'Robo si penjejak harta karun mudah memboloskan diri dari polis terkemuka, Inspektor Arish.'
WHATSAPP yang diterima dari Borhan benar-benar menggetirkan perasaan. Tiap baris ayat yang tertera di petikan muka surat hadapan surat khabar itu ditatap penuh resah. Hatinya digaru celaru. Walid Aziz mengeluh. Tingkah Arish memang kerap kali memeningkan kepala. Namun, perkhabaran terbaru yang di terimanya ini paling menggusarkannya.
"Kan memang ni yang abang inginkan? Kenapa pula abang nak pening kepala ni?" soal Mami Zai. Lembut dan tenang. Namun angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari celah pepohonan tamar yang meliang-liuk tidak mampu meredakan resah di jiwanya.
"Memang betul. Tapi, bukan dengan cara ni. Memalukan keluarga aje," dengus Walid Aziz.
"Entahlah, bang. Zai pun tak tahu nak cakap apa. Zai cuba telefon dia, tapi langsung tak berjawab. Zai telefon si Rahman, kawan serumahnya tu. Katanya Arish dan dia dah kena halau dari rumah sewa pasal si Husni dah kapur duit dia orang. Tu yang sekarang ni cucu abang tu dalam perjalanan ke Johor Bharu. Nak cari Husni di kampunglah tu agaknya." Ringkas dan padat. Sebiji macam laporan berita Astro Awani.
"Tak habis-habis cari masalah cucu kesayangan awak ni! Hisy, geram betul saya!"
"Tak payahlah marah-marah, bang. Apa-apa pun, dia tetap cucu kita. Satu-satunya peninggalan Afzan untuk kita. Kalau awak marahkan Arish, samalah macam awak marahkan Afzan juga."
Sentap. Tapi, berkesan. Tiap kali nama arwah anak mereka berlagu di bibir Mami Zai, hati batu Walid Aziz secara automatik mencair.
Nada suara Walid Aziz mula mengendur. "Awak ni Zai, manjakan sangat cucu awak tu. Inilah puncanya sampai dia jadi macam ni."
"Bukan salah dia pun penjahat tu terlepas, bang. Dah takdir ALLAH macam tu. Sekarang ni, dia perlukan sokongan daripada kita. Cuba abang cakap. Siapa lagi yang dia boleh harapkan kalau tidak kita selaku darah dagingnya sendiri?"
"Sebab dia darah daging kitalah saya cakap macam ni. Kalau ada silap dia di mana-mana, kita tak boleh biarkan macam tu aje. Kita kena tegur demi kebaikan dia. Bukannya kita menggalakkan pula," bidas Walid Aziz.
Mami Zai mencebik. "Ye ke tegur? Yang saya nampak sekarang ni, abang sedang condemn dia, hina dia. Kalau beginilah cara abang, jiwa yang kental pun akan goyah. Semangat yang goyah akan terus jatuh merudum. Kalau cucu saya patah hati, abanglah yang bertanggungjawab untuk itu!"
Kalah lagi! Walid Aziz terdiam. Tak guna berbalah kata. Kalaupun hujahnya sepedas sambal hitam Pahang dan setajam pedang Rasullullah sekalipun di penghujungnya, pasti Mami Zai akan menang juga. Almaklumlah isterinya itu bekas pendebat terbaik zaman universiti dahulu. Redha ajelah jawabnya!
"Yalah isteriku yang tercinta. Abang mengaku abang yang salah. Sudikah buah hati pengarang jantung abang memaafkan kekhilafan suamimu ini?"
Jemari Mami Zai digenggam dan diramas lembut. Romantik. Satu sifat yang tidak pernah memudar dalam diri Walid Aziz. Sejak dari mula berkenalan sehinggalah usia sudah menginjak senja sebegini, tidak pernah sehari pun Walid Aziz gagal mengungkapkan kata-kata puitis buat Mami Zai. Sedikit sebanyak tersentuh hati Mami Zai sampai ke lubuk sanubari yang paling dalam. Tapi, keegoan mengatasi sejuta perasaan yang sudah mula berbunga riang. Pegangan Walid Aziz segera dilepaskan. "Yalah tu, bang. Mulalah dengan ayat-ayat jiwang abang tu. Dah tak termakanlah. Dah tepu hati ni. Daripada abang mengarut tak tentu pasal macam ni, baiklah kita doa yang terbaik untuk cucu kita tu. Lagi afdal."
Setepek kena tepat ke muka! Walid Aziz senyum kambing. Namun, lega bertandang di jiwa. Dia tahu isterinya tidak marah kerana sempat lagi dia melihat segaris senyuman terlukis di bibir mungil Mami Zai sebelum isterinya berlalu ke dalam Masjid Nabawi tadi.
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...