MAK CIK SARA terduduk. Perkhabaran yang dibawa oleh TJ dan Lili sebentar tadi hampir sahaja menyentak degup jantungnya. "Kenapa kamu galakkan dia buat macam tu, Lili? Kamu tak kesian kat mak cik ke?"
Lili tertunduk menekur ke lantai. Sejujurnya dia dalam dilema. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kalau tak di tolong, pasti Mel melabelnya sebagai kawan yang tak boleh diharap. Tapi bila sudah di tolong, tak pasal-pasal pula dia kena menjawab dengan Mak Cik Sara. Hai, nasib... nasib...
"Saya... saya minta maaf, mak cik. Saya bukan tak kesian dengan mak cik. Tapi... saya... saya lebih kesiankan Mel. Dia kan kawan saya. Mestilah saya kena tolong dia," gugup Lili menjawab.
Mak Cik Sara mengeluh. "Kamu ni tolong orang tak bertempat! Patutnya kamu nasihatkan si Mel tu supaya jangan ikut kata hati sangat. Ini kamu pula yang tolong dia. Kamu rasa dengan tolong dia buat benda mengarut macam ni, kamu ni kawan yang baiklah? Kalau kat tengah jalan nanti jadi apa-apa kat dia, siapa yang nak bertanggungjawab? Kamu nak bertanggungjawab?"
Lili terdiam. Peluh renik sudah mula berjuraian di pelipis dahi. Macam mana dia boleh tak terfikir tadi? 'Ya ALLAH, KAU selamatkanlah dan permudahkanlah urusan sahabatku Mel. Moga dia pergi dan pulang dengan selamat,' titip Lili jauh di sudut hati.
Mel terkulat-kulat sendiri. Seumur hidup belum pernah lagi dia menjejakkan kaki ke mari. Selama ini hanya bas Rapid KL sahaja yang menjadi pengangkutan utamanya untuk pergi dan balik kerja. Mujurlah Lili sudi menghantarnya ke mari dengan motosikal cabuknya. Kalau jalan kaki, memang sampai hujung tahun depan belum tentu sampai lagi.
Mel tiada pilihan sebenarnya. Dia terpaksa menaiki STAR LRT kerana hanya inilah satu-satunya pengangkutan awam yang akan membawanya terus ke Terminal Bandar Selatan. Ya, terminal penyelamat yang akan membawanya terus-menerus ke Johor Bharu. Semoga kemunculannya di situ nanti bakal memberikan sinar baru buatnya. Segala janji-janji manis Rizal akan dituntut dan ditagihnya kelak.
Kerlingan tajam yang datang dari deretan manusia yang berbaris panjang di mesin layan diri tiket STAR LRT langsung tidak dipedulikan. Jakun ke apa diorang ni. Tak pernah tengok orang pakai baju pengantin gamaknya, gerutu Mel dalam hati.
Kakinya melangkah penuh yakin ke lorong masuk menghala ke stesen Chan Sow Lin. Kad Touch 'n' Go miliknya segera di imbas pada mesin pengimbas. Sebaik sahaja penghadang terbuka Mel melangkah ke arah lautan orang ramai yang sedang gigih berdiri di sepanjang landasan. Mak aih! Ramainya!
Sempat lagi Mel mengerling ke arah jam besar yang tergantung di salah satu tiang besar di situ. Pukul 7.00 malam. Bukannya waktu puncak pun. Tambahan hari ini hari Ahad. Hari cuti bagi Kuala Lumpur dan negeri-negeri seangkatan dengannya. Ah, gasaklah! Ramai pun ramailah. Janji dia cepat sampai ke destinasi yang dituju.
Sebuah tren yang sarat dengan penumpang tiba. "Sri Petaling. Hmm... aku nak pergi TBS. Bukan tren ni rasanya," bebelnya seorang diri.
Baru sahaja dia mahu berundur ke belakang apabila segerombolan manusia mula menerpa dan menghimpit ke arahnya. Oh, tidak! Rupa-rupanya dia berdiri betul-betul di hadapan pintu tren yang ketiga. Dia tidak sempat mengelak. Badannya semakin terdorong ke dalam tren tersebut.
"Wei! Jangan tolak-tolaklah! Saya tak nak naik tren ni. Saya bukan nak pergi Sri Petaling. Saya nak pergi TBS!"
Suaranya tenggelam dalam hiruk-pikuk manusia yang bersesak-sesak masuk. Tubuhnya sudah jauh terdorong ke dalam tren. Tanpa sempat dia berbuat apa-apa, bunyi siren nyaring mula bergema. Mel cuba bergerak semula ke arah pintu tren, tapi semuanya sudah terlambat. Pintu tren sudah tertutup dan tren mula bergerak perlahan-lahan.
Mel tergamam. Fikirannya buntu. Berpasang-pasang mata yang memandang langsung tidak di peduli. Air mata mula merembes keluar dan menuruni pipi gebunya.
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...