BAB 12

175 0 0
                                    

LEMBARAN manuskrip yang sudah kekuningan dan lusuh dibeleknya berkali-kali. Kisah cinta yang meruntun hati. Tersentuh di jiwa. Biarpun hampir lima dekad sudah berlalu, namun aura cintanya masih pekat membara. Daud mengeluh. Entah mengapa, malam ini otaknya tepu. Mindanya celaru. Berbondong-bondong idea datang menyerbu, namun sepatah ayat pun tidak berjaya dilakar ke atas kertas.

Bunyi ketukan bertalu-talu di pintu merenjat ketenangannya. Nampaknya malam ini agendanya terpaksa ditangguhkan dahulu. Manuskrip usang yang tergenggam kemas dalam pegangan di letak di atas meja. Pantas kakinya melangkah ke pintu. Tersembul seraut wajah yang langsung tidak dijangkanya sebaik sahaja daun pintu terkuak.

"Masri! Ya ALLAH, tak sangko eh dapek jumpo ekau kek sini! Jomputlah masuk," sapa Daud mesra. Sudah bertahun mereka tidak berjumpa. Kali terakhir mereka bersua muka lima tahun yang lalu. Tangan berjabat, rindu kian terubat.

Masri tenggelam seketika dalam dakapan erat Daud. Sudah sekian lama tidak ketemu, hiba datang bertamu. Namun, terjejaknya kaki Masri ke sini bersebab. Bukan calang-calang bingkisannya.

Punggung dilabuhkan. Nafas kasar dihela. Apa, bagaimana dan bila, Masri sendiri tidak tahu caranya perkhabaran ini harus di sampaikan. Bimbang Daud tersilap tafsir pula.

Kerutan terlukis di dahi Masri. Kian pekat dan likat. Hairan Daud melihatnya. "Konapo ni, Masri? Rungsing ajo nampaknyo? Ado apo-apo yang den buleh bantu ko?"

Masri mengeluh. "Den pun tak tahu nak cerito macam mano. Tapi, ekau pongkaji riwayat dan al kisah nenek moyang kito yang terdahulu, bukan? Memang botul ko porcintaan di antaro Panglimo Awang dongan Miriam pornah torjalin dan torkubur suatu ketiko dulu?"

Daud musykil. "Yolah... dah bortahun-tahun pun den mongkaji. Sebelum ni ekau asyik bonar dongan lakaran-lakaran kek kanvas tu. Apa sobab eh tibo-tibo ekau tanyo bogini?"

Imbasan pemuda tinggi lampai, kacak dan berkulit gelap siang tadi terus sahaja bermain-main di layar fikiran Masri. "Siang tadi rasonyo den torsorompak dongan Panglimo Awang kek Kualo Lumpur. Masih hidup, sihat dan segak orangnyo. Saling tak tumpah macam gambor kek dalam ni."

Daud tersentak. Tergeleng-geleng kepalanya. "Ekau ni bior bonar, Masri. Dah lobih 400 tahun borlalu. Mano mungkin wujud manusio sotua tu kek dalam dunio ni."

"Botul jugo kato ekau tu. Hmm... mungkin den yang torbawo-bawo sangat. Hah, macam mano dongan porkombangan manuskrip ekau tontang Panglimo Awang, Pelayar Melayu Terulung tu? Ado apo-apo porkombangan ko?"

Daud mengeluh. "Ontahlah. Malam ni buntu pulak otak den ni hah. Sobaris ayat pun langsung tak muncul-muncul dalam minda den ni. Sobab tuloh den mongadap manuskrip lamo ni. Kot-kot boleh bagi ilham kat den ko."

Mata Masri terus tertancap pada manuskrip usang yang terjelepuk di atas meja. Sifat ingin tahu berlari-lari datang ke hati. Pantas tangannya menyambar manuskrip tersebut. Helaian demi helaian mula di selak satu per satu. Jiwanya mula larut dalam kisah cinta yang tidak bertepian itu...

1516. Lisbon, Portugal.

LADANG epal yang merah meranum santun menyapa pandangan si jelita bermata biru. Rambut hitam ikal mayangnya turut sama berpupuk lembut dek deruan sang bayu. Bibir merah mungil yang diketap berkali-kali tampak sungguh mengiurkan sehingga sang suria juga malu untuk menonjolkan diri. Bimbang tidak mampu menyaingi kecantikan asli milik si jelita ini, barangkali.

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTORWhere stories live. Discover now