Seminggu sudah berlalu. Ini merupakan minggu kegelapan. Minggu berduka. Minggu kesepian.
Sehingga ke hari ini aku masih berduka. Aku murung. Aku sedih. Aku, Claire Venema akhirnya tersungkur jatuh di dalam kegelapan hidup.
Kini aku dalam perjalanan pulang dari sekolah. Agak lewat aku pulang. Mencari beg aku yang hilang.
Hujan turun dengan begitu lebat membasahi Kota Magna. Aku melangkah masuk ke sebuah kedai serbaneka sementara menunggu hujan reda. Mujur, tubuhku tidak begitu basah.
Aku melangkah dari satu rak ke satu rak. Entah apa yang aku nak cari pun aku tak tau. Kesejukan mula mengigit kulitku saat aku menghampiri penghawa dingin.
Aku meneliti majalah mingguan kucing pada rak di sudut kedai. Sekaligus ia mengingatkan aku pada Jenny Satu-satunya sahabat aku. Ini merupakan majalah kegemaran Jennifer Loukas.
Sudah seminggu aku tidak mendengar khabar Jenny. Sahabat aku itu dilarang untuk melangkah keluar dari kediamannya. Perintah berkurung atas arahan kedua ibubapanya. Mereka tidak mahu Jenny berjumpa dengan Robin. Alat komunikasi Jenny juga turut dirampas.
Aku rindukan Jenny. Aku simpati akan nasibnya.
Air liur aku diteguk. Entah kenapa dada aku berasa begitu sebak.Robin.
Robin pula? Apa yang terjadi pada Robin? Lelaki itu masih lagi di dalam tahanan lokap. Masih dalam tempoh siasatan. Aku tak faham. Kata-kata aku seolah-olah tidak dipercayai mereka. Cuba aku jelaskan bahawa semua ini adalah cerita yang direka kerana dendam. Aku sudah sedaya-upaya untuk membantu Jenny. Malangnya, ibubapa Jenny lebih percayakan Dallas. Minda mereka dipengaruhi lelaki durjana itu. Kata mereka aku trauma dengan Robin kerana itu aku menafikan perbuatan hina Robin mencabuli aku.
Hanya kerana satu pesanan mesej, Dallas mampu mereka seribu pembohongan. Siapa yang tak akan terpedaya dengan imej Dallas selaku pengawas sekolah dan pelajar contoh.
Dallas pula aku sudah tidak nampak hampir seminggu. Aku dengar khabar dia cuti sakit. Ditahan wad. Teruk sangat ke dia dibelasah Robin? Aku harap dia akan mati dengan cepat.
Aku menghembuskan keluhan. Sungguh aku berasa kesal atas apa yang berlaku. Apakah semua ini berlaku kerana salah aku? Salah aku kerana menolak pelawaan Dallas.
Sekiranya aku sudi terima pelawaan untuk berjanji temu dulu pasti semua ini tak akan berlaku. Pandangan mata aku kini merenung biskut-biskut yang tersusun rapi pada rak. Tiada langsung rasa ingin untuk membelinya walaupun aku begitu cintakan biskut.
Langkah aku kini bergerak ke arah bahagian perkakas mencuci. Haruman sabun dan pewangi pakaian memenuhi ruang udara.
Hujan semakin lebat di luar secara tiba-tiba. Pandangan mata aku terpaku seketika merenung pemandangan di luar melalui kaca cermin.
Perasaan apa ini?
Kenapa jantung aku berdegup dengan kencang? Dada aku berasa sebak yang melampau.
Tidak pernah seumur hidup aku berasa putus asa untuk meneruskan hidup. Sejak kejadian tersebut, aku disingkirkan di sekolah. Aku dibuli. Aku dipulau. Aku dijadikan bahan ejekkan.
Aku dikurung dalam tandas. Aku disimbah dengan sisa sampah. Buku sekolah aku dikoyakkan. Kepala aku dicurahkan dengan minuman manis. Mereka meletakkan najis di dalam beg sekolahku.
Macam-macam perkara terjadi dalam tempoh seminggu ini.
Kata mereka aku gadis yang menagih perhatian. Gunakan Dallas untuk singkirkan orang yang aku benci iaitu Robin. Semuanya dijadikan cerita berpunca ketika saat aku bertindak untuk selamatkan pelajar baru itu daripada dibuli Robinson Howie.
Teddy.
Bercakap tentang Teddy. Baru aku teringat. Sudah lama aku tidak memikirkan tentang dirinya. Disebabkan aku ingin menjaga tepi kain dialah aku bertindak bodoh ingin menyelamatkan dirinya daripada Robin.
Teddy.
Pelajar baru yang lemah, suka menyendiri dan pentingkan diri. Sungguh hati aku terluka.
Dan sekarang aku terjerat dalam masalah ini. Sampai bila semua ini akan berlaku? Aku rindukan mak aku. Dulu aku ada mak untuk meluahkan segala kegetiran yang aku hadapi. Kini, aku tiada sesiapa.
Kenapa aku berasa sungguh lemah dan tidak bermaya?
Pandangan mata aku kini tertacap pada cecair peluntur. Lama aku merenung cecair itu. Tanpa berfikir panjang aku terus mencapai botol bewarna putih itu dan pantas bergerak ke arah kaunter. Bayaran dibuat dan baki wang di ambil. Aku mencapai cecair peluntur yang telah dimasukkan dalam beg plastik oleh juruwang.
"Terima kasih. Sila datang lagi."
Si juruwang bersuara bersama senyuman manis di bibir.
Aku hanya sekadar mengangguk bersama ukiran senyuman yang dipaksa. Hujan semakin reda. Langkahku laju berlari keluar. Aku mahu pulang ke rumah sepantas yang mungkin.
Aku tak nak lagi---
Suara hati aku tersekat. Langkah lajuku menjadi perlahan saat aku tiba di simpang jambatan tempat kali pertama aku berjumpa dengan Teddy. Sang gerimis masih lagi turun membasahi tanah Magna.
Air hujan tidak henti-henti menitis turun dari rambut dan juga wajahku.
Susuk tubuh seorang lelaki berjaket hitam berkerudung tiba-tiba kelihatan muncul di simpang jambatan.
"Teddy?"
Pandangan mata aku terbuntang luas. Bagaimana aku boleh terserempak dengan dia saat aku baru sahaja memikirkan dirinya. Entah kenapa pandangan mataku terkaku merenung wajah pucatnya di sebalik kerudung itu.
Lelaki itu turut berhenti melangkah dan merenung wajah aku dengan pandangan mata yang redup tanpa emosi.
Aku tersentak dan terus mengalihkan pandangan mataku. Aku mula mengatur langkah untuk pulang ke rumah.
"Nanti."
Teddy bersuara sepatah sekaligus menghentikan langkahku. Aku berkalih dan merenung wajah pucat yang cengkung itu.
Lelaki itu masih lagi mempamerkan ekspresi yang sama.
"Kau nak tau rahsia aku?"
Lelaki itu bertanya seraya melangkah menghampiri aku.
"Apa? Ap-apa maksud kau?"
Bait kata aku entah kenapa menjadi gugup.
"Aku cintakan kau."
Teddy membongkok dan bibirnya terus bertautan dengan bibir aku. Pandangan mata aku terbuntang luas!
Jantung aku berdebar mengikut irama rentak yang rancak. Gengaman jari-jemari aku menjadi lemah dan terus terlerai. Botol cecair peluntur terhempas jatuh di atas jalan bersimen!Aku tersentak!
Lamunan aku yang kian hanyut berkecai! Tubuh Teddy terus aku tolak! Bibir yang bertautan terlerai. Wajah aku mula kemerahan. Telinga aku terasa begitu hangat!
Aku mati kata-kata. Aku kena pulang cepat!
Terus aku berkalih. Aku membongkok untuk mencapai semula botol peluntur itu. Namun, saat aku cuba menyentuh objek itu, tiba-tiba sahaja ia bergolek laju dan terus terjatuh ke dalam parit!
Dahi aku berkerut seribu. Aku tergamam. Apa yang berlaku?
"Tolong hargai nyawa kau. Tak semua orang mampu hidup lama."
Teddy bersuara dalam nada mendatar.
YOU ARE READING
TEDDY (Sample)
Mystery / Thriller(Editing in Progress) Claire Verena, si gadis sunyi yang mengimpikan keajaiban berlaku dalam hidupnya. Bagaikan hajat dikabul bintang harapan, dirinya bertemu dengan seorang pelajar baru di sekolahnya. Teddy. Pelajar yang serba-serbi kekurangan. S...