bab 18

1.5K 132 238
                                    

Suasana di dalam dan luar rumah kini lebih sibuk berbanding hari-hari sebelumnya. Ahli keluarga terdekat juga telah memenuhi perkarangan rumah sejak awal pagi lagi. Tidak ketinggalan juga jiran-jiran di sekitar perumahan. Ketibaan mereka pastinya dengan satu tujuan. Membantu keluarga Tuan Nizam menguruskan persiapan majlis akad nikah yang bakal berlangsung.

Majlis akad nikah di antara Saffiyyah dan Putera.

Ketika semua orang tenggelam dalam kesibukan masing-masing, Saffiyyah mengambil peluang bersendirian di kamar bilik. Bagaikan dejavu, segenap ruang itu kini sudah bertukar sepenuhnya menjadi bilik pengantin. Sama seperti keadaan lima tahun dahulu. Di saat dia mengambil keputusan untuk pergi jauh dari hidup Putera.

Persoalannya kali ini, adakah perkara yang sama juga bakal berulang?

Jawapan itu akan diperoleh ketika jam menunjuk ke angka lima nanti. Masih berbaki 15 minit sebelum dia bergerak menuju ke kawasan pantai seperti yang dijanjikan. Berdasarkan pertemuan itulah yang menentukan pengakhiran majlis ini nanti. Sama ada peristiwa sama bakal berulang atau peristiwa baru pula bakal dilakar.

Pandangan Saffiyyah tertumpu ke arah busana putih yang tergantung di sudut bilik. Mengikut perancangan, persalinan inilah yang bakal dikenakan sewaktu akad nikah selepas isyak diadakan. Perlu diakui, bahawa bakat Arina sememangnya sangat hebat. Adik bongsunya itulah yang menjahitkan baju pengantin Saffiyyah dan Putera. Saffiyyah sendiri tak sangka begitu sekali hasilnya. Benarlah, bakat langsung tidak mengenal umur. Dia tersenyum sendiri mengingatkan Arina.

Saffiyyah tersentak apabila kedengaran pintu bilik diketuk. Tepat sekali telahannya. Kelibat Arina terjengul di balik pintu sambil tersengih-sengih menatap wajah kakaknya. Pantas sahaja dia mengambil tempat bersebelahan Saffiyyah di atas katil.

"Kak Long dah try belum baju tu? Okey tak? Ada apa-apa nak adjust ?" soal Arina. Saffiyyah sekadar menggeleng. Isyarat okey juga ditunjukkan kepada si adik. Tidak lama kemudian, baru dia teringatkan sesuatu.

"Eh, dah pukul lima ni. Kak Long nak pergi pantai sekejap tau!" Tanpa menunggu balasan Arina, Saffiyyah bingkas mencapai tudung bawalnya dan bersiap ala kadar. Sekelip mata, bayang tubuhnya sudah tidak kelihatan lagi di ruangan tersebut.

Arina yang memandang tidak mampu mengucapkan sebarang kata. Macam-macam betul kerenah Kak Longnya ini. Dalam hati, dia berdoa semoga semuanya baik-baik saja. Itu pintanya.

**********

Terbongkok-bongkok Saffiyyah mencari di manakah letak duduk botol kaca yang menjadi tujuan utama kehadirannya di pantai ini. Selalunya botol itu berada berhampiran dengan batang pokok kelapa yang menjadi tempat duduknya saja. Langsung tidak pernah kelihatan di kawasan lain. Sebelah tangannya sudah naik bercekak pinggang akibat lelah dalam pencarian yang menemui jalan buntu.

"Kau cari apa tu? Kamera lagi? Fikir aku nak prank kau?" Mendengarkan suara itu, serentak Saffiyyah menoleh. Air liur yang ditelan terasa kesat. Putera.

Batang tubuh yang kini berdiri tegak di hadapannya ditatap lama. Langsung tidak berkelip. Saffiyyah sendiri tak tahu apa yang dirasa. Terkejut pun ada dengan kehadiran Putera di situ. Lagipun, sudah lama mereka tidak bersua muka.

"Kau... cari ini kan?" soal Putera lagi. Botol kaca putih yang selama ini dicari Saffiyyah elok saja berada di depan mata sekarang. Bulat mata Saffiyyah jadinya. Dalam teragak-agak, botol kaca itu diambil daripada tangan Putera.

Penutup botol dibuka. Kertas putih yang masih bergulung kemas di dalam botol kaca dikeluarkan dan dibaca teliti. Betul-betul di hadapan Putera yang masih menghadapnya.

HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎Where stories live. Discover now