"Kenapa kau buat aku macam ni Hilman..." lirih Saffiyyah. Air matanya berterusan mengalir tanpa ingin berhenti. Teresak-esak dia menghamburkan tangis. Lagi-lagi apabila teringatkan kesuciannya yang telah diragut sebentar tadi.
"Ini tandanya Hilman sayangkan Saff. Cintakan Saff. Saff tak suka?" lembut soalan tersebut meniti di bibir Hilman.
Tapak tangannya dibawa naik ingin mengelus pipi putih itu. Namun, Saffiyyah lebih pantas mengelak. Hilman tersenyum sinis melihatkan keengganan si gadis. Oh, dia terlupa satu perkara. Perempuan di hadapannya ini bukan gadis lagi.
Luluh hati Saffiyyah mendengarkan kata-kata Hilman. Ini tanda sayang? Ini tanda cinta? Pergi mampus!
Seraut wajah lelaki itu direnung tajam dengan kolam mata yang sedia bergenang.
"Orang macam kau ni tak layak dicintailah! Dasar manusia bertopengkan syaitan! Kau tak gunalah, Hilman! Kau gila! Kau memang gila!" Saat itu, semua amarahnya dihambur keluar. Bagi Saffiyyah, Hilman tak patut hidup! Dasar lelaki perosak!
"Tak... Hilman tak gila. Hilman betul-betul sayangkan Saff. Takkanlah Saff tak nampak lagi?" Bersungguh-sungguh lelaki itu menyangkal. Kedua belah pipi Saffiyyah ditekup supaya memandangnya.
"Le... paslah, hanat! Mampuslah dengan cinta kau! Aku benci kau tahu tak!" Sentuhan lelaki itu ditepis sekuat hati. Berderai tangisan Saffiyyah buat ke sekian kalinya. Sungguh, dia jijik dengan sentuhan Hilman. Dia jijik mendengar kata-kata sayang dari mulut Hilman. Dia jijik!
Hilman terdiam dan tertunduk merenung jubin tandas yang kering. Mukanya diangkat menjadikan pandangan mereka bertembung. Dari sinar mata Saffiyyah, jelas terpancar api kebencian. Tetapi tidak pada Hilman. Hanya pandangan kosong tak berperasaan.
"Sayangnya, Saff belum nampak kasih sayang Hilman. Biar Hilman buktikan sekali lagi," ujar Hilman.
Kesucian Saffiyyah diragut buat kali kedua.
**********
Kelopak mata perlahan-lahan dibuka. Cahaya lampu mula mengisi ruang kornea mata. Sejenak Saffiyyah terpejam dek silauan cahaya yang datang menerpa. Bebola mata cuba disesuaikan mengikut keamatan cahaya semasa. Gambaran siling putih menjadi tatapan utama. Tahulah Saffiyyah yang kini dia berada di mana.
Hospital. Tempat yang menyimpan beribu duka.
"Saff."
Kedengaran seseorang menyeru namanya. Saffiyyah berpaling ke kanan mengikut arah datangnya suara itu. Serta-merta tubuhnya mula menggigil. Namun sedaya upaya dia cuba untuk menahan. Tangannya yang berada di bawah selimut digenggam erat. Berharap dapat menyalurkan kekuatan terhadap diri sendiri.
Untuk kali ini, Saffiyyah tak boleh kelihatan lemah lagi. Dia perlu kuat. Cukuplah dia tewas dengan masa lalu... tetapi tidak sekarang. Diri Saffiyyah perlu kuat berhadapan dengan Hilman, lelaki yang kini berada di sisinya. Lelaki yang telah merosakkan impian dan kebahagiaan seorang Saffiyyah.
"Keluar." Sepatah perkataan itu terucap tanpa nada. Ringkas tetapi cukup mendalam.
"Saff..." Hilman masih lagi mencuba.
"Aku kata keluar!" Bergetar suaranya menahan gelojak rasa. Nafasnya juga turun naik. Kesabaran Saffiyyah tiba di puncaknya. Dia tak sanggup lagi berlama-lama menatap wajah lelaki itu.
Di wajah Hilman, Saffiyyah terbayang bagaimana dia dirogol tanpa rela. Di wajah Hilman, Saffiyyah teringat penderitaan yang selama ini meragut bahagianya. Dan... di wajah Hilman itu turut menjadi bukti kepada benih yang pernah dikandungnya.
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Historia CortaDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...