Amar memasukkan kunci ke dalam lubang lalu menekan kunci itu ke kiri. Dia menolak daun pintu sebelum membawa tubuhnya masuk ke dalam. Suis lampu ditekan membuatkan ruang dalam rumah itu terang-benderang. Pintu ditutup rapat. Kunci dilontar ke atas meja kaca di tepi dinding. Langkahnya menuju ke sofa ruang tamu. Dihempas punggungnya ke atas sofa.
Tangan Amar mencapai alat kawalan jauh televisyen. Dia mencari-cari saluran menarik untuk ditonton. Matanya kuyu menonton siaran di kaca televisyen itu. Perutnya tiba-tiba berbunyi menyanyikan lagu. Spontan jejaka itu menyentuh perutnya. Alat kawalan jauh dicampak tepi. Dia bangun malas.
Dia berjalan masuk ke dapur. Peti ais dibuka. Matanya bergerak-gerak mencari makanan untuk mengisi perutnya yang kosong itu. Dia ambil sebiji epal keluar dari plastik. Pili sinki dibuka, buah epal itu dibasuh dengan air bersih. Baru satu gigitan pada epal, Amar jatuh rebah.
Eh? Dah kenapa?
Baru satu gigitan pada epal, telinga Amar menangkap bunyi seretan selipar jepun pada lantai. Loceng rumah berbunyi tidak lama kemudian. Amar menggigit lagi buah epal itu. Langkah kaki dibawa ke pintu utama rumah. Pintu dibuka luas.
Seorang gadis yang kelihatan muda beberapa tahun darinya berdiri di hadapan pintu. Gadis itu memegang bekas Tupperware di tangan. Senyuman ikhlas terlakar di wajah dibalas dengan muka tanpa perasaan Amar.
"Nak apa?" tanya lelaki itu tanpa mukadimah.
"Ni mak ada buat kuih ketayap petang tadi. Ada lebih sikit, dia suruh bagi dekat Abang Amar."
Amar memandang sekilas bekas itu sebelum menyambut. "Hmm... Cakap terima kasih dekat mak." Dia berundur ingin menutup pintu tetapi dihalang.
"Abang, boleh Aireen tanya satu benda tak?"
Kening Amar berkerut. "Tanya apa?"
Aireen mengetap bibir. Nampak ragu-ragu. "Kenapa eh, kalau petang, Aireen nak pergi kelas mengaji, Abang Amar keluar. Lepas tu, balik pun abang takde. Pagi nak pergi sekolah baru nampak abang balik. Lepas tu, abang keluar lagi kan untuk kerja? Aireen pelik, Abang Amar kerja apa sebenarnya? Kerja kat kedai bukak 24 jam ke?"
Amar tersentak. Tidak sangka gadis berumur 17 tahun itu memerhati gerak-gerinya selama ini.
"Selalu abang macam tu mesti dalam seminggu atau dua. Lepas tu, dah tak ada keluar malam balik pagi. Aireen bukan busy body, tapi Aireen pelik." Bimbang Aireen jika dia dimarahi oleh lelaki itu kerana sibuk ingin tahu hal jirannya.
Amar menghela nafas perlahan. "Apa-apa aku buat memang tak ada kaitan dengan kau. Aku tahu kau curious, tapi biarlah aku nak keluar malam balik pagi atau keluar pagi balik malam ke... Kau tu pergi sekolah, belajar elok-elok. Tak payah nak menggedik dengan lelaki, tau parents kau orang berada tapi jagalah hati mereka. Jaga nama mereka, jangan cemarkan nama mereka dengan perbuatan liar kau tu. Depan mak, pijak semut pun tak mati, belakang, hmm... Aku malas nak cakap. Aku bukan abang kau, nak nasihat lebih. Dan jangan panggil aku abang. As I said, aku bukan abang kau. Aku ada adik seorang aje, itupun lelaki. Tak ada adik perempuan." Laju kata-katanya meluncur dari bibir. Dia menutup pintu rapat.
Bekas kuih itu diletak di atas kabinet dapur. Epal yang digigit tak sampai separuh dibuang ke dalam tong sampah. Tiada selera untuk dia habiskan buah epal itu. Amar menanggalkan baju T yang tersarung di tubuh. Dia berjalan masuk ke dalam bilik air. Tangannya berpaut pada sinki. Pili sinki dipulas. Matanya dipejam. Terngiang-ngiang suara neneknya memanggil adik-beradiknya makan kuih ketayap kegemaran mereka.
"Alif, Amar, Aryan, mari makan! Ni ada kuih ketayap nenek buat. Siapa lambat, habis!"
Ketiga-tiga jejaka yang tadi sibuk menyiapkan kerja sekolah berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tersenyum dengan maksud tersirat. Hanya mereka bertiga saja yang memahami maksud di sebalik senyuman itu. Pantas mereka bangun berlari laju ke dapur.
YOU ARE READING
TIH 3 : Misery Night
Misteri / Thriller[Pemenang Karya Misteri & Thriller Anugerah Wattys 2019] Published : 18/02/2018 Republished : 10/01/2019 Completed : 10/01/2020 Previously known : TiH 3: Nik Amar Fahimi Siapa tak kenal Night? Penembak tepat yang bertopeng hitam. Penuh rahsia. Ada...