Bab 4 : Suara Halus Menusuk Kalbu

1.2K 94 2
                                    

Haziq mengerutkan kening apabila melihat susuk tubuh wanita yang bertudung menghampiri. Penampilan wanita itu tampak bergaya dengan kemeja denim labuh paras lutut dipadankan dengan seluar jeans potongan lurus. Kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki menampakkan wanita yang hanya tinggi 158 cm itu lebih tinggi lima inci. Tudungnya yang dahulu sering disarung ala kadar dan tidak berpin menampakkan lehernya yang putih itu kini bertukar menjadi tudung bawal bidang 60. Tambah pelik apabila wanita itu tidak keseorangan, dibawa anak saudaranya yang sudah berusia 13 tahun. Kerusi ditarik lalu dia melabuhkan duduk.

"Lisa?"

Lisa senyum tipis membalas jawapan Haziq. Matanya bergerak-gerak seperti tidak mahu bertentang mata dengan lelaki di hadapannya. Bibirnya diketap perlahan. Riak wajahnya tampak serba-salah. Namun tiada kata yang dituturkan. Dia menghela nafas panjang. Bukan dia tidak rindukan lelaki yang sudah lebih seminggu tidak berjumpa. Sudahlah tidak dapat berjumpa, mesej call juga tidak dibalas. Bukan sekali, selama hampir setahun mereka berkenalan dan bercinta, sudah berkali-kali perkara seperti ini berlaku. Biasanya selama seminggu dua, kemudian, Haziq sendiri yang akan menelefonnya ajak berjumpa. Takkan pemilik kedai makan sibuk kalah perdana menteri, kan?

"Hai, Uncle Haziq!" sapa anak saudara Lisa, Lutfi.

Haziq senyum membalas sapaan remaja lelaki itu. Dia pandang kekasih hatinya pula. "What happen?" soalnya. Aneh. Baru seminggu lebih tak jumpa, wanita itu sudah berubah 360 darjah.

Lisa menghela nafas perlahan. "Lisa ada beberapa soalan penting. Boleh tak Haziq jawab dengan jujur?"

Haziq angguk.

"Haziq nak rapat dengan Lisa dulu, ada niat nak kahwin dengan Lisa?"

Haziq diam sejenak. Matanya mengerling Lutfi sekilas. Lelaki itu sibuk bermain games dalam telefon pintarnya. Seperti tidak mahu ambil tahu langsung dengan perbualan mereka berdua. "Mestilah ada."

"Then, are you ready for it?"

"Lisa nak kita kahwin ke?"

Lisa senyum nipis sebelum menunduk. Pertemuan mereka hari ini terasa sangat janggal. Macam baru pertama kali jumpa pun ada. "Kenapa Haziq tak pernah masuk surau atau masjid bila Lisa kata nak solat?" soalan itu ditanya dengan nada suara yang perlahan. Dia tidak mahu membuka aib lelaki itu.

Bunyi kilat terlintas di fikiran. Kilat itu seakan memanah terus ke dalam hati jejaka itu. Haziq menelan liur.

Lutfi yang tadi leka bermain games angkat wajah ingin melihat reaksi Haziq. Uncle Haziq tak pernah solat?

Eh, tiba-tiba sibuk ni apahal? Main sajalah games tu! Remaja lelaki itu menggeleng kecil sebelum kembali menumpukan perhatian pada skrin telefon.

Haziq menundukkan wajah. Tiba-tiba dia rasa malu. Sewaktu dia masih bersekolah dulu, dia sangat bangga kerana sering terlepas dari melakukan rukun Islam yang kedua itu. Selagi ada peluang di hadapan mata, dia akan guna dengan sebaiknya untuk mengelak dari menunaikan solat. Tambah seronok apabila ada kawan yang menyertainya. Harris, kembarnya juga tidak terlepas menyertai dirinya mengingkari suruhan Sang Pencipta.

Lisa sudah perasan perbuatan lelaki itu dari awal perkenalan lagi, tapi tidak pernah sekali dia menegur. Semuanya kerana dia sendiri sedar dia juga hamba yang berdosa. Pakai tudung tapi baju ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan. kadangkala, tudung dipakai ala kadar boleh menampakkan leher telinga. Pakai tudung, tapi definisi yang dia fahami sebelum ini hanyalah sekadar tutup rambut.

Wanita itu berasa dirinya tiada hak untuk menegur perbuatan Haziq. Seminggu yang lalu, dia bertemu semula dengan rakan lama yang dulu sama-sama jahil sepertinya. Tetapi rakannya itu kini sudah tidak seperti dulu, tudungnya labuh, wajahnya ditutupi kain yang dipanggil purdah hanya menampakkan bahagian mata. Pakaian yang ketat dahulu sudah berganti dengan jubah labuh dan longgar. Tidak cukup dengan itu, dia masih memakai handsock. Rakannya itu tidak terus menghukum dirinya, tetapi diajak Lisa berubah hari demi hari. Hanya dalam masa seminggu, Lisa berubah ke arah lebih baik. Masih segar di ingatan, perbualan mereka tempoh hari.

TIH 3 : Misery NightWhere stories live. Discover now