ARISH mendengus. Nasib baiklah kat hospital. Kalau tidak, ada juga yang dah kena luku petang-petang macam ni. Geramnya bertali-tali pada Mel. Macam tak ada apa-apa perasaan. Siap boleh mengunyah keropok Mister Potato dengan jayanya. Muka pula selamba habis.
"Terima kasihlah nak sebab tolong hantarkan anak mak cik ke sini," ujar Mak Cik Sara dengan nada lemah. Namun, bibirnya masih terukir senyuman.
"Sama-sama, mak cik. Memang tanggungjawab saya. Mel ni kan staf saya. Demi dia, tekan minyak sampai 180 kilometer sejam pun takde hallah! Janji kita orang sampai kat sini secepat mungkin!" sindir Arish. Mata dah kerling tajam pada Mel.
Makin laju pula Mel mengunyah. Sekeping demi sekeping kerepok dimasukkan ke dalam mulut. Siap pamer muka tak bersalah lagi. Geram Arish kian menjadi-jadi.
Buntang biji mata Mak Cik Sara. "Hah? Lajunya kamu bawa kereta. Jangan begitu, nak. Bahaya bawa laju-laju macam tu."
Selamba Mel mencelah. "Tuan Arish ni memang macam ni, mak. Dia memang selalu bawak kereta laju-laju macam tu. Bukan apa, kalaulah terserempak dengan perompak, senanglah dia nak buat adegan kejar-mengejar nanti. Tulah hari-hari dia berlatih bawak laju-laju macam tu. Maklumlah nak kekalkan title selaku inspektor terhebat kat Malaysia ni."
"Oh, macam tu rupanya. Bagus betul anak ni. Memang boleh menang anugerah polis contoh. Cekap, tangkas, suka tolong orang pula tu. Untunglah sesiapa dapat menantu macam anak ni," puji Mak Cik Sara.
Arish dah senyum kambing. "Mak ciklah bakal jadi orang yang beruntung tu."
Dahi Mak Cik Sara dah terlakar kedut seribu. "Apa maksud anak ni? Mak cik tak fahamlah!"
"Sebenarnya saya dan anak mak cik akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Saya ke sini sebab nak minta restu daripada mak ciklah."
Mel terlopong. Lebar. Bukan saja lalat, silap-silap langau dan unggas pun boleh terbabas masuk ke dalam mulutnya.
"Betul ke ni, nak? Anak bukan main-main, kan? Mel, kenapa sebelum ni Mel tak pernah cakap dengan mak pasal ni?"
Merah padam muka Mel. "Mak! Tuan Arish bergurau ajelah. Mak janganlah ambil serius kata-kata dia tu."
"Bila masa pula saya cakap saya bergurau ni? Saya serius, Mel. Sekarang ni mak cik jadi saksi saya. Melina binti Kamil, sudikah awak jadi isteri saya?"
Mel terpana. Rasa macam nak pitam pun ada. "Saya nak cakap dengan tuan sekejap. Sekarang juga! Saya tunggu kat luar."
Pantas Mel melangkah keluar dari bilik tersebut. Kakinya melangkah laju ke arah bilik menunggu. Arish mengekorinya dari belakang. Sesampainya di sana, Mel berhenti mendadak. Terus dia berpaling. Mengejut. Tanpa sebarang amaran. Hampir-hampir sahaja tubuhnya berlaga dengan tubuh sasa Arish.
"Apa masalah tuan sebenarnya, hah? Kalau setakat tuan nak bergurau-senda dengan saya, saya boleh terima lagi. Kenapa tuan nak babitkan mak saya pula dalam hal ni?"
Arish merapati Mel. Sangat rapat. Tidak pernah serapat ini sebelum ini.
Kening lebat tersisir rapi. Sorotan mata yang tajam dan terperosok ke dalam. Hidung mancung bak seludang. Ya ALLAH, kacaknya! Berderau darah Mel. Barulah kini dia mengerti mengapa Rika, Suzanne dan Qisya tergila-gilakan mamat cengcong ni!
Mel berpaling. Namun, tangkas kedua-dua belah tangan Arish menangkap kedua-dua bahu Mel. Kuat. Sehinggakan sepicing pun Mel tidak mampu berkalih.
"Saya ikhlas, Mel. Awaklah satu-satunya perempuan yang paling rapat dengan saya. Faham saya luar dalam. Sebab awak PA saya. Jadi saya nak upgrade status diri awak. Sanggup tak awak jadi kawan baik, teman gaduh, buah hati pengarang jantung, tunang, isteri dan ibu kepada bakal anak-anak kita?"
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...