BAB 17

158 1 0
                                    

HATI tua Pak Saad diselubungi keceriaan. Manakan tidak, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba Effa sekeluarga muncul di muka pintu. Terlepaslah rindu dendamnya pada cucu-cucunya yang sudah hampir lima bulan tidak ketemu. Bukannya Effa tidak pernah mempelawa dia dan Mak Cik Rosnah tinggal sekali di sana, namun dia sendiri yang berat hati nak meninggalkan tempat ini. Kampung Delima. Tempat yang penuh nostalgia. Segala suka, duka, jatuh dan bangun semuanya di sini.

"Amboi! Sengih sampai ke telinga, nampak? Mentang-mentanglah anak cucu dah ada depan mata, kita ni dah tak ada nilailah, ya?"

Pak Saad berpaling. Mak Cik Rosnah dah tercegat di belakang dengan muncung sedepanya. Risya yang ralit menconteng sesuatu di kertas terus sahaja bangun. Pantas dia menerpa Mak Cik Rosnah.

"Risya nak opah dukung! Nak opah dukung!" rengek Risya.

Tersentuh naluri keibuan Mak Cik Rosnah. Risya terus dirangkul dalam pelukan hangatnya.

"Kalau dah jumpa opah, melekap ajelah kerjanya, ya?" seru Effa yang muncul dari dapur.

Rayyan, Mak Cik Roza, Isya, Tisya dan Asya mengikutinya dari belakang. Sebaik sahaja ternampak Mak Cik Rosnah mengendong Risya, mulalah mereka bertiga cemburu . Pantas semuanya menerpa.

"Nak opah dukung juga!"

"Opah dukunglah Asya pulak!"

Risya segera diturunkan dari dukungan. Mak Cik Rosnah bertinggung. Tangan didepang lebar-lebar. "Meh sini cucu-cucu opah! Manalah si busyuk masham opah tu. Meh peluk opah!"

Serentak Risya, Isha, Tisha dan Asya menerkam Mak Cik Rosnah. Mereka berlima berpelukan seketika.

"Hai, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pula yang lebih-lebih. Nampaknya lepas ni sayalah yang dah tak ada nilai, ya," sinis Pak Saad menyelar.

Sebijik terkena batang hidung! Mak Cik Rosnah tersipu-sipu malu. Merah padam wajahnya. Mujurlah ketukan bertalu-talu di pintu menyelamatkan Mak Cik Rosnah.

Effa segera melangkah ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu terkuak, Lili muncul di muka pintu dengan wajah suram. "Lili! Ya ALLAH! Rindunya aku dengan kau! Kau sorang aje ke? TJ mana?"

Senyap. Sunyi. Sebutir bicara pun tidak terperlus keluar dari bibir Lili.

Effa hairan. "Kenapa ni, Lili? Dah macam muka tikus mondok aje aku tengok? Apa kes ni?"

Lili mengeluh. Berat untuk diungkap, namun perit lagi untuk disimpan. Effa harus tahu hal sebenar. Dikuatkan hati, ditekadkan semangat. Bibirnya segera mengalun ayat-ayat duka. "Effa, kalau aku cakap, kau jangan terperanjat, ya? Tadi kau tanya TJ mana, kan? Sebenarnya... sebenarnya... esok ada orang nak datang merisik dia."

Effa terjerit kegembiraan. "Hah? Betul ke ni? Kenapa kau tak cakap dengan aku awal-awal? Jomlah kita pergi rumah dia sekarang!" Effa dah melangkah ke pintu. Tangan Lili diheret kuat. Namun, pantas Lili merentap kuat tangan Effa.

"Kenapa ni, Lili? Jomlah kita jumpa TJ. Sebagai kawan, kita mestilah ada di samping dia pada hari bahagia dia."

Lili menunduk. Tubir mata dah mula bergenang dengan mutiara jernih. "Aku tak sanggup, Effa. Aku tak sanggup tengok TJ hancurkan hati Mel. Untuk pengetahuan kau, esok Rizal yang akan datang merisik TJ."

Effa tergamam. "Hah?!

TANGANNYA meraba-raba segenap ruang beg sandangnya. Namun, yang dicari-cari langsung tak terkesan di jemari. Mel merengus. Mana pula perginya ni? Kalau tak silap, semalam masih ada dua keping tuala wanita yang terselit dalam beg sandang tersebut. Pagi ini entah ke mana pula lesapnya. Nak beli yang baru, prestasi kewangannya yang sipi-sipi ke arah nazak terus sahaja membantutkan agendanya. Argh! Geramnya makin bertali-tali. Apa yang harus dibuatnya? Hmm... takkanlah dia nak minta bantuan Arish pula? Hisy... tak sanggup rasanya! Tapi, penyelesaian itulah yang paling logik dan masuk akal dikala ini.

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTORWhere stories live. Discover now