Bab 39

187 6 4
                                    

Bienda melangkah perlahan masuk ke dalam bilik gadis itu. Dia melihat Afiyah sedang duduk berdepan dengan meja solek merenung wajahnya sendiri. Bienda menarik nafas dalam sebelum menghampiri. Dia duduk di atas katil gadis itu. Afiyah berpaling memandang wanita itu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Afiyah bangun dari kerusi lalu mengambil tempat di sebelah wanita itu. Bienda menarik gadis itu ke dalam pelukannya.

"I miss you," ucapnya dengan senyuman.

"Mama beritahu Fiyah hari itu, petang ini baru sampai. Ini rindu Fiyah atau rindu papa?" soal Afiyah separuh mengusik.

"Issh dia ini. Mama rindu Fiyah lah. Papa itu pun selalu cerita pasal Fiyah dengan mama. Katanya Fiyah macam tak gembira aje sejak akhir-akhir ini. Kenapa? Ada masalah dengan Eij?" soal Bienda pula sambil melepaskan pelukannya. Afiyah terdiam mendengar soalan wanita itu.

"Bila dengar cerita papa yang Fiyah dah terima Eij, mama sebenarnya agak keliru. Biasanya kalau itu berita gembira pasti Fiyah sendiri yang beritahu mama. Bukannya mama dengar daripada orang lain. Why?" soal Bienda lagi dengan kening berkerut.

"Fiyah tak sempat beritahu mama. Sorry," balas Afiyah dengan suara perlahan tanpa memandang wajah wanita itu. Bienda menggelengkan kepalanya.

"Mama bukannya baru kenal Fiyah semalam," katanya dalam penuh makna. Afiyah mengeluh perlahan.

"Entah lah. Fiyah cuma rasa takut. Fiyah keliru dan tak yakin. Betul ke keputusan Fiyah terima Eij itu keputusan yang tepat?" soalnya dengan kening berkerut.

"Fiyah, dengar apa yang mama nak cakap ini. Mama tahu Fiyah masih terkesan dengan masa lalu. Sebelum Fiyah berangkat ke Australia tiga tahun yang lalu, mama masih ingat Fiyah kata nak mulakan hidup baru. Kenapa sampai sekarang Fiyah masih tak kotakan janji Fiyah itu? Kenapa mesti perlu ingat lagi masa lalu yang menyakitkan?" soal Bienda sambil merenung tajam gadis itu.

"Fiyah bukan tak pernah cuba ma. Tapi ia terlalu menyakitkan. Sehingga buat Fiyah terlalu berhati-hati," balas Afiyah tanpa memandang wajah wanita itu. Bienda menyentuh jemari gadis itu.

"Fiyah kena percaya dengan pilihan hati Fiyah sendiri. Jangan paksa diri untuk membuat keputusan," nasihatnya lembut. Dia faham dengan perasaan gadis itu. Masa lalu mengajarnya supaya lebih berhati-hati. Afiyah tersenyum hambar membalas pandangan wanita itu.

*****

"Jadi tak petang ini pergi butik?" soal Puan Sri Erma sambil memandang Eijaz yang sedang menikmati sarapannya. Eijaz mengangguk tersenyum.

"Kawan mama kata kelmarin Eij ada datang sana. Tapi Eij dan Fiyah tak cuba pun baju itu. Kenapa?" soal Puan Sri Erma lagi. Nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena antara anak lelakinya itu dan Afiyah.

"Tak sempat," jawab Eijaz dengan senyuman.

"Fiyah sihat?" celah Tan Sri Fakrul sambil menarik kerusi di sebelah isterinya.

"Sihat pa. Dia kirim salam dengan mama dan papa," beritahu Eijaz.

"Waalaikumsalam," jawab Tan Sri Fakrul. Puan Sri Erma hanya diam membisu. Dia tidak senang melihat senyuman Eijaz yang nampak sangat direka pada pandangan matanya.

"Macam mana dengan persiapan?" tanya Tan Sri Fakrul lagi.

"Semua okay setakat ini," jawab Eijaz dengan senyuman.

"Eij pergi dulu. Fiyah mesti dah tunggu Eij kat office," sambungnya sambil bangun dari kerusi.

"Kirim salam dengan Fiyah semula," pesan Tan Sri Fakrul. Eijaz hanya mengangguk sebelum berlalu. Puan Sri Erma mengeluh perlahan.

Pilihan TerakhirWhere stories live. Discover now