Praang!
Bunyi kaca jatuh berderaian menghempap lantai. Saffiyyah berpaut pada bucu meja solek. Kepalanya diangkat melihat cermin yang hanya tinggal bingkai. Dia langsung tidak peduli pada darah merah yang sudah menitik mengena bajunya.
Kali ini penumbuknya dibawa pula ke dinding konkrit bilik. Tindakan sama dilakukan berulang-ulang, tidak terkira. Tercalit dinding putih pucat itu dengan darah. Melihatkannya, Saffiyyah menjerit dalam hati.
Ya, hanya dalam hati.
Dada terlalu sebu untuk menghadam semua rasa yang ditanggung sehingga tangisannya juga tidak mampu dikeluarkan. Otak pula seolah-olah hilang daripada kawalan radar logikal. Semua dilakukan mengikut nafsu amarah syaitan.
Seakan baru tersedar dari hasutan, dia terjelepok ke bumi. Saat itu, baru pipinya dibasahi air mata. Setitik demi setitik air mata berguguran jatuh tanpa segan silu.
Akhirnya, Saffiyyah menangis.
Dia bukanlah ratu air mata seperti dalam drama. Hatinya terlalu kebal bagi seorang wanita. Namun, untuk kali ini dia terpaksa mengaku kalah. Dia sudah tidak mampu lagi menahan peritnya dikhianati oleh sahabat sendiri.
Pagi itu, Saffiyyah dikejutkan dengan kehadiran Putera ke rumahnya. Lelaki itu tidak berseorangan, tetapi dibawa sekali dengan rombongan meminang. Kedua ibu bapanya pula seolah-olah sudah mengetahui perkara tersebut lebih awal. Hanya memaksa Saffiyyah untuk menerima tanpa berbincang.
Ketika cincin belah rotan itu meluncur pada jari manisnya, Saffiyyah hanya mampu menangis dalam hati. Dia rasa seperti orang paling bodoh di dunia. Hendak sahaja bibirnya menolak, tetapi mulut bagaikan digam dan terkunci dengan sendiri. Kekuatannya sudah terbang pergi.
"Alhamdulillah... terima kasih Saff sebab sudi terima Putera. Insya-Allah, mama akan pastikan dia jaga Saff baik-baik."
Puan Fuziah, mama Putera membisikkan ungkapan itu di tepi telinga saat tubuh mereka berpelukan. Saffiyyah diam tidak membalas. Lidahnya bertukar kelu. Apa yang pasti, dia langsung tidak gembira.
Di balik orang ramai, Saffiyyah nampak senyuman Putera. Lelaki itu bahagia.
Tetapi Saffiyyah? Dia menderita!
Mana hilangnya janji yang telah termeterai dulu? Kononnya, mereka telah berjanji untuk kekal sebagai sahabat buat selama-lamanya. Belum sampai setahun, Putera sudah memungkirinya.
Kepercayaan Saffiyyah terhadap Putera seperti tidak dihargai oleh lelaki itu. Putera fikir dia tidak punya hati? Tidak punya rasa? Saffiyyah masih ada semua itu! Saffiyyah masih bergelar manusia!
Kini, bucu katil pula menjadi sasaran tendangannya. Penumbuk dikepal kuat. Saffiyyah tahu, dia ada perhitungan besar untuk dibuat selepas ini.
**********
"Kenapa... ibu dan ayah tak beritahu Kak Long?"
Soalan itu diutarakan Saffiyyah kepada Puan Saleha dan Tuan Nizam apabila hanya tinggal mereka sekeluarga mendiami rumah teres itu dan setelah memastikan semua tetamu sudah beransur pulang.
Riak beku setia menghiasi wajah. Langsung tiada pancaran seri tunangan orang.
"Sama ada Kak Long tahu ataupun tidak, semua itu tak penting. Yang penting sekarang, Kak Long akan berkahwin tak lama lagi. Alah, tak perlu risau. Bukan dengan sesiapa pun, dengan Putera juga."
Mendengarkan balasan Puan Saleha, gadis itu menarik nafas panjang. Dia terlalu marah sekarang. Jika dilihat dari biasan cermin di ruang tamu, kulit cerahnya sedia bertukar menjadi merah padam.
"Ayah dan ibu sendiri tahu kan, Kak Long dan Putera langsung tiada hubungan istimewa. Kami hanya kawan rapat. Salah ke kalau Kak Long memilih hanya untuk berkawan? Ataupun, ayah dan ibu dah seronok kena sogok dengan gula-gula drama Melayu? Tak habis-habis dengan mindset bila kawan, mesti jadi kahwin. Tolonglah, semua itu sampah!"
"Memang... memanglah Kak Long memilih untuk berkawan tetapi Putera? Dia memilih untuk menjadikan Kak Long yang halal! Bukan senang nak cari lelaki sebegitu zaman sekarang. Ayah berani cakap sambil kerat jari, nisbahnya hanya satu dalam seribu. Fikirkanlah baik-baik, Kak Long."
Saffiyyah menggeleng kepala. Cuping telinga ditekup dengan tangan. Cukup! Berhenti! Dia tak mahu dengar lagi pujuk rayu mereka.
"Tak! Kak Long tak boleh kahwin dengan Putera! Never! " jeritannya bergema di rumah teres dua tingkat itu.
"Hilman? Sebab jantan keparat itu kan Kak Long tak boleh terima Putera?" tebak Tuan Nizam. Melihat daripada air muka Saffiyyah, dia tahu sasarannya kali ini mengena.
Terdengar nama Hilman, badan Saffiyyah serta-merta menggigil. Bulu romanya terasa menegak dan meremang. Degupan jantungnya bertambah laju daripada biasa. Adrenalin dalam salur darah turut meningkat.
"T... tolong... jangan se... but nama..."
Kepala digeleng lagi. Satu persatu bayangan hitam bercantum membentuk imbasan memori yang menakutkan di depan mata. Saffiyyah memejamkan mata, ingin keluar daripada mimpi ngeri itu.
"Jadi, betul la kan? Sebab Hilman! Argh, budak tu memang setan!" bentak Tuan Nizam.
"Abang! Sudah-sudah la tu! Abang kena ingat, anak kita masih trauma!"
Lengan Tuan Nizam dipaut kuat. Puan Saleha bertambah risau melihat perubahan drastik anak gadisnya. Sekali imbas, keadaan Saffiyyah sekarang tidak ubah seperti dirasuk makhluk halus. Bezanya cuma tiada sebarang jeritan mahupun tangisan yang kedengaran walaupun sepasang bibir itu kelihatan terkumat-kamit bergerak.
"Jangan... se... but."
Serentak dengan itu, tubuh Saffiyyah terkulai lemah di atas sofa yang didudukinya.
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Kısa HikayeDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...