"Ya Allah, lama rasanya kita tak berjumpa. Nizam sekeluarga apa khabar?"
Tuan Saiful mula bertanya khabar. Kedua-dua mereka berjabat tangan. Riak mukanya ceria menyambut kedatangan sahabat lama.
"Alhamdulillah... kami sekeluarga baik-baik sahaja. Rayyan pun baru pulang dari luar negara petang semalam," ramah suara ayah berbicara.
"Oh, Rayyan tak datang sekali?" tanya Tuan Saiful.
"Tak. Jet lag tak habis-habis lagi katanya," jelas ayah.
Saffiyyah mengerling Tuan Nizam sekilas. Dia menyimpan rasa dalam hati. Saffiyyah pun baru pulang dari luar negara semalam, tetapi kenapa dia dipaksa turut serta sekali mengikut ibu dan ayah ke rumah keluarga Putera?
"Biasalah, lagipun lama juga Rayyan di luar negara tu kan," kata Puan Fuziah pula.
Putera datang ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi gelas dan sejag air. Dulang tersebut disambut oleh Puan Fuziah. Mama Putera menyambung tugasnya untuk menuangkan air buat para tetamu yang hadir.
"Jemputlah minum. Rasa air tangan anak teruna seorang ni ha," seloroh Mama Putera.
Mereka yang mendengar tersenyum. Gelas demi gelas dihulurkan kepada ahli keluarga Tuan Nizam.
"Terima kasih," ucap Saffiyyah dengan nada perlahan.
Puan Fuziah merenung ke arah gadis itu sambil tersenyum nipis. Bahu Saffiyyah ditepuk perlahan.
Masing-masing meneguk jus oren sekadar untuk membasahkan tekak.
"Kami sebenarnya datang sini ada hajat besar." Suara ayah memulakan perbualan.
Gelas yang dipegang Saffiyyah hampir sahaja terlepas. Dada berdetak laju. Saffiyyah hanya menunduk. Tidak berani dia hendak mengangkat muka. Malu rasanya berhadapan dengan kedua orang tua Putera.
"Apa yang besar sangat tu? Boleh kami tahu?"
Tuan Saiful tertanya-tanya. Begitu juga dengan Puan Fuziah. Sesekali pandangan suami isteri itu bertemu.
"Sebelum itu, saya nak minta Saffiyyah beritahu sesuatu," pinta Tuan Nizam.
Saffiyyah mengangkat muka tatkala mendengar namanya diseru. Ayah menganggukkan kepala memberi keizinan untuk Saffiyyah meneruskan kata.
Duduk simpuhnya dibetulkan. Nafas yang mulai tidak teratur membuatkan debar semakin menguasai diri. Namun, Saffiyyah cuba sedaya-upaya mengawal perasaan yang bergejolak dalam hati. Jemarinya diramas kasar.
"Pakcik dan makcik... maafkan saya. Maafkan saya atas segala kesulitan yang terjadi 5 tahun lalu. Angkara saya, pakcik sekeluarga terpaksa menanggung malu. Angkara saya juga, pernikahan yang sepatutnya berlangsung dulu tidak dapat diteruskan. Sekali lagi, saya minta maaf."
Kepala Saffiyyah kekal menunduk. Dia langsung tidak mampu untuk menatap satu-persatu wajah di hadapannya ini.
Bukannya Saffiyyah tidak perasan, mata Putera tajam memerhatikannya sedari tadi. Dirinya rasa tidak selesa dipandang begitu. Dari sinar mata Putera, dia tahu lelaki itu masih belum berpuas hati. Ataupun lebih tepat lagi, dia boleh katakan yang Putera menyimpan dendam terhadapnya.
Selepas beberapa ketika, keluarga Putera masih diam tanpa sebarang kata.
Saffiyyah sudah tidak senang duduk. Tangisannya seperti hendak pecah di situ juga. Adakah dia tidak akan dimaafkan?
"Benda dah jadi, apa yang kita boleh buat kan? Apapun, kami bersyukur sebab apa yang terjadi pasti ada hikmahnya," tenang suara lembut Puan Fuziah memaafkan.
Kata-katanya cukup membuatkan Saffiyyah lega. Sekurang-kurangnya, dia tahu yang keluarga mereka tidak berdendam.
Putera?
Entahlah. Saffiyyah sendiri tidak pasti kerana lelaki itu hanya berdiam diri sedari tadi malah langsung tidak membuka mulut.
Jauh di dasar hati, rasa bersalah yang bertapak menggunung tinggi. Hatinya tidak tenang apabila teringat rahsia terbesar itu masih menjadi rahsia dan belum sampai ke pengetahuan sesiapa. Baik ahli keluarganya mahupun ahli keluarga Putera.
Ya Tuhan, berdosakah dia? Kerap kali persoalan itu menerjah fikiran dan setiap kali itu jugalah dia sendiri buntu tanpa jawapan.
"Katanya tadi datang ke sini ada hajat besar. Apa hajatnya itu?"
Tuan Saiful mula bertanya, merujuk kepada perbincangan asal. Saffiyyah di sisi Puan Saleha kembali panas punggung.
"Saya ingin melamar Putera untuk anak perempuan saya, Nur Saffiyyah," lancar sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari mulut Tuan Nizam. Puan Saleha mengangguk mengiakan bicara si suami.
"Melamar Putera untuk Saffiyyah?"
Keadaan bertukar menjadi sunyi. Senyap tanpa sebarang bunyi. Puan Fuziah kelihatan terkejut menerima lamaran mengejut daripada pihak keluarga Tuan Nizam. Tuan Saiful juga tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut yang bertandang.
Lamaran ini pun bukan kehendak Saffiyyah! Dia terpaksa menurut. Lagipun, inilah syarat yang ditetapkan oleh Tuan Nizam dan Puan Saleha untuk menerimanya kembali ke pangkuan keluarga.
Bernikah dengan Putera.
Kini, pandangan Tuan Saiful dan Puan Fuziah dituju ke arah anak tunggal mereka.
Putera tersandar lemah di atas sofa yang didudukinya. Kedua tapak tangan dibawa naik meraup muka. Setiap mata memandang ke arah Putera sambil menanti reaksi seterusnya daripada lelaki itu. Mulut Putera pula masih terkunci rapat tanpa sebarang kata.
Tiba-tiba, pandangan Saffiyyah dan Putera bertemu. Lama. Masing-masing berbicara melalui renungan mata.
Berdebar hati Saffiyyah. Dia sendiri takut untuk mentafsir jawapan Putera terhadap lamaran keluarganya sebentar tadi. Gadis itu kembali menundukkan pandangan sambil merenung lantai.
Apa maksud renungan mata Putera tadi?
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Short StoryDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...