Bab 47

253 19 0
                                    

"Dah?"

Awani mengangguk sebagai jawapan apabila dia sudah mengambil beg plastik berisikan makanan ringan dari dalam kereta. Alfi yang menjepit botol-botol minuman di tangannya, menekan kunci kereta Tengku Naufal dengan tangannya yang kosong. Awani setia menunggu Alfi selesai melakukan kerjanya sehinggalah lelaki itu memberi isyarat untuk masuk semula ke dalam.

Ketika mereka sampai di hujung tangga menuju ke tingkat atas, nama Alfi diseru seseorang yang membuatkan keduanya menoleh. Alfi memandang wajah kusut kakaknya, Alya, yang bercekak pinggang sambil menggaru kepala itu. Alfi tidak jadi untuk melarikan diri naik ke sana apabila melihat kakaknya yang seperti dalam masalah.

"Kenapa kak? Ada yang tak cukup ke? Nak Alfi keluar belikan?" Tanya Alfi dengan nada lembut untuk menenangkan emosi kakaknya yang tengah galau itu.

Sementara Awani yang menjadi pemerhati antara interaksi kakak adik itu hanya merenung wanita yang dipanggil Alfi dengan gelaran kakak itu. Dia memandang wajah Alya sambil berseru kagum di dalam hati.

Walaupun kakak Alfi hanya mengenakan T-shirt hitam kosong, seluar tracksuit dan tudung bawal yang diikat simple di kedua hujungnya, Awani masih dapat lihat kecantikan yang terserlah di sebalik wajah berkerut itu. Paras rupa kakak Alfi masih jelita tanpa solekan kerana kulitnya yang sedia cerah. Beberapa bintik merah kecil di pipinya hanya menambahkan kemanisan di seraut wajah bujur itu.

Susuk tubuh kakak Alfi yang tinggi dan elok terbentuk itu hampir membuatkan Awani tersedak air liurnya sendiri. Jika dia boleh gambarkan bagaimana indahnya susuk tubuh kakak Alfi, dia akan mengungkapkannya sebagai susuk tubuh paling sempurna dia pernah lihat.

Berbanding dirinya yang serba rata dan tiada bentuk ni. Auch.

"Bukan. Semua barang hantaran dah settle. Cuma tinggal yang kecil-kecil je. Ni akak nak tanya, kau nampak tak kelibat budak dua ekor tu? Time orang tengah sibuk ni lah nak main sorok-sorok." Bebel Alya yang tidak dapat mengawal rasa geramnya. Jika tidak dikenangkan mereka ada tetamu, sudah lama dia mengaum di situ juga memanggil budak-budak bertuah tu.

Dirasakan dirinya seperti Kak Ros pula apabila perlu menguruskan dua adik kembarnya yang comel tapi banyak ragam itu. Bondalah yang menyuruhnya menjaga mereka memandangkan dia tiada kerja hendak dibuat kerana semuanya mahu dilakukan oleh ibu-ibu saudaranya. Katanya mereka lebih berpengalaman dan pakar dalam bab-bab menghias hantaran.

Ceh, macamlah dia tak tahu mereka sebenarnya nak melihat apa barang hantaran yang disediakan untuk pengantin. Nanti adalah mulut-mulut yang akan mengatakan barang hantaran dari pihaknya terlalu murah atau tiada kelas. Kelas tak kelas, yang penting dia hanya ikut adat. Harga belakang kira.

Adik-adik kembarnya pun satu hal. Ikutkan hati mahu sahaja diikat budak dua ekor tu di dalam buaian masing-masing dan mengunci mereka di dalam bilik. Tapi mereka tu nanti mesti akan terpekik terlolong minta untuk keluar dan akhirnya dia juga yang akan dimarahi bonda. Cis!

"Maksud akak.. Ara dengan Ariy? Last akak nampak diorang dekat mana?" Alfi bertanya sambil menyuruh Awani membuka plastik yang dipegangnya untuk memasukkan botol-botol minuman dalam jepitannya. Lenguh kerana beratnya kandungan barangan berkenaan.

Awani tidak keberatan untuk membantu Alfi dan ikut menyusun botol-botol tersebut supaya kesemuanya muat di dalam plastik. Alfi memasang telinga sementara dia menghulurkan satu demi satu botol minuman kepada Awani.

"Akak tengah buat susu untuk diorang jadi akak suruhlah tunggu dulu dekat kerusi. Tapi bila akak kalih jer, diorang dah lesap. Entah teleport pergi mana dua alien tu." Rutuk Alya tanpa mempedulikan kewujudan Awani yang berkerut dahi mendengar rungutan kakak Alfi itu.

'Rumah ni ada alien?' Monolognya yang memandang Alfi dengan seribu satu persoalan di kepala.

Alfi yang menyedari kakaknya sudah membuat gadis di sampingnya salah faham, berbisik kepada Awani untuk menjelaskan maksud tersirat disebalik pilihan kata kakaknya itu.

"Alien tu adik kembar tak seiras aku. Diorang tu suka main sorok-sorok tanpa bagi warning dulu. Adalah tu menyorok dekat mana-mana." Ujarnya yang menganggap hal itu remeh kerana sudah masak dengan perangai nakal kedua adik kesayangannya.

Lagipun, dia yang pertama dulu mengajak Aira dan Airiel bermain sembunyi-sembunyi dengannya kerana dia suka mendengar gelak ketawa mereka apabila menjumpainya. Tetapi sekarang dia rasa menyesal yang teramat sangat kerana memperkenalkan permainan itu kepada adik-adiknya.

Mereka sekarang sangat pandai mencari tempat sembunyi sampaikan pernah suatu ketika mereka bertiga bermain, Alfi tidak dapat menjumpai keduanya. Seluruh ruangan digeledah dan dicari dengan teliti tetapi hanya sia-sia. Hampir menangis dia dibuatnya kerana bimbang perkara buruk terjadi pada kedua adiknya.

Sehinggalah dia mendengar suara bondanya pulang dan kegelisahan semakin menghurung diri. Apabila dia sedang merangka ayat di dalam kepala untuk menjelaskan kepada bonda apa yang berlaku, dia melihat bondanya mengendong Aira dan Airiel yang memandangnya dengan wajah innocent.

"Kenapa kamu biar adik-adik kamu ni keluar? Bonda nampak diorang tunggu bonda dekat pintu pagar tadi. Nasib baik bonda tak terus masukkan kereta." Marah bondanya dengan muka ketat.

Dan Alfi hanya mampu menadah telinga apabila seharian itu dia dimarahi bonda atas kecuaiannya membiarkan adik-adik kembarnya keluar tanpa pengawasan.

"Hey, Alfi! Berangan pulak budak ni!"

Alfi yang menerawang seketika tadi tersedar apabila kakaknya menengking dan dibantu oleh Awani yang mencuitnya dengan plastik di tangan.

"Hah? Apa?"

Alya tergeleng kepala melihat tingkah adik lelakinya. Dia kemudian bercekak pinggang dan memandang Alfi dan Awani silih berganti. Dia sempat menguntum senyum pada gadis bercermin mata tersebut yang membalasnya dengan senyuman tipis sebelum tertunduk segan.

"Kau minta tolong kawan-kawan kau carikan diorang eh? Akak nak mandi ni, melekit." Pinta Alya yang lebih kepada memerintah sebelum terus melarikan diri setelah menyerahkan tugasnya kepada adik lelakinya.

Alfi memandang kepergian kakaknya dengan pandangan tak percaya.

"Dah nak kahwin pun masih malas mandi ke? Taulah datang bulan tetapi ada tetamu kot. Apalah perempuan ni." Bebel Alfi sambil menggelengkan kepala.

Kelakuannya itu berjaya membuatkan Awani tersenyum geli hati. Dia merasakan hubungan adik-beradik Alfi itu sangat mesra di matanya walaupun mereka saling mencemuh satu sama lain. Sesuatu yang tak pernah dia alami memandangkan dia adalah anak tunggal.

Alfi yang sempat menangkap Awani tersenyum-senyum sendiri sepertinya dapat memahami apa yang mencuit hati gadis bermata empat itu. Lalu dia berpusing menghadap Awani seraya berpeluk tubuh. Wajahnya sengaja dibuat seserius mungkin.

"Apa senyum-senyum? Kau pun sama! Jangan malas nak mandi macam kakak aku. Nanti busuk macam ikan masin!" Pesannya disertai dengan gertakan di hujungnya.

Namun si gadis nampaknya tidak tergugat sama sekali dengan nada suara Alfi yang kedengaran tegas sebaliknya Awani hanya mengangguk patuh sembari mula terkekeh kecil.

"Menurut perintah, ketua kelas." Balasnya cuba berseloroh.

Alfi tersenyum senget dengan kata-kata Awani sebelum meneruskan langkah naik ke atas semula. Dia sempat mengutarakan sesuatu kepada Awani yang dibalas gadis itu dengan anggukan senang.

"Lepas ni kau tolong aku cari adik-adik aku, boleh?"

To be continue...

Penolong Ketua KelasWhere stories live. Discover now