Memetik kata hukama' ;
Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Sesiapa yang hidupnya lebih baik daripada semalam, maka bergembiralah dia. Barangsiapa yang hidupnya sama seperti semalam, rugilah dia. Mereka yang hidupnya lebih teruk daripada semalam, maka kecelakaan telah menimpanya.
Saffiyyah mengeluh perlahan tatkala membaca satu post yang telah dimuat naik di Twitter. Petikan itu bagaikan belati tajam menghunus terus ke jantung. Mana taknya, keadaan itulah yang dialami sekarang ini.
Sangkanya hari ini lebih baik daripada semalam. Rupa-rupanya, hari ini tiada beza langsung malah semakin teruk. Benarlah, kecelakaan telah menimpa hidupnya kini. Dalam diam, dia mengiakan.
Saffiyyah mengeluh sekali lagi sambil menjeling Puan Saleha yang sudah bercekak pinggang betul-betul di hadapannya.
"Geram betul aku dengan anak dara seorang ini. Elok-elok cincin sarung di jari, dia letak merata! Cubalah hargai pemberian orang lain. Bukan daripada orang sembarangan, bakal suami dia juga! Putera itu dah elok sangat rupanya, duit pun ada. Budi pekerti tak payah cakaplah, tengok dari gayanya sahaja terus lulus. Malaikat depan mata tak nampak, entah apa yang dicarinya pun tak tahulah. Cari kuman kot," bebel Puan Saleha dengan sekali nafas.
Semua itu berlaku apabila ibu menjumpai cincin tunangnya elok tenggelam di dasar mangkuk jamban. Habis hancur rancangannya hendak menghapuskan cincin itu. Dia dah flush tadi. Macam mana boleh ada lagi di situ? Huh, menyesal tak flush banyak kali.
Jika semalam bebelan ibu hanya sekitar seminit, tetapi pada hari ini mencapai dua hingga ke tiga minit. Mulut Puan Saleha yang terkumat-kamit menjadi tatapan mata. Namun begitu, sepatah perkataan langsung tidak menjengah salur telinga.
Cincin belah rotan yang elok di jari dipandang sekali lagi. Bertambah sakit hati Saffiyyah. Setiap kali melihat cincin itu, dia teringatkan pengkhianatan Putera.
"Ibu... could you just put it with a full stop? I can't handle this anymore," potong Saffiyyah.
Gadis itu sudah berkira-kira hendak beredar pergi. Lagi lama dia di situ, semakin panas hatinya dengan bebelan ibu. Ditambah pula dengan kesabaran yang lebih nipis berbanding kulit bawang, Saffiyyah tak rasa dia boleh bertahan. Bimbang akan mencetuskan pergaduhan besar pula.
"Nur Saffiyyah!" Suara ibu sudah naik seoktaf dan berupaya menghentikan langkahnya.
"Apa bising-bising ni? Dari luar ayah dengar," tegur Tuan Nizam.
Kelibat Tuan Nizam yang baru lepas mencuci kereta muncul di ruang tamu. Wajah Saffiyyah dan isterinya dipandang silih berganti. Ini bukan kali pertama isteri dan anaknya bergaduh tentang hal yang sama.
"Kak Long?"
Pandangan tajam Tuan Nizam tepat menghadap anak gadisnya. Saffiyyah benci renungan mata itu. Seolah-olah dia yang bersalah di hadapan mata semua orang.
"Ayah pun nak back up lelaki tak guna tu ke? Kemudian ayah nak senaraikan kebaikan lelaki itu, macam yang ibu buat tadi? If yes, stop it! Telinga Kak Long dah bernanah tahu tak, mendengar benda yang sama setiap hari!"
Renungan itu dibalas semula. Nada hormat juga sudah hilang dari bibirnya. Langsung tidak dihiraukan muka Tuan Nizam dan Puan Saleha yang sudah berubah sebaik mendengar kata-katanya.
"Keputusan kami tetap sama, Kak Long. Kahwin dengan Putera! Ayah tak nak lelaki lain yang jadi menantu ayah. Hanya Putera!" tegas Tuan Nizam. Baginya, dia perlu berkeras juga untuk kali ini. Demi kebaikan Saffiyyah.
"Kak Long tak cintakan Putera dan dia tak layak jadi suami Kak Long! Kami hanya berkawan. Kalau selama ini ibu dan ayah fikir kami bersama-sama menyulam cinta, memang silap besarlah! Saffiyyah dan Putera, hanya bersahabat. Percayalah!"
Sudah berbuih mulut Saffiyyah membalas dengan jawapan yang sama. Namun apakan daya, ibu dan ayahnya masih belum mampu mengerti.
Puan Saleha melangkah beberapa tapak mendekati anak sulungnya. Lengan Saffiyyah dipegang.
"Sayang... ibu dan ayah buat semua ini untuk Kak Long juga. Apa yang ibu nampak, Putera bersungguh-sungguh nak menjaga Kak Long. Dia ikhlas. Mungkin sekarang Kak Long tak nampak, tapi bila sampai waktunya nanti Kak Long sendiri akan menjadi saksi keikhlasannya."
"Terima Putera. Itu sahaja cara untuk Kak Long bebas daripada trauma," ujar Tuan Nizam.
Saffiyyah masih menunduk. Tidak sanggup bertentang mata dengan mereka.
Hati Saffiyyah terasa sakit bagai disiat-siat. Pandangan dan pendapatnya langsung ibu dan ayah tak ambil peduli. Kepalanya diangkat lalu pandangan mereka bertemu. Bibir Saffiyyah mengukir senyum sinis. Pegangan ibu dileraikan.
"Kak Long peliklah. Kenapa ibu dan ayah tak faham bahasa sangat ni? Susah sangat ke nak hormat permintaan Kak Long? Kak Long tak nak kahwin dengan Putera! Bebal sangat ke ibu dan ayah ini sampai tak boleh nak faham?"
Pang!
Pang!
Pipi kiri terasa pijar akibat penangan tamparan Tuan Nizam.
Begitu juga dengan pipi kanannya yang menerima tamparan Puan Saleha.
"Ibu tak pernah sesekali ajar anak ibu jadi biadab, Nur Saffiyyah! Mana letaknya hormat Kak Long pada ibu dan ayah?"
"Hormat? Ibu bercakap dengan cermin ke sekarang? Biar Kak Long tanya dulu, mana hilangnya hormat seorang ibu dan ayah terhadap keputusan anaknya? Campak mana dah? Longkang?"
"Dasar anak derhaka!" sergah Tuan Nizam. Merah telinga mendengar segala kata-kata biadab Saffiyyah. Hampir sahaja tapak tangannya hinggap sekali lagi di pipi putih itu.
"Ayah tak layak gelarkan Kak Long macam tu! Sebab ayah dan ibulah punca Kak Long menderhaka pada orang tua sendiri!" balas Saffiyyah.
Kali ini, Tuan Nizam dan Puan Saleha tersentak.
Saffiyyah mengetap bawah bibir sekuat hati. Nafas dalam diambil sebelum meneruskan kata.
"Jujur... Kak Long kecewa sangat dengan ayah dan ibu. Setelah apa yang Kak Long dah katakan, ibu dan ayah masih tetap dengan pendirian masing-masing. Langsung tak berganjak malah meletakkan segala kesalahan di atas bahu Kak Long," jedanya sebentar.
"Terima kasih sangat-sangat sebab buatkan Kak Long sedar... yang masa depan Kak Long sendiri dah tergadai semata-mata hendak memenuhi kepuasan orang tua sendiri."
Pegangan Puan Saleha dileraikan. Terus langkah kakinya menapak menuju ke tingkat atas. Membiarkan kedua ibu bapanya tercengang.
Tuan Nizam meraup wajahnya kasar. Dinding batu konkrit di sisinya ditumbuk sekuat hati. Puan Saleha pula sudah terduduk di atas sofa. Tangannya menggigil, bagai tidak percaya tangan ini telah bertindak menampar anak sulungnya tadi.
Berdentum bunyi pintu bilik Saffiyyah tatkala dibuka dari luar. Punggung dilabuhkan di birai katil. Pipinya dipegang. Basah.
Hari ini dia tewas lagi.
"Ini yang kau nak, kan? Putera, nampaknya kau dah bermain dengan api. Jadi bersiap sedia untuk menyesal," bisik Saffiyyah. Cadar katil digenggam erat.
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
KurzgeschichtenDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...