"Izinkan saya bercakap dengan Saffiyyah sekejap, pakcik dan makcik," pinta Putera.
Sebaik berkata demikian, Putera bangun dari sofa dan berlalu ke luar rumah. Mata-mata yang lain kini tertancap pada wajah Saffiyyah yang masih terpinga-pinga.
Saffiyyah terkedu. Putera nak bercakap dengannya? Tentang apa lagi? Tidak cukup jelas ke lamaran daripada pihak keluarganya tadi? Lambat-lambat, dia bangun juga menurut langkah lelaki itu daripada belakang.
Putera sudah bersandar pada tiang rumah. Kedua belah tangan pula dimasukkan ke dalam poket seluar. Kepala lelaki itu menunduk, langsung tidak memandang Saffiyyah yang berdiri tidak jauh darinya.
Dari gaya Putera, Saffiyyah membuat telahan sendiri. Mungkin lelaki itu tidak ingin bersua muka dengan dirinya. Gadis itu memusingkan tubuh supaya membelakangi Putera.
"Nur Saffiyyah, bagitahu aku apa pula rancangan kau kali ini? Lari rumah lagi?" sinis Putera bertanya.
Cuping telinganya terasa panas mendengar kata-kata itu. Penumbuknya dikepal sekuat hati. Bimbang andai dia terlepas laku di hadapan Putera.
Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia menampar mulut lancang Putera. Bukan Saffiyyah tidak tahu, Putera memang sengaja mengungkit kisah silam dulu!
"Terima sahajalah lamaran tadi. Lagipun memang itu pun yang kau nak kan, selama ni?" balas Saffiyyah, tidak mahu kalah. Sengaja dia membalas kata Putera dengan nada sinis.
Putera tergelak.
Bertambah sakit hati Saffiyyah.
"Kau bercakap tentang benda yang dah lepas, Saff. Semua itu dulu, dah berlalu. Bukan lagi kehendak aku sekarang," kata Putera.
Lelaki itu mula menapak hendak masuk ke dalam rumah.
"Tolonglah! Untuk kali ini sahaja," pujuk Saffiyyah. Langkah Putera dihentikan.
Kalau Putera menolak lamarannya, bagaimana dengan dia? Sungguh, Saffiyyah tak sanggup dibuang keluarga!
Putera berpusing menghadap wajah bujur sirih itu. Dia berdiri betul-betul di hadapan Saffiyyah. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja tahu betapa rindunya dia terhadap Saffiyyah. Tempoh lima tahun cukup untuk mengajar Putera sesuatu.
Belajar untuk menerima, menerima untuk melepaskan.
Namun, sebaik sahaja mendengar lamaran daripada mulut Tuan Nizam membuatkan dia keliru. Dia gembira, pada masa yang sama dia juga takut. Adakah penerimaan Saffiyyah terhadapnya masih sama?
Kini, jawapan itu sudah diterima. Gadis itu masih belum dapat menerimanya malah dari sinar mata Saffiyyah, Putera tahu api kebencian itu marak membara. Saffiyyah cuma terdesak menerima kerana tiada pilihan lain selain hanya menurut untuk kali ini.
Putera membuang pandang ke jalan raya yang kelihatan lenggang.
"Sanggup kau khianati janji kita dulu?" perli Putera.
Kali ini, Putera mempamerkan senyuman mengejek kepada Saffiyyah. Sengaja dia berbuat begitu semata-mata hendak menguji reaksi gadis di hadapannya ini. Putera tahu, Saffiyyah takkan mampu bertahan lama. Gadis manis itu bukan penyabar orangnya.
Seperti telahan Putera, wajah Saffiyyah mulai memerah. Saffiyyah rasa dirinya seolah-olah tercabar. Nampaknya, dia kini dimakan dengan kata-katanya sendiri suatu masa dahulu.
Kata-kata yang sering dipertahankan.
Ah, Putera memang tak guna! Saffiyyah menghela nafas seketika. Kepalanya diangkat, menguatkan hati untuk beradu pandang dengan lelaki itu.
"Ruginya kau sebab buta tak nampak peluang yang terhampar depan mata."
Saffiyyah membuka langkah. Kena buang keluarga pun, lantaklah! Dia dah tidak peduli lagi dengan semua itu. Kakinya bergerak mendapatkan ahli keluarga yang sedang menunggu di ruang tamu.
Dia kembali mengisi ruang kosong di sebelah Puan Saleha seperti tadi.
Tidak lama kemudian, kelibat Putera pula muncul. Lelaki itu melabuhkan duduknya di tengah-tengah Tuan Saiful dan Puan Fuziah.
Kedua belah keluarga memandang Putera dan Saffiyyah dengan penuh tanda tanya. Pastinya tidak sabar menanti keputusan yang telah dicapai.
Bagaikan memahami, Putera hanya tersenyum nipis.
"Saya dah buat keputusan dan kami pun dah berbincang tadi. Saya minta maaf sangat-sangat sebab saya masih belum dapat melupakan apa yang anak pakcik dan makcik buat pada kami sekeluarga."
Putera mangambil nafas.
"Oleh itu, saya setuju untuk kahwin dengan Saffiyyah. Saya nak kita terus langsungkan pernikahan ini 15 hari dari sekarang. Tidak perlu untuk bertunang. Majlis pun secara sederhana hanya menjemput keluarga terdekat sahaja. Paling penting... saya harap perkara memalukan itu takkan berlaku untuk kali kedua," jelasnya lagi.
Saffiyyah tercengang. Mulutnya hampir terlopong namun pantas dikatup semula.
Putera setuju? Rasanya dia dengar Putera kata lain sewaktu mereka bergaduh di luar tadi.
Ya, hakikatnya mereka bergaduh. Bukan berbincang.
Gadis itu mengecilkan mata merenung Putera dari jauh. Serentak itu, pandangan mereka bertemu. Putera mempamerkan senyuman mengejek sekali lagi. Saffiyyah menjeling tajam tidak mahu kalah.
Dia geram! Geram dengan permainan Putera.
Tuan Nizam dan Puan Saleha mengukir senyuman gembira. Tidak ketinggalan juga dengan Tuan Saiful dan Puan Fuziah. Siapa sangka, aturan yang ditetapkan dulu rupa-rupanya akan berlangsung juga selepas lima tahun.
"Nampaknya, menjadi jugalah kita nak berbesan ya?" kata Tuan Nizam. Bahu sahabatnya, Tuan Saiful ditepuk perlahan sambil berjabat tangan.
"Itulah... rezeki! Panjang jodoh anak-anak kita," balas Tuan Saiful.
Puan Saleha dan Puan Fuziah saling berbalas senyuman sebelum berpelukan erat.
"Alhamdulillah..."
Serentak masing-masing memanjatkan syukur.
Benarlah, percaturan Tuhan tidak pernah salah. Datangnya ia pada waktu yang tepat, tak lambat atau cepat. Hanya tinggal kita, sebagai manusia untuk sedia menerima hakikat yang tersurat.
-Unknown 2020-
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
ContoDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...