SAFWAN mengeluh. Ini semua gara-gara Arish dan Mel. Arghh!!! Sakit jiwa dibuatnya!
"Helo! Helo! Dengar tak apa yang saya cakap ni? Safwan!!!"
"Ya, tuan. Saya dengar," balas Safwan dengan hati mendongkol.
"Macam mana awak buat kerja ni? Saya tak peduli, awak mesti cari Arish sampai dapat! Saya tak nak apa-apa jadi pada dia, faham?"
"Faham, tuan. Tapi tuan jangan bimbang. Sekarang ni dia bukan keseorangan. Dia ada dengan PA dia."
"Hah? Dengan PA dia? Macam mana pula PA dia tiba-tiba muncul kat situ?!"
'Bertuah betul Tuan Kommisioner ni. Ada ke patut dijeritnya kat telinga aku ni? Pekak juga telinga aku ni nanti,' sungut Safwan dalam hati. "Err... sebenarnya... sebenarnya... tempoh hari PA dia pun kena culik sekali dengan si Robo tu."
"Hah?! Macam mana boleh jadi macam tu? Boleh rosak program kalau macam ni. Cari dia orang berdua cepat! Lagi lama dia orang berdua-duaan macam tu, lagi bahaya!"
"Alah, tuan jangan risaulah. Takkanlah tuan tak tahu perangai si Arish tu. Dialah manusia paling cerewet dalam alam maya ni. PA dia tu kan kelam-kabut. Lurus bendul pula tu. Tak mungkinlah dia akan pilih perempuan macam tu. Pilihan dia mestilah yang sempurna. Terbaik. Macam Cik Qisya tu," tokok Safwan.
Lega terpercik di jiwa Tuan Kommisioner. "Betul juga tu. Takpelah... sekarang ni awak cari dia orang berdua sampai dapat. Kalau ada apa-apa maklumat nanti, maklumkan pada saya, faham?"
"Baik, tuan. Roger and out."
Talian terus dimatikan. Safwan menghela nafas kasar. Ke mana sajalah mereka berdua menghilang agaknya? Matanya tiba-tiba tertancap pada Lili yang sedang asyik menggodek telefon bimbitnya di bawah pohon kelapa. Matanya langsung tidak berkalih dari skrin telefon bimbitnya. Terus sahaja Safwan menghampiri.
"Cik Lili! Agak-agak Cik Lili tahu tak kawan Cik Lili tu pergi mana?"
"Entah! Manalah saya tahu. Mungkin dia balik rumah. Tak pun dia pergi hospital balik. Mak dia kan tengah sakit. Dari tuan duduk tercongok kat sini, baik tuan pergi cari dia kat rumah atau kat hospital," sahut Lili acuh tak acuh. Kemudian terus sahaja dia angkat kaki dari situ.
Safwan mendengus. Langsung tak boleh harap! Nak dicari? Jejak Arish dan Mel langsung tidak dapat dihidu walaupun seinci. Akhirnya dia mengalah. Dia berlalu pergi dari situ.
"Berapa lama lagi kita nak berkubang dalam terusan ni? Dah naik kematu kaki saya ni," sungut Arish sambil menahan ketar. Bertinggung dalam air terusan yang sejuk sampai ke tulang hitam selama 20 minit sudah cukup menyeksakannya. Ini semua gara-gara idea gila Mel!
Mel dah senyum senget. "Tulah! Siapa suruh tuan ikut saya. Sekarang ni tanggunglah akibatnya!"
Arish merengus. "Hisy... balik-balik kita juga yang salah! Dahlah, saya tak nak ikut kerja gila awak lagi. Lama-lama boleh mereng otak saya dibuatnya!"
Bergegas Arish memanjat tembok tebing terusan itu. Mel dibiarkan terkapai-kapai keseorangan.
"Sanggup buat apa-apa saja untuk kita, konon! Ni selamba aje tinggalkan kita terkontang-kanting kat sini," bebel Mel seorang diri. Rumput liar yang menjalar di sepanjang tebing menjadi mangsa cengkaman jemari Mel. Tubuhnya cuba dilonjakkan ke atas. Pedih tiba-tiba menangkap di kaki. Sesuatu melekap padat pada betisnya. Mel mengerling ke bawah. Oh, tidak! Mukanya berubah pucat macam mayat. Dia terjelepuk ke dalam terusan tersebut. Tubuhnya lencun. Kaki dah menendang ke kanan dan ke kiri.
"Aaaaaahhhhhh... tolong tanggalkan benda tu! Tolong tanggalkan cepat! Geli! Geli!"
Arish terkejut. Jeritan Mel merenjat ketenangannya. Dari tepi tebing, terus sahaja dia melompat semula ke dalam terusan tersebut. Tak berkelip bebola mata Mel melihat aksi terjun tiruk Arish! "Kenapa dengan awak ni, Mel? Apa dah jadi?"
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...