PERTEMBUNGAN di pintu pagar surau Kampung Delima tidak mungkin terhakis di fikiran Rizal. Pertemuan kali pertama sememangnya selalu mengasyikkan dan bisa sahaja membuatkan jiwa galau. Seraut wajah itu mungkin tidak sejelita aktres Rozita Che Wan, namun sepasang mata yang coklat kebiru-biruan terus sahaja menangkap relau hatinya. Sebiji macam minah salih! Cuma yang ini versi minah salih tak berapa nak putih.
"Agaknya moyang dia dulu mat salih kot. Tapi, mat salih kahwin dengan Melayu gamaknya. Sebab tu kulit pun ala-ala bulan gerhana aje," tebak Rizal dalam hati.
Bergetar dada Mel tatkala sepasang mata indah Rizal tidak putus-putus merenungnya.
"Awak ni Mel, kan? Saya Rizal, anak Imam Rozali merangkap bakal suami awak."
Erkk! Mel terkedu. Belum apa-apa lagi, dah berani isytiharkan diri sebagai bakal suami? Poyo juga mamat ni!
"Oh, ye ke? Saya tak tahu-menahu pun. Ke awak ni dah salah orang agaknya?"
Kerutan sudah menghinggap ke dahi Rizal. "Eh, rasanya saya tak salah orang. Dengan penuh keyakinan dan rasa jitu, saya pasti awak memang bakal isteri saya sebab mak saya dah tunjuk gambar awak pada saya sebelum ni."
Mel tersenyum sinis. "Yalah, Encik Rizal. Betullah tu. Tapi sebelum kita di ijabkabulkan, saya ada satu soalan untuk awak. Saya harap awak akan jawab dengan jujur."
Kerut di dahi Rizal bertambah tebal. "Soalan? Soalan apa pula ni? Serius aje bunyinya."
"Saya cuma nak tahu, pada pandangan awak, apakah peranan seorang isteri di sisi suaminya dalam sesebuah perkahwinan?"
Senyuman bersulam bongkak terus sahaja menerpa ke raut wajah Rizal. "Dah tentulah isteri kena layan suami baik-baik. Jaga makan minum suami, manjakan suami dan menurut segala perintah suami. Yang pasti, isteri kena layan suami bagaikan seorang putera raja."
"Oh... maknanya dalam sesebuah perkahwinan, suami tu seumpama putera rajalah, ya. Habis tu apa pula watak isteri? Gundik? Tak pun dayang?" soal Mel sinis.
Dush!!! Berdesing telinga Rizal. Raut wajahnya sudah bertukar ke rona merah padam. "Err... saya tak bermaksud macam tu. Awak jangan salah faham pula. Sebenarnya, awak beruntung dapat bersuamikan lelaki macam saya yang romantik, caring dan understanding. Pendek kata, sayalah lelaki edisi terhad di abad ini."
Usaha Rizal untuk membela diri ternyata gagal menjentik kepercayaan Mel. Hanya lorotan mata tajam Mel tunak ke wajah Rizal.
"Whateverlah Encik Rizal bin Imam Rozali. Saya doakan impian Encik Rizal untuk jadi lelaki edisi terhad tu akan berjaya. Sekarang ni, izinkan saya beransur dulu sebelum saya berubah jadi wanita edisi ganas pulak kat sini."
Sinis. Tapi tepat menusuk ke pelipis hati. Rizal bungkam. Sudahnya langkah kaki Mel hanya mampu disoroti dengan lemah.
"Kau berhak dapat yang lebih baik daripada tu!"
Rizal berpaling. Kelibat seorang wanita separuh umur bertubuh gempal segera mengisi ruangan matanya. "Mak cik ni siapa?" tebaknya kasar.
Mak Cik Pah tersenyum. Tersirat sesuatu dalam kilas senyumnya. "Jangan marah-marah, nak. Mungkin anak tak kenal mak cik. Tapi sebagai seorang manusia yang prihatin, mak cik tak sampai hati tengok anak terpedaya."
"Apa maksud mak cik ni? Tak payah nak berbunga-bunga sangatlah! Cuba mak cik berterus terang dengan saya."
Senyuman Mak Cik Pah makin melebar. Nampaknya Rizal kian terjebak dalam permainannya. "Mak cik harap kamu tak salah anggap. Niat mak cik baik. Tujuan mak cik ikhlas. Mak cik cuma tak nak kamu di tipu hidup-hidup."
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...