Seorang lelaki berusia 20-an lengkap berpakaian uniform rasmi Polis Diraja Malaysia itu menolak kerusi berodanya ke belakang. Tangannya menggapai fail berwarna perang itu. Dia bangun dari kerusi. Kakinya yang panjang itu menyusun langkah menuju ke bilik ketuanya. Pintu bilik itu diketuk perlahan sebelum tombol pintunya dipulas sebaik sahaja mendengar arahan masuk.
"Assalamualaikum, tuan!"
Lelaki separuh umur itu mengerling wajah lelaki di hadapannya. "Waalaikumussalam. Ada apa, Hairul?"
"Saya dapat maklumat baru tentang Night, tuan. Perompak bank yang terlepas pada tahun lepas, kita berjaya tangkap tempoh hari. Saya dah soal siasat mereka, terbukti Night sebenarnya kawan yang mengkhianati mereka." Yakin Koperal Hairul berkata-kata.Lelaki itu menghela nafas panjang. "Macam mana kamu boleh senang-senang percaya cakap penjenayah, Koperal Hairul? Tak sudah-sudah lagi ke obses kamu terhadap Night? Macam yang pernah saya kata dulu, selagi kamu tiada bukti kukuh berkenaan Night, saya takkan beri kebenaran untuk kamu meletakkan dia ke dalam penjara."
"Kalau tuan tak mahu benarkan saya, saya minta kebenaran daripada..."
"Jangan nak mengada, Hairul. Sekali kamu suarakan hal ini kepada Pesuruhjaya Polis kita, saya jamin dia suruh hentikan siasatan. Kira baik, saya beri kamu peluang lagi untuk teruskan siasatan ini. Saya cuma beri masa untuk kamu dua bulan dari sekarang. Kalau tiada apa-apa, tutup saja kes ini. Sudah, keluar."
Koperal Hairul mengetap gigi geram kerana hajatnya tidak dapat dituruti oleh SP Razali. "Baik, tuan." Kakinya melangkah keluar dari bilik itu.
"Argh!" Koperal Hairul menjerit sekuat hati apabila terbayang kembali kejadian dalam bilik SP Razali tadi. Tangannya merah menggenggam stereng kuat. Dia memijak pedal minyak melajukan lagi kelajuan kereta sehingga mencecah 100 km/jam.
Setelah sekian lama Koperal Hairul memandu sekitar bandar itu, dia berhenti di sebuah kedai makan tepi jalan. Dia keluar dari perut kereta. Kakinya diayun ke arah meja yang diduduki seorang lelaki sebayanya. Lelaki itu tidak keseorangan. Ada seorang lelaki berbual dengannya sebelum dia beredar. Kening Koperal Hairul berkerut seketika. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang tadi diduduki lelaki itu.
"Siapa tu? Nak mintak cari orang jugak ke?" tanya jejaka itu.
"Haah. Ha kau apahal nak datang jumpa aku? Nak mintak tolong carikan Night?" tebak kawannya itu.
Terukir senyuman sinis di wajah pegawai polis itu. "Macam tau-tau aje kau kan... Boleh ke kau handle dua tugas dalam satu masa?""Tak ada hal. Mamat tadi tu senang je nak cari. Ada gambar muka, yang kes kau ni payah! Muka pun tak tahu macam mana, hensem ke muka jambu ke..." Sempat dia menyindir kawannya.
Koperal Hairul mencebik. "Kau tak nak tolong, cakap sajalah, Fiz."
"Ish, siapa cakap aku tak nak tolong? Aku boleh tolong tapi makan masa jugak. Tak pernah aku terima tugas cari orang macam ni."
"Okaylah. Aku bagi kau masa dua bulan dari sekarang." Koperal Hairul mengeluarkan sampul tebal. Ditolak mendekati Fiz, kawannya itu. "Nah, bayaran pendahuluan! Nanti dah jumpa, aku bayar habis."
"Alright, cun!" Fiz tersengih menerima wang berjumlah besar itu.
Seorang lelaki berhud kelabu meneguk air kopi panasnya sehingga tinggal separuh saja. Dia memandang wajah lelaki yang lebih selesa dipanggil kapten itu. Ada jawatan tinggi, nak panggil kapten. Ingat lanun ke apa? "Ada apa kapten ajak jumpa?"
Kapten menghela nafas perlahan. Air yang dipesannya langsung tidak disentuh. Rasa risau akan keselamatan anak buahnya itu semakin meningkat dari hari ke hari. Lagi parah sekiranya Koperal Hairul bertindak lebih berani. Sejak kemunculan Night menyelamatkan sebuah bank dari dirompak tahun lepas, Koperal Hairul mula curiga dengan identiti Night yang sebenar. Setelah lama kes itu ditutup, dua bulan lepas, Koperal Hairul menunjukkan laporan mengenai siasatannya terhadap Night. Rupa-rupanya lelaki itu tidak kenal erti putus asa. Dia beranggapan Night seorang penjenayah yang perlu ditumpas dan dicampak ke dalam penjara.
YOU ARE READING
TIH 3 : Misery Night
Mystery / Thriller[Pemenang Karya Misteri & Thriller Anugerah Wattys 2019] Published : 18/02/2018 Republished : 10/01/2019 Completed : 10/01/2020 Previously known : TiH 3: Nik Amar Fahimi Siapa tak kenal Night? Penembak tepat yang bertopeng hitam. Penuh rahsia. Ada...