TJ bungkam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana sekeping hati Mel yang terluka bisa di rawati dan diubati. "Saya tak tahu nak pujuk dia macam mana lagi. Dia beria-ria nak pergi juga. Apa yang kita orang patut buat ni?"
"Takkanlah itu pun saya nak kena fikirkan juga. Pandai-pandai awaklah. Dahlah! Jangan ganggu saya lagi!"
Talian diputuskan sebelum sempat TJ menitip sebarang bicara. Waduh! Mana mungkin perhubungan jiwa ini boleh bertahan, kiranya hati yang gersang sering sahaja disirami racun berbisa. Jiwanya mula lelah dengan bongkak dan ego sang kekasih.
"Mr R marah kau lagi ke?" soal Lili. Geram sudah mula bersimpul dalam hati.
TJ pantas berdalih. "Err... takdelah. Dia suruh aku jaga diri baik-baik. Itu aje."
Lili mencebik. "Gegendang telinga aku ni masih sihat walafiat lagi, kau tahu tak? Setiap butir bicara yang keluar dari mulut kau tu, jelas lagi terngiang-ngiang kat telinga aku."
TJ terkedu. Namun, dia masih menyimpan harapan perbualannya sebentar tadi hanya singgah sepicing cuma di cuping telinga Lili. Sekali lagi perhatian Lili cuba dilarikan.
"Alah, tak yahlah cite pasal aku. Baik kau fikir macam mana kita nak pujuk minah bendul tu hah. Kalau betul-betul dia nak pergi JB, habislah kita. Menjawablah dengan Mak Cik Sara nanti."
Serentak mereka berdua berpaling ke arah Mel. Dia tenggelam dalam lamunan yang tidak berpenghujung. Angin yang menyapa pipi tidak bisa menyisir gundah di hatinya. Sebak di jiwanya tidak terperi. Nasib buruk yang tidak kunjung padam bagaikan mencabar kesabarannya. Hatinya walang mengenangkan nasibnya yang malang. Buat kesekian kalinya, sebuah keluhan kasar terhembus keluar dari bibir Mel.
"Janganlah macam ni, beb. Kalau kau monyok macam ni, aku pun tak sedap hati. Kita orang bukan tak nak tolong kau, tapi kita orang tak berdaya," pujuk Lili. Bahu Mel diusap lembut.
"Takpelah. Aku tak marah. Sekurang-kurangnya sekarang aku tahu nilai persahabatan aku dalam hati korang."
Pedas lagi hangat. Namun, ia hakikat yang tak mampu ditepis oleh TJ dan Lili buat masa ini. "Janganlah cakap macam ni, beb. Bukan kita orang tak nak tolong kau. Tapi, cubalah kau bukak minda kau besar-besar sikit. Takkanlah sebab nak puaskan hati kau, sanggup kau nak heret kita orang sampai ke JB? Soal hati ni, kecil punya hallah. Kau janganlah nak emo tak tentu pasal. Esok, lusa terubatlah hati kau tu," pujuk TJ.
"Kalaulah hati ni boleh dirawat semudah kita mengungkapkan kata-kata, mesti indah hidup ni, kan? Masalahnya, ini kenyataan hidup aku yang sentiasa pahit dan kelat. Mungkin aku tak layak untuk kecapi nikmat cinta daripada seorang lelaki yang bergelar suami," ungkap Mel sayu. Dia sedar, parasnya tidak seindah Zulaikha, hartanya tidak tinggi menjulang seperti Ratu Balqis. Namun, ini bukan bermakna kaum adam bisa merobek pintu hatinya sesuka hati.
"Habis tu, sekarang ni apa kau nak buat? Takkanlah kau nak kejar si Rizal tu? Tak berbaloilah, beb. Kumbang bukannya seekor," sampuk Lili pula.
"Memanglah kumbang bukan seekor. Tapi kalau semuanya kumbang tanduk, buat apa? Si Mel ni nak tunggu kumbang ladybird yang datang," sampuk TJ sambil menyerigai.
"Korang ni mereng ke apa? Bila masa pula aku jadi pengumpul tegar segala mak nenek kumbang ni?" soal Mel bingung.
Lili menepuk dahinya. Datang balik dah bendul teman baiknya ni. "Hisy, susahlah cakap dengan kau ni! Lain kita orang cakap, lain yang kau tangkap!"
Bendul Mel semakin menjadi-jadi. "Lah, tadi kumbang, ni main tangkap-tangkap pula. Oh, aku faham! Kau nak suruh aku tangkap semula hati Rizal, ya? Terima kasihlah Lili sebab kau bagi idea bernas kat aku. Tu yang aku kena pergi JB juga walau apa pun yang jadi. Aku kena tangkap hati dengan tuan punya badannya sekali. Korang berdua kena tolong aku."
YOU ARE READING
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR
RomanceTall, Dark, Handsome. Gadis mana yang tak cair tatkala melihat kelibat Inspektor Idaman Malaya a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Namun sikap cerewet tak bertempatnya benar-benar menguji kesabaran. Hanya seoran...