NASI GORENG di dalam kuali dikacau laju-laju. Aromanya yang enak menggentarkan sukma pagi yang baru sahaja menunjukkan wajahnya. Bersusah-payah Mel menyediakan nasi goreng istimewa ini atas permintaan Mak Cik Sara. Dia sudah merancang untuk singgah sebentar ke hospital sebelum masuk ke pejabat.
Lincah jemari Mel menceduk nasi goreng tersebut ke dalam mangkuk tingkat sebelum ditatang ke meja makan. Matanya terus tertangkap pada meja makan yang agak usang. Tunggu masa menyembah bumi sahaja layaknya.
Sayu memilir tiba-tiba. Menyentak rasa. Janjinya pada Mak Cik Sara yang tidak mampu tertunai hingga ke saat ini. Janji untuk menggantikan meja yang usang ini dengan meja makan yang baru. Namun, Mel tidak berdaya. Gajinya hanya cukup untuk menampung belanja dapur dan bil-bil semasa sahaja. Belum ditolak duit tambang basnya pergi dan balik kerja lagi. Untuk menjimatkan perbelanjaan, setiap hari Mel akan membawa bekal ke pejabat. Dia sekadar menebalkan muka dan memekakkan telinga tatkala disindir oleh Rika kerana dia sedar kemampuan diri sendiri. Tiada apa yang harus dimalukan.
Setelah siap berkemas, bergegas Mel mengunci pintu rumah. Tidak sabar-sabar dia hendak menjejakkan kaki ke hospital. Pasti Mak Cik Sara sudah tertunggu-tunggu kedatangannya.
"KAMU start kerja balik hari ni kan, Mel?" sapa Mak Cik Sara sebaik sahaja Mel sampai.
"Ya, mak. Tapi saya nak temankan mak sekejap."
"Tak payahlah kamu berlama-lama kat sini. Takut terlambat pula nanti."
"Saya nak temankan mak makan aje pun. Takkan itu pun tak boleh? Lepas tu saya pergilah," ujar Mel dengan muncung cemberut.
Mak Cik Sara tersenyum. Wajah polos Mel ditenungnya dengan penuh kasih sayang. "Tak payahlah susah-susah, Mel. Kamu pergilah kerja. Tak payahlah tunggu mak. Nanti kamu lambat pula. Tak pasal-pasal kena buang kerja nanti."
Segaris senyuman terukir di bibir Mel. Jemari Mak Cik Sara digenggamnya erat-erat. "Mana boleh macam tu, mak. Kalau kena buang kerja, ada beribu-ribu lagi kerja kat luar sana yang Mel boleh cari. Tapi, mak Mel seorang aje. Mana boleh ditukar ganti. Kalau apa-apa jadi pada mak, Mel takkan maafkan diri Mel sampai bila-bila. Mel sayang sangat kat mak, tau."
Sayu menghimpit dada Mak Cik Sara. Tubuh Mel terus ditarik dalam pelukannya. "Mak pun sayang sangat kat kamu, Mel. Kamulah satu-satunya permata mak yang paling berharga dalam dunia ni selain daripada bapak kamu."
Mel tersentak. Terus dia tarik muka. Cukup pantang baginya mendengar nama bapanya disebut-sebut oleh Mak Cik Sara. "Mak ni... boleh tak tolong jangan ungkit nama orang tu lagi? Sakit telinga Mel mendengarnya, tau tak?"
Mak Cik Sara mengeluh. "Tak baik cakap macam tu, Mel. Walau macam mana buruk sekalipun, dia tetap bapak kamu. Suami mak. Kalau kamu benci dia, bermakna kamu juga membenci mak. Jadi takde maknanya hidup mak dalam dunia ni kalau anak mak sendiri sudah membenci," rajuknya dengan suara tertahan-tahan.
Serba-salah Mel melihat wajah kusam Mak Cik Sara. Terus sahaja tubuh emaknya dirangkul erat-erat.
"Sekelumit pun Mel tak pernah membenci mak. Mel sayangkan mak. Cuma... cuma... Mel geram. Sebab bapak, hidup kita melarat macam ni. Lagipun..."
"Sudahlah tu, Mel. Mak tak nak dengar lagi. Janji dengan mak. Tolong jangan cakap macam tu pasal bapak kamu lagi," rintih Mak Cik Sara, sayu.
Mel mati kata. Dia hanya mampu mengangguk sahaja. Akhirnya hujan air mata menguasai suasana.
"Dahlah. Jom kita makan. Hari ni kan hari pertama kamu mula kerja balik. Takkanlah kamu nak datang lambat pulak, kan? Tunjuklah imej yang elok sikit."
"Wah! Sejak bila pula mak dah pandai pasal imej ni? Kelas mak sekarang!" sempat lagi Mel berseloroh.
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...