Tok tok!
"Yukyung.. mari turun, sarapan", suara ibu sayup-sayup kedengaran di luar bilik, suara yang merdu, lembut alunannya.
Aku hanya mengamati suara itu dengan tenang. Air mata yang tadinya sudah mengering, kini kembali mencair. Meluncur laju ke pipi, dan akhirnya jatuh di hujung rahang.
Maafkan Yukyung, ibu. Yukyung sepatutnya sedar dari dulu lagi, Yukyung memang anak yang memalukan, ibu tak sepatutnya terima dugaan semacam ini. Ibu sepatutnya melahirkan anak yang baik-baik dan sihat, bukan anak seperti Yukyung.
Ini bukanlah perlian, ibu. Tapi sesuatu yang tulus di dalam hati Yukyung.
Hari ini, pagi ini, Yukyung merenung bilik gelap ini. Bilik gelap ini, semalap perasaan Yukyung. Yukyung tak tahu bagaimana cara untuk hentikan semua ini.
Yukyung cuma tak tahu.
Seandainya, Yukyung luahkan apa yang Yukyung rasa sekarang, apa yang Yukyung alami, sejak bila Yukyung merasakan perkara-perkara gila seperti ini. Mahukah ibu bertenang? memeluk dan memujuk Yukyung sekiranya Yukyung menangis? memberikan kata-kata semangat agar Yukyung tahu masih ada ibu untuk dijadikan sebagai sumber kekuatan Yukyung.
Mahukah?
Tak mahu, ibu tak mahu. Ibu cuma mahu Yukyung selesaikan masalah ini secepat yang mungkin, ibu mengharapkan perkara yang permanen, kekal. Ibu mengharapkan masalah ini mudah untuk diselesaikan semudah memetik jari.
Adakah ini salah Yukyung? salah Yukyung hidup di dunia ini?
Yukyung tak tahu.
Yukyung sepatutnya mati sahaja. Agar ibu dapat meneruskan hidup dengan kelegaan.
"Yukyung.. buka pintu ni", suara ibu kembali menyapa telinga. Aku masih tak menunjukkan tanda-tanda untuk berdiri dan membuka pintu. Hanya kaku di sini, memandang sekeliling tak ubah seperti orang yang tiada tujuan.
Namun, ianya menenangkan aku. Sambil memerhati, sambil itu aku dapat mengimbau kembali perkara-perkara gembira yang pernah aku hadapi.
Tapi sayang, seribu kali sayang. Semua kegembiraan yang pernah aku alami tujuh puluh peratus darinya hanyalah bersama dengan watak-watak imaginasi aku.
Hahaha, aku lebih seronok bersama dengan perkara yang tak wujud berbanding dengan manusia.
Manusia hipokrit, mereka sering mencipta sebuah hubungan persahabatan. Hubungan itu nampak akrab, nampak menggembirakan. Namun hakikatnya, manusia yang licik pandai menyembunyikan kotoran disebalik hubungan persahabatan itu.
Pada akhirnya, manusia polos akan kecundang. Tak menyangka manusia licik yang dianggapnya dahulu sahabat, menjadikan dirinya tak ubah seperti manusia yang tiada perasaan.
Berbeza dengan imaginasi.
Kau boleh mencipta bagaimana sifat watak itu, bagaimana rupanya, apa yang ingin kau lakukan, bersahabat dengannya? bermain dengannya? bercinta dengannya?
Terserah.
Tapi jika akhirnya kau menjadi kurang siuman seperti aku, apa untungnya?
Kau berpijak di bumi ini untuk menghadapi pahit dan manis perjalanan hidup. Seakan kau memijak kaca, walaupun sakit, kau perlu teruskan perjalanan, dan berharaplah agar ada hospital untuk kau ubati lukamu nanti.
Jangan jadi seperti aku, ini tak bergaya sama sekali.
"Yukyung..", suara Min Yoongi lemah memanggil namaku. Aku mendongak, memandang dirinya yang elok bersandar di dinding.
Dia mesti penat.
Suka aku melihat dia begitu. Dengan darah yang hampir penuh di segenap bajunya, dengan wajah lebamnya dan tubuhnya yang diikat ke dinding sehingga dia tak mampu melepaskan diri walaupun sedikit.
Dia tetap indah walaupun dengan keadaan sebegitu.
Aku sayang dia, namun keadaan membuatkan aku terpaksa melakukan perkara seperti ini.
Aku mahu dia sentiasa bersama aku, jadi biarkan sahaja dia diikat di situ.
"Yukyung..", suara Min Yoongi kembali menyapa, semakin sayu.
Apa yang aku buat.. tak salahkan? aku cuma mahu menunjukkan rasa cintaku kepadanya.
Jadi apa yang aku buat ini adalah perkara yang berbaloi, benarkan?
"Lepaskan aku Yukyung.."
"Yoongi.. maafkan aku"
Air mata Min Yoongi perlahan-lahan mengalir. Membuatkan hatiku seakan dicengkam pilu, wajah itu.. patutkah aku digelar tak sedar diri?
Min Yoongi ialah watak imaginasi yang banyak mengubah hidupku. Sekarang aku mengikatnya di dinding, menyekat kebebasannya.
Lihat sahaja, aku tamak. Bagaimana jadinya jika aku mempunyai seorang kekasih? aku pasti akan melakukan perkara yang sama seperti aku lakukan kepada Min Yoongi.
Kerana sesuatu yang telah menjadi hak milik Choi Yukyung, akan selamanya menjadi hak milik Choi Yukyung.
Jangan ada sesiapa berani membangkang keputusan ini.
"Maaf, aku sayang kau", bisik aku sebelum meninggalkan Min Yoongi.