KAKINYA asyik mundar-mandir. Medal Darjah Kesatria Pasukan Polis (KPP) yang tergantung kemas dalam bingkai gambar di dinding bagaikan tiada ertinya lagi. Kealpaannya sendiri nyata memakan diri. Sudah terbayang di mindanya tajuk utama akhbar-akhbar di seluruh Malaysia.
'Perompak yang sudah di berkas boleh terlepas dari genggaman.'
'Kecuaian pihak polis punca perompak yang sudah di berkas terlepas begitu sahaja.'
Arghh!!! Buntu Arish di buatnya. Semalam yang indah sudah lama ditinggalkan. Hari depan yang kelam sudah mula menggamit. Jatuhlah reputasinya selaku anggota paling cemerlang di Jabatan Siasatan Jenayah ini. Maruahnya bakal tercemar gara-gara insiden yang langsung tidak di jangka sama sekali. Kotak perakam mindanya mula memutarkan adegan demi adegan yang telah berlaku beberapa jam yang lepas...
MUDAH sahaja dia menyelinap masuk ke sini. Mata meligas ke kiri dan ke kanan. Tidak kelihatan kelibat sesiapa. Benar kata Togo tadi, hari Isnin tempat ini tutup. Matanya liar mencari sasaran. Galeri berbentuk perahu besar Melayu iaitu Pinis Globel yang menempatkan lebih seratus naskhah Melayu dari dalam dan luar negara terbentang di hadapan Robo. Kakinya pantas dijejakkan ke dalam lantai perahu yang kukuh terbina dari kayu mahoni. Pelbagai manuskrip berwarna coklat keemasan yang tersergam dalam beberapa kotak kaca segera menangkap di mata. Bibir dah ukir senyum lebar. Ya, kesemua manuskrip kesultanan Melayu yang bernilai tinggi itu akhirnya jatuh jua dalam genggamannya.
Kotak kaca yang pertama didekati. Tiada sebarang petanda ruangan dalam perahu mahupun kotak kaca ini menggunakan laser sebagai sistem kawalannya. Senyum Robo kian lebar. Kacang goreng aje ni. Semudah A, B, C!
Pena pemotong kaca dengan mata berlian industri bermutu tinggi sudah ditala ke hujung kotak kaca tersebut. Jemari Robo segera melarik. Terhasil bulatan berdiameter 10 cm di dinding kotak kaca. Dengan cermat, cebisan kaca itu ditarik keluar. Pantas jari-jemarinya menyambar manuskrip yang sudah lama di idam-idamkannya.
"Ya! Aku berjaya! Aku berjaya!"
"Berjaya ditangkap oleh akulah jawabnya!" pekik Arish yang tiba-tiba muncul di pintu masuk perahu tersebut. Dia menyerbu ke arah Robo, namun Robo sempat mengelak.
"Jangan dekat, kalau tak aku koyak manuskrip ni!" kata Robo. Sebelah tangan sudah memegang helaian manuskrip tersebut.
"Jangan apa-apakan manuskrip tu! Tuan inspektor, tolong. Jangan sampai manuskrip tu rosak. Susah saya nanti," seru Mazlan yang muncul di situ dengan Amat. Cuak sudah menerpa di wajah pembantu perpustakaan itu.
Robo tersenyum sinis. Dia tahu pasti Arish tidak berani mendekatinya. Namun, Arish tidak mati akal.
"Hati-hati! Batu berlian dari manuskrip tu jatuh berterabur!" jerit Arish.
"Mana? Mana berlian tu?" Mata Robo dah menerawang ke lantai.
Kesempatan ini diambil oleh Arish untuk menerkam ke arahnya. Robo jatuh terhenyak ke lantai. Dia cuba bangun, namun pantas Arish dan Amat menerpa. Tangan Robo dikilas ke belakang dan terus digari.
"Lepaskan aku! Kenapa aku kena tangkap pula ni? Apa salah aku?"
"Salah kau sebab kau terlalu bijak pilih hari pembaikpulihan manuskrip sebagai hari untuk kau merompak. Jawabnya kau jadi makanan akulah!" selar Arish sinis.
Robo tersentak. Cis!! Patutlah tiba-tiba muncul pihak polis kat sini. Kenapalah si Togo langsung tidak memaklumkan hal ini padanya? Geram datang bertalu-talu dalam hati. Bingai punya pembantu!
"Masuk! Baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah! Dah macam tak ada kerja halal lain yang boleh kau buat!"
Herdikan Arish sekadar menyapa manja ke gegendang telinga Robo. Sengaja dia mengeraskan tubuhnya. Terkial-kial Arish yang bertubuh sederhana menolak tubuh sado Robo ke dalam kereta peronda polis. Kau tak kenal lagi siapa aku budak hingusan, getus Robo dalam hati.
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...