelas. Mereka sudah sedia maklum, jika mereka dipilih secara rawak untuk kerja berkumpulan, mereka akan berdiri di belakang dan menunggu sehingga nama mereka disebut.
Buat sekian kali, Awani mengeluh.
* * * * *
Alfi menatap satu-persatu wajah ahli kumpulannya dengan saksama. Semuanya melarikan anak mata atau menundukkan kepala daripada menatapnya. Alfi bertongkat dagu lalu menyilangkan kakinya dengan gaya malas.
YOU ARE READING
Penolong Ketua Kelas
Teen FictionPada mulanya, Awani Safiah tidak terlalu kisah apabila dirinya dilantik menjadi penolong ketua kelas. Tetapi, apabila Mohamad Alfi yang menjadi ketuanya, Awani jadi kisah! Tak ingin dia berdampingan dengan lelaki kerek yang hanya tahu mengarah tu! N...