Saffiyyah termenung sendiri. Sejak peristiwa semalam, mindanya sering memutarkan kembali saat-saat pertemuan singkat antara dia dan Putera. Dia langsung tidak menyangka akan dipertemukan lagi dengan lelaki itu setelah lima tahun secepat itu.
Berdasarkan pengamatannya, lima tahun yang berlalu cukup untuk mengubah Putera. Semalam pun hampir-hampir sahaja Saffiyyah tidak mengenali Putera. Lelaki itu sudah jauh berubah. Dia... kelihatan lebih matang. Jika dulu wajah itu bersih tanpa sebarang misai atau janggut, kini pula sebaliknya. Misai nipis dan janggut halus mula menghiasi wajah.
Dari renungan mata Putera semalam, dia amat yakin yang lelaki itu pastinya menuntut 1001 penjelasan atas tindakannya dulu.
Ya, Saffiyyah mengaku yang dia sengaja meninggalkan lelaki itu lima tahun lepas. Bahkan, rahsia terbesar ialah dia dan Rai sanggup merancang kemalangan langgar lari melibatkan Putera. Hampir-hampir sahaja nyawa Putera melayang angkara rancangan gila mereka.
Ibu dan ayah pula sangat marah dan kecewa tatkala mengetahui pemergiannya jauh ke luar negara. Malah, kedua-dua mereka hampir sahaja membuangnya daripada keluarga. Saffiyyah bernasib baik rahsia terbesarnya masih tersimpan rapi. Dia sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku andai rahsia tersebut sampai ke telinga Tuan Nizam dan Puan Saleha. Mungkin sehingga ke lubang cacing si ayah memburunya dengan parang.
Sebenarnya, dia diterima semula ke pangkuan keluarga ini pun hanya bersyarat. Mahu tak mahu, terpaksa juga Saffiyyah setuju. Tidak sanggup rasanya dia dibuang keluarga. Tanpa ibu dan ayah, siapa lagi tempat dia menumpang kasih dan bermanja?
Saffiyyah juga sanggup menunggu adik lelakinya, Rayyan habis belajar di UK terlebih dahulu baru pulang ke Malaysia. Impiannya, semoga dia dapat mengumpulkan semua ahli keluarganya sebelum tiba detik itu. Ya, detik yang menghantui dirinya saban hari. Setiap waktu. Setiap saat. Detik itu jugalah yang menjadi balasan atas perbuatannya selama ini.
Petang itu, aktiviti hariannya terganggu dengan arahan yang keluar dari mulut Tuan Nizam.
"Kak Long, pergi bersiap cepat. Petang ini kita pergi rumah keluarga Putera," arah ayah.
Tuan Nizam mengeluarkan arahan tidak ubah seperti seorang diktator lagaknya. Saffiyyah sudah menghela nafas berat.
"Kenapa terburu-buru? Tak cepat sangat ke?"
"Tolonglah... ayah tak nak dengar apa-apa alasan. Cukuplah kami sekeluarga menanggung malu sebab Kak Long buat hal dulu. Ayah tak sanggup nak menghadapinya lagi," lirih suara tua itu meluahkan rasa hati.
Tuan Nizam masih tegas dengan pendiriannya. Baginya, peluang ini perlu digunakan sebaiknya untuk menjernihkan kembali hubungan yang keruh angkara perangai anak sulungnya itu.
Mata Saffiyyah beralih pula ke arah Puan Saleha. Bagaikan memahami keengganan Saffiyyah, ibu pantas mencipta ayat yang membuatkan dirinya terdiam.
"Kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang pada janjinya. Ingat tu, Kak Long! Sebagaimana Kak Long bencikan Putera kerana mengingkari janji, sebegitu jugalah kami kalau Kak Long terus-terusan mengelak macam ini."
Tiada kata yang mampu dibalas sekarang. Kali ini, tiada jalan lain lagi. Tiada lagi perancangan gila ataupun bantuan dari Rai. Mahu atau tidak, terpaksa juga dia menghadapinya sendirian. Saffiyyah hanya diam menunduk. Terasa segala kesalahan yang dipikul kini semakin menggunung tinggi.
Langkah bergerak malas menuju ke bilik untuk bersiap. Pintu almari dibuka lalu matanya pantas tertancap pada baju kurung berbunga biru yang merupakan hantaran dari pihak Putera sewaktu mereka mengikat tali pertunangan dulu.
Saffiyyah mendengus perlahan.
Argh..! Mengapa dirinya selalu terkait dengan Putera? Apa tujuan ibu meletakkan lagi baju itu di dalam almari miliknya? Bukankah dia sudah menghadiahkan baju kurung itu kepada adik perempuannya, Arina?
Baju kurung itu digumpal kasar lalu dimasukkan semula ke dalam laci dan dikunci. Tidak betah rasanya Saffiyyah hendak menatap pemberian dari Putera lagi. Dia menyampah! Meluat! Tempoh lima tahun masih belum dapat meredakan perasaan bencinya terhadap lelaki itu.
Jauh di sudut hati, Saffiyyah agak gementar juga untuk bersua pertama kali dengan keluarga Putera setelah apa yang telah dilakukan pada keluarga tersebut. Tetapi apakan daya, ayah dan ibunya telah mengambil pendekatan yang lebih keras kali ini iaitu dengan cara memaksa. Lagipun, mana mungkin untuk dia menconteng arang di muka keluarga untuk kali kedua.
Saffiyyah menghela nafas berat sebelum melangkah keluar.
No turning back, Saffiyyah.
Sometimes, you need to follow the flow and let it draw your own happiness because from that you'll know how life itself; full of surprises and challenges.
-Unknown 2020-
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Short StoryDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...