ARISH tersentak. Kerana mulut santan binasa. Sikapnya yang gemar bermain soal hati dengan Mel, kini menjeratnya. Natijahnya mula menampakkan diri. "Mel, saya tahu. Selama ni saya selalu main-main. Soal hati umpama bahan gurauan bagi saya. Tapi itu dulu, Mel. Sebelum saya jumpa dengan manusia kejam berhati batu macam dia orang berdua ni."
Buntang biji mata TJ dan Rizal seketika.
Arish sekadar pamer wajah selamba. Terus sahaja dia menyambung kata-katanya. "Saya tak nak jadi macam dia orang, Mel. Sanggup pijak kepala orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Bina kebahagian atas penderitaan orang lain. Kejadian hari ini menyedarkan saya, Mel. Kadangkala kebahagian sudah terhidang di depan mata, jadi kenapa harus dikenang lagi cinta yang sudah berlalu?"
TJ mencebik. "Alalala... pasangan dua sejoli ni. Kiranya dalam hati tu dah hancur berkecai-kecailah, ya? Sakitnya tuh di sini, sakitnya tuh di sini." Selamba TJ mengalunkan petikan lagu Cita Citata. Siap tangan di dada, bahu dan pinggul dah tergoyang-goyang. Saling tak tumpah macam gelek gerudi Inul Darastita!
Panas pula hati Arish melihatnya. "Sesuai sangatlah! Sekor sengal, sekor lagi macam perempuan kabaret!"
Buntang biji mata Rizal. "Apa kau cakap? Karang melayang jugak penumbuk aku kat muka kau!"
"Tumbuklah kalau berani!" acum Arish.
"Sudahlah tu! Janganlah bergaduh macam budak-budak kecil. Biarlah saya pergi dari sini. Itulah yang terbaik rasanya buat semua." Benteng air mata Mel tumpah jua akhirnya. Tidak tertampung rasa sebak di jiwa. Kakinya sudah tertala laju ke muka pintu.
"Mel! Tunggu dulu, Mel!" pekik Arish. Namun, masih tidak mampu untuk mencengkam brek kaki Mel ke bumi. Langkah Mel makin laju.
Kedebam!!!
Mel jatuh tersungkur. Peritnya dada bagaikan disiat-siat. "Adoi!!! Dah takde orang lain ke yang kau nak langgar selain..." Kata-kata Mel mati tatkala wajah Togo dan Robo menerpa betul-betul di hadapan mata.
"Drama romantik lagi! Asal terserempak dengan korang, mesti tengah buat adegan drama yang tidak sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Lain kali buatlah drama aksi ke, seram ke? Barulah selera nak menengoknya. Ini buat loya tekak aku aje!" tempelak Robo.
Arish sudah berlari ke arah Mel. Namun, Togo lebih pantas mencekak dan membelit leher Mel dengan lengannya. "Jangan rapat! Kalau tidak aku patah-patahkan leher budak ni!" acum Togo.
Keperitan mula mencengkam leher Mel. "Sakitlah! Lepaskan aku! Lepaskan! Rizal, tolong saya, Rizal. Tolong saya!"
Rizal diam tidak berkutik. Kakinya terpasung ke lantai. Tidak mungkin dia akan menbahayakan nyawanya buat gadis pembawa malang itu. Tidak sama sekali.
"Jangan! Jangan apa-apakan dia! Tolonglah! Apa aje yang kau nak, aku akan bagi!" kata Arish cuak.
Terletus tawa dari bibir Robo. "Pelik betullah. Cinta memang mampu buatkan orang sihat jadi sewel, orang lemah jadi kuat. Tengok, yang perempuan beria-ria minta tolong daripada sang kekasih hati. Tapi, inspektor yang perasan bagus ni pula beria-ria nak tolong dia. Memang kelakar!"
Merah padam muka Arish. "Suka hatilah aku nak tolong sesiapa pun. Lagipun, memang dah jadi tanggungjawab aku sebagai seorang anggota polis yang berdedikasi..."
Pantas Robo mencelah. "Pirah!!! Dedikasi konon! Sebenarnya dari mula lagi kau memang ada hati kat perempuan ni, kan? Kaulah lelaki paling pengecut yang pernah aku jumpa seumur hidup aku. Sampaikan isi hati sendiri pun kau tak mampu nak lafazkan pada orang yang kau sayang."
"Kau diamlah! Sekarang ni, baik kau lepaskan dia sebelum kau menyesal seumur hidup kau nanti!" tengking Arish.
Robo dan Togo ketawa lagi. "Hei, inspektor bodoh! Kau ingat aku pun bodoh macam kau ke sampaikan senang-senang nak lepaskan perempuan ni macam tu aje? Sekarang ni aku nak kau pulangkan balik syiling yang kau ambil kat Muzium Cheng Ho tempoh hari. Kalau tidak, kau pulak yang akan menyesal seumur hidup kau nanti!"
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...