Bola keranjang yang ada ditangan dilantun beberapa kali sebelum dibaling ke dalam jaring, dan ianya berjaya masuk.
Aku melakukan perbuatan yang sama berulangkali, melepaskan rasa rindu aku kepada Min Yoongi dengan cara seperti ini.
"Min Yoongi, hari ni dah seminggu kau pergi kerja. Bila kau nak balik jumpa aku?", omel aku sendiri. Aku berlalu kearah tempat penonton, punggung dilabuh di atas kerusi. Air mineral yang ada di tempat sebelah aku ambil lalu kuteguk air itu rakus.
"Yukyung"
Serentak itu, mata aku teralih kearah suara yang memanggil. Mata aku yang kecil terus sahaja menjadi bulat melihat gerangan itu, hati yang menjerit rindu membuatkan aku tak sabar.
"Yoongi!"
"Hai! hahaha..", dia ketawa kecil. Senyuman aku menjadi semakin melebar, indahnya tawa itu. Meronta-ronta aku mahu memeluknya, namun prinsip sedar diri yang ada diminda menghalang aku dari melakukan itu.
"Ma-macam mana kerja? okay?"
"Aku gembira dapat berjumpa dengan kau lagi"
"Akupun..", ucap aku dengan satu helaan nafas. Kami memandang antara satu sama lain, tak ada salah seorang daripada kami ingin memecahkan kesunyian itu. Mungkin terasa janggal, Yoongi berdehem kecil. Wajahnya ditoleh memandang kearah lain.
"Tengok dalam poket kau, aku belikan hadiah", tutur Yoongi. Aku tanpa berlengah menyeluk poket seluar aku, ada sesuatu di dalamnya. Bila aku membawanya keluar, spontan senyuman aku terukir.
Seutas rantai, berhuruf Y.
Yukyung atau Yoongi.
"Terima kasih Yoongi.."
Entah sejak bila dia letak rantai ini dipoket aku, magik..
"Hm..", dia menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Matanya ditutup rapat, kedua tangannya diletakkan dibelakang kepala.
"Macam mana kau di sekolah, ada perkembangan?", tanya Yoongi dengan mata yang masih terkatup rapat. Ini peluang untuk aku melihat wajah indahnya dengan lebih teliti, setiap inci wajahnya aku lihat dengan penuh taksub, sempurna, sangat sempurna.
Namun, peluang itu hanyalah sementara. Yoongi tiba-tiba sahaja membuka matanya, melihat aku yang tak sempat menukar sebarang ekspresi.
"Kenapa? aku terlalu tampan untuk kau kagumi?", seloroh Yoongi. Aku cuba untuk menyembunyikan perasaan, jadi aku menggulingkan mata, perasan.
Walaupun apa yang dia utarkan itu benar.
"Aku di sekolah.. macam biasa. Tapi akhir-akhir ni, ada seorang lelaki cuba berkawan dengan aku"
"Baguslah tu..", balas Yoongi. Matanya dipejamkan semula, dia tak sedar air muka aku berubah selepas itu. Aku.. agak kecewa dengan jawapannya.
Aku harap kau cemburu dengan lelaki itu, Yoongi. Dan menghalang aku untuk berkawan dengannya.
"Tapi lelaki tu.. tak macam kau. Dia tu sewel, kau baik, cool ..", puji aku. Mata Yoongi memandang aku semula, tak tahu apa maksud tatapan itu. Tapi nampaknya dia agak tak bersetuju dengan kata-kata aku.
"Jangan memilih Yukyung. Kalau aku dah tak ada nanti, kalau aku pergi jauh, tinggalkan kau. Siapa lagi akan bersama dengan kau?"
"Kau nak pergi mana..", suara aku berubah serius apabila mendengarkan kata-katanya itu. Pergi tinggalkan aku? menjauh dari aku? kau fikir kau akan terlepas dari genggaman aku?
Aku tak akan benarkan kau pergi menjauh, Min Yoongi.
"Haih.. tak ada apalah", Yoongi memicit tengkuknya. Dia memandang aku, senyumannya terukir, namun aku tahu itu bukan senyuman ikhlas, senyuman tersalut kepahitan.
Min Yoongi, apa yang membuatkan kau bersikap sebegini rupa? Selepas seminggu kau pergi bekerja, hari ini kau kelihatan dingin denganku.
"Yukyung..", panggil Yoongi. Aku hanya mengumam malas, namun tangannya mula menyentuh tangan milik aku. Seperti biasa, sentuhannya seakan udara, langsung tak terasa.
Namun, aku tetap menyukainya. Jika ianya berkaitan dengan Min Yoongi, aku mahu. Bahkan jika dia mahu membunuh diri, aku akan mengikutinya.
"Jom, aku teman kau balik rumah?", soal Yoongi. Aku mengangguk kecil dengan pertanyaannya itu, barang-barang milik aku yang ada di situ dikemas elok. Bersama pegangan tangan Yoongi, kami melangkah keluar dari gelanggang bola keranjang ini.
"Pst, Yukyung dah keluar.."
Hueningkai dan Taehyun perlahan-lahan keluar dari tempat persembunyian mereka. Menatap antara satu sama lain, dengan pandangan simpati.
Mereka nampak apa yang Yukyung lakukan tadi. Bercakap, sedangkan tak ada sesiapa disampingnya.
"Weh, kenapa dia cakap sorang-sorang doh? meremang bulu roma aku", bisik Taehyun. Huening hanya diam tak berkutik, wajahnya sayu melihat tempat duduk yang diduduki Yukyung sebentar tadi.
"Ini salah kita semua. Kalau dari dulu kita cuba berkawan dengan dia, mesti dia tak akan jadi macam ni"
