Arief tahu ini kerja gila. Dia tahu dia tak patut buat semua ini tapi dia terpaksa. Sudah tak ada jalan lain. Dia ingat nak biarkan saja tapi nampaknya hati dia tak cukup kuat. Jadi sebelum Sofea sah jadi kakak ipar dia, Arief kena halang pernikahan mereka.
Tapi sebelum tu ada satu benda yang Arief sangat musykil sekarang ni. Macam mana Ayana boleh tahu Arief nak rosakkan majlis nikah Alief ya?
Jaguar hitam Arief akhirnya tiba di perkarangan masjid Al mukminin, tempat di mana Sofea dan Alief akan diijab kabulkan. Keretanya diparkir ala kadar lantas dia terus menonong keluar. Jam di tangannya dikerling.
Pukul 9.15 pagi. Dalam perancangan mereka sepatutnya angkat nikah pada pukul 9 pagi. Sempat lagi ke kalau Arief nak halang? Tapi tok kadikan orang melayu. Mesti dia pun suka buat janji melayu jugakan?
Langkah diatur laju masuk ke dalam masjid. Namun sebaik sahaja kakinya menyentuh karpet hijau yang terbentang luas di lantai masjid itu, telinga Arief menangkap satu perkataan yang menghancurkan semua harapannya.
"Sah? Alhamdullilah."
Semua yang ada mula mengangkat tangan untuk membaca doa diketuai oleh tok kadi. Arief kaku di pintu masjid. Lututnya terasa longgar. Matanya mula terasa membahang disebabkan rasa hati yang kian menggelodak.
Dia terlambat.
Dia sudah terlambat.
Sofea, wanita yang paling dia cintai lebih daripada mamanya sendiri kini sudah jadi pendamping orang lain.
Pendamping abang sulungnya, Alief Amran.
"Eh, Arief. Baru sampai ke? Patutlah dari tadi cari tak jumpa. Jomlah masuk. Kejap lagi nak ambil gambar family dengan pengantin," tegur Mak Long Salmi dari belakang dan tidak semena-menanya buat Arief terkejut.
"Erk... tak apalah. Mak Long. Arief nak balik rumah dulu ni. Tolong apa yang patut," ujar Arief memberi alasan. Riak wajahnya cuba dikawal.
"Hah, tak apalah kalau macam tu. Tak nak jumpa pengantin dulu? Ucap tahniah."
"Hahaha. Mereka tu satu rumah dengan Arief je mak long. Bila-bila boleh cakap tahniah."
"Hurm... ya lah kalau macam tu. Mak Long masuk dululah ya."
Mak Long Salmi masuk ke dalam dan terus menuju ke arah pengantin yang kini saling bertukar cincin. Arief sudah tak sanggup tengok lagi semua adegan di dalam masjid itu. Bagi orang lain suasana ini mungkin nampak sangat bahagia dan gembira tapi bagi Arief tak.
Dia sedang terluka sekarang.
Tubuhnya dipusingkan lantas kasutnya dipakai kembali. Kecewa yang datang menerjah kini semakin terasa tatkala terdengar gelak tawa saudara mara mengusik sang pengantin.
Sepatutnya Arief yang ada di situ. Sepatutnya Arief yang salam tangan tok kadi dan mencium dahi Sofea. Sepatutnya Arief yang malu diusik sampai pipi jadi merah. Sepatutnya Arief. Bukan Alief!
Air mata yang ingin jatuh dikesat laju. Jiwa dia sudah rasa begitu kacau sekarang ni dan dia tak nak nampak lemah dengan menangis. Arief dah kalah. Tapi dia tak nak kalah dalam penghinaan.
Langkah dibawa menapak ke arah keretanya saat sebuah kereta Vios masuk dan menghalang jalannya. Baru sahaja nak mencarut sebab jalannya dihalang, pemandu kereta itu terlebih dahulu keluar.
"Arief."
Puteri Ayana Aysha. Satu-satunya kawan perempuan yang paling rapat dengan Aien. Jadi hal ini sekaligus buat Arief turut baik dengan Ayana. Yalah, Arief dan Aienkan kawan baik. Jadi sesiapa yang jadi kawan Aien, dia serta merta akan jadi kawan Arief juga.
Lagipun Arief sendiri senang sebenarnya dengan sikap Ayana yang sentiasa membantu. Ayana yang lemah lembut dan senang tertawa. Ayana yang tak pernah menyakitkan hatinya dan akan tertunduk malu tatkala diusik. Tiada sebarang cacat cela dalam diri Ayana yang boleh buat Arief benci gadis itu.
Tapi hari ini nampaknya tak sama lagi macam semalam. Dari rasa senang kini semuanya sudah berubah.
"Arief kau... okey?" soal Ayana masih berhati-hati. Ayana menghampiri Arief dalam keadaan teragak-agak Arief diam tak berkutik. Dia sekadar berdiri kejung sambil memandang Ayana tak lepas dengan mata merahnya. Air mata yang mengalir di pipi Arief buat Ayana makin khuatir.
"Arief... aku..."
PANG!
Satu tamparan hinggap di pipi Ayana. Tubuh Ayana serta merta membeku. Terkejut, terperanjat, tak percaya, semuanya ada.
Arief... tampar dia?
"Semua ni... disebabkan kau tahu tak?!" tengking Arief.
"Kalau kau tak kacau aku tadi, aku mungkin sempat halang semua ni daripada terjadi tapi disebabkan kau..."
Jarinya ditunding tepat ke muka Ayana. Badannya menggigil menahan marah dan nafasnya kini sudah tidak lagi teratur. Mata Ayana yang mula bergenang buat Arief kembali menggenggam penumbuknya. Dia menunduk lantas mendengus kasar.
"Mulai hari ni, jangan tunjuk muka kau dekat depan aku lagi," ujar Arief dan terus beredar pergi dengan keretanya.
YOU ARE READING
THE DAY I LOVE YOU
RomanceShe loves me when she knew I'm in love with someone else. I love another women when I knew, she loves me. Am I the selfish one? Or is it her? "Patut ke aku bagi kita peluang Ayana?"