BAB 15

134 2 0
                                    

Perkhabaran yang hampir-hampir sahaja merenjat ketenangannya. Menggugat jiwa. Langsung tidak terjangka. Sungguh tidak diduga. Tuan Komisioner menghenyakkan punggung ke atas sofa dengan kasar. Sesungguhnya dia sudah salah percaturan. Permata berharga disangkanya kaca di jalanan. Tidak! Ini tidak seharusnya berlaku. Kesilapan ini harus diperbetulkan semula. Telefon bimbit di kocek segera diseluk. Pantas jari-jemarinya mendail.

"Assalamualaikum. Safwan, ini ada maklumat penting. Saya tahu di mana kedudukan Robo dan Togo sekarang. Hantarkan sepasukan anggota kita ke Cheng Ho Cultural Museum sekarang!" ujar Tuan Komisioner. Tegas nadanya.

Teragak-agak suara Safwan di hujung talian. "Err... tapi tuan, kan kita dah buat perjanjian..."

Tuan Komisioner bingkas memangkas. "Jangan banyak soal! Ikut sahaja arahan saya. Ataupun awak teringin nak terima nasib macam dia orang?"

Safwan terpaksa akur. "Baiklah, tuan. Roger and out."

Talian diputuskan. Tuan Komisioner senyum sumbing. Satu hal sudah selesai. Tinggal satu hal lagi yang perlu ditangani segera. Bak kata pepatah, bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Nombor Safwan didail semula. "Safwan! Saya nak layanan terbaik diberikan pada Arish dan rakan-rakannya. Jangan ada kurang walau seinci pun, faham? Kalau sampai kedengaran ke telinga saya kekurangan kat mana-mana, saya takkan teragak-agak untuk bertindak ke atas awak! Faham? Ingat sikit, masa depan kerjaya awak terletak dalam tangan saya."

"Baik, tuan. Jangan risau, saya akan buat yang terbaik," ikrar Safwan bersungguh-sungguh. Walaupun hatinya berat, jiwanya lelah melayan perangai bongkak Tuan Komisioner. Namun sebagai orang bawahan, segala arahan hanya mampu dijunjung tanpa banyak kata.

Talian dimatikan. Segaris senyuman sudah mula terukir di bibir Tuan Komisioner. Fikirannya sudah mula terbayang momen-momen indah yang akan dikecapinya tidak lama lagi. "Sikit masa aje lagi, semuanya akan jadi milik aku. Hanya milik aku!" teriaknya penuh keghairahan.

"AKU kaya! Aku kaya! Pewaris Panglima Awang dah berada dalam genggaman kita! Lepas ni, tercapailah hasrat aku nak menakluki seluruh harta peninggalan kesultanan silam yang tidak ternilai harganya tu!"

Togo menggaru-garu kepalanya. "Tapi bos, jangan lupa perjanjian kita pula. Semua maklumat ni kita kena salurkan pada big boss saya dulu. Hasilnya kita akan kongsi sama rata."

Robo membentak. "Hei, Togo! Kau ingat aku ni bodoh sangat ke? Aku tak percayalah dengan big boss kau tu. Tak pasal-pasal, lepas aku bagi semua maklumat, diseretnya aku dalam lokap nanti. Sebelum dia buat macam tu, baik aku ambil langkah awal dulu!"

Togo gusar. "Apa maksud bos ni? Janganlah macam tu, bos. Teruk saya kena nanti."

"Apa yang kau nak gelabah sangat ni? Cuba kau dengar cakap aku baik-baik. Kalau kita teruskan rancangan big boss kau tu, kau ingat dia akan kongsi ke segala penemuan harta tu nanti? Jangan mimpilah! Baik kau ikut aku aje. Kita teroka sama-sama. Hasilnya kita bahagia dua. Amacam?"

Logik. Masuk akal. Hasutan Robo tunak ke jiwa Togo. Senyum jahat dah terpamer di bibir masing-masing.

Masri menggerutu. "Elok bonarlah tu! Duo-duo samo porangai! Macam setan!"

Merah padam muka Robo. "Kau diamlah orang tua! Aku sumbat mulut kau dengan pistol ni karang, baru tahu!"

Arish hilang sabar dengan kebiadapan Robo. "Itu ajelah kerja kau, kan? Sikit-sikit ugut, sikit-sikit jerit! Kau dengar sini baik-baik. Aku takkan tolong kau dalam rancangan gila kau ni. Apa nak jadi pun, jadilah! Aku takkan benarkan harta karun tu jatuh ke tangan penyangak macam kau!"

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTORWhere stories live. Discover now