PUAS hati Arish. Berbaloi pencariannya kali ini. Cik Vios dapat semula ke tangannya. Cuma duit sewa rumah dah selamat disedekahkan oleh Husni pada Ah Long Cheras. Kasihan pula Arish mendengar kisah Husni. Dia terpaksa meminjam dari Ah Long Cheras tempoh hari bagi membiayai bil perubatan ibunya yang terlantar di hospital. Namun, dia gagal melangsaikan hutang tersebut dalam masa yang ditetapkan. Sudahnya duit sewa rumah mereka yang jadi galang gantinya.
Arish lega. Mujurlah Husni tidak menyedekahkan sekali Cik Vios pada Ah Long Cheras. Kalau tidak, mahu juga dia meroyan tiga hari tiga malam. Kini bolehlah dia pulang semula ke Kuala Lumpur dengan hati yang senang. Namun, terselit sedikit kegusaran di jiwa. Mel yang berseorangan dalam kembara memburu cinta. Untuk turut serta, dia rasa tidak upaya. Untuk menghalang, PAnya itu tampak bersungguh-sungguh untuk meneruskan misinya.
"Awak ikut saya balik KL ajelah. Tak payahlah kejarkan si Rizal tu. Kalau dia betul-betul cintakan awak, dia akan kembali semula ke pangkuan awak. Saya tak sampai hati nak biarkan awak pergi sana seorang diri. Bahaya. Awak ikut saya balik, ya?" pelawa Arish bersungguh.
Mel menggeleng. Walaupun sebenarnya pujukan Arish sedikit berbekas di jiwa, jauh di sudut hati pendirian sudah mula gentar. Langkah kaki semakin goyah. Perjalanan yang bakal ditempuhi belum tentu menjanjikan pengakhiran yang indah. Namun, malu menjerut rasa. Segan menghinggap minda. "Tuan jangan risau. Insya-ALLAH... pandailah saya jaga diri saya. Tuan tu, bawa kereta elok-elok. Jangan nak memecut kat jalan raya pula."
Arish sekadar mencebik. "Orang dah tak sudi, nak buat macam mana, kan? Takpelah. Kita balik sorang-soranglah jawabnya. Ingatkan adalah orang nak temankan kita balik."
Mel senyum senget. Bukan setakat senyum, hatinya pun dah turut senget-benget. Kaki macam dah ditarik-tarik untuk turut serta. Namun, hati terikat kuat pada misi asal. Misi memburu suami. Pelawaan Arish terpaksa ditolak buat masa ini.
"Sorrylah, tuan. Bukan saya tak nak ikut, tapi saya ada misi yang harus diselesaikan. Harap tuan tak kecil hati."
"Oklah.. kalau awak dah cakap macam tu, saya tak boleh nak kata apalah. Saya gerak dulu. Jumpa lagi."
Enjin kereta dihidupkan. Sejurus selepas itu, Cik Vios menderum laju membelah keheningan malam. Entah kenapa, hati Mel rasa dcarik-carik. Terasa kekosongan mula mengisi dada tatkala Arish berlalu pergi di hadapannya. Erkk?! Takkanlah si mamat cengcong ni dah mula menapak dalam hati?
'Jangan nak macam-macam, Mel. Fokus. Fokus pada misi kau,' getus Mel dalam hati. Kaki terus melangkah ke arah bas.
Kelibat bas yang mula bergerak meninggalkan parkir, menyentak jiwa Mel. Arghh, tidak!!! Masak dia kali ini. Pecutan larian sepantas Watson Nyambek sudah mula terkilas di kaki. Kelajuan larian mula meningkat dua kali ganda. Bas itu harus d naikinya. Itulah satu-satunya peluang terakhir baginya untuk bertemu semula dengan Rizal. Jika gagal, maka hancurlah harapannya.
KEDEBAM!!!
Mel jatuh tersungkur. Dada terasa senak. Perit bahu memanggung kesakitan. Baru sahaja dia mahu bangkit, secara tidak sengaja matanya tertancap pada sepucuk pistol yang terdampar di hujung kakinya. Belum sempat pistol tersebut dicapai, lelaki bertubuh sasa di hadapannya pantas menyambar pistol tersebut.
"Kau ni penyangak, ya? Siap ada pistol bagai. Aku nak report kat polis!" acum Mel. Dia bingkas bangun. Namun, lengannya sudah menjadi sasaran genggaman lelaki bertubuh sasa itu sebelum sempat dia melarikan diri.
"Kau jangan berani-berani nak report polis, ya? Nahas kau aku kerjakan nanti!" ugut Togo. Muncung pistol sudah dituju ke kepala Mel.
Mel meronta-ronta. "Sakitlah! Lepaskan aku, penyangak tarbus! Aku jerit nanti baru kau tahu!"
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...