bab 3

960 158 50
                                    

Malam esok merupakan majlis pernikahannya dengan lelaki tak guna itu. Lelaki yang kini sudah naik jawatan dengan memegang gelaran sebagai orang yang paling dibenci dalam hidupnya. Esok, lelaki itu jugalah yang akan menerimanya sebagai isteri dengan lafaz ijab dan kabul.

Serta-merta sahaja, tubir matanya terasa panas tatkala terpandangkan jemarinya yang kini merah dibubuh inai. Dirinya sebak mengenangkan nasib diri. Perkahwinan sebegini bukan impiannya. Lebih-lebih lagi dengan insan yang dia langsung tidak cinta.

'Putera... kau akan menyesal dengan keputusan yang kau ambil ini,' desisnya di dalam hati.

Itu azamnya. Kedua belah tangannya dikepal lalu digenggam sekuat hati. Api kebencian semakin meluap-luap dalam diri.

Saffiyyah memerhatikan keadaan di luar bilik melalui pintu biliknya yang sengaja dibuka sedikit. Ahli keluarga dan sanak-saudaranya masih belum masuk tidur, malah semakin sibuk mempersiapkan majlis pernikahannya yang akan berlangsung esok. Keadaan pula masih riuh-rendah dengan suara orang berborak dan bergurau senda.

Jam yang tergantung di dinding bilik diperhati buat ke sekian kalinya. Satu jam lagi... semuanya akan berubah. Saffiyyah akan melakukan perkara yang paling berisiko sepanjang hidupnya. Nafas yang semakin tidak teratur cuba diredakan. Untuk menjayakan rancangan ini, dia perlu bertenang!

Tanpa dipinta, pintu bilik diketuk dari luar. Serentak dengan itu, wajah ibu terjengul di balik pintu.

"Kak Long okey? Kenapa muka pucat tu?" Puan Saleha merenung wajah anaknya dengan kerisauan di hati.

"Errr... Kak Long okey ibu. Cuma berdebar sedikit," dalih Saffiyyah sambil cuba menutup debar di hati sebaik mendengar soalan ibu. Jelas sangatkah muka pucatnya?

Puan Saleha merenung Saffiyyah buat kali terakhir. Dia ingin memastikan anaknya dalam keadaan yang baik. Setelah berpuas hati, pintu bilik ditutup rapat. Biarlah, dia yakin Saffiyyah memerlukan masa sendiri tanpa gangguan.

Saffiyyah menggelengkan kepala sambil meraup muka. Tangannya yang menggigil hebat dipandang. Ya Allah... betul ke apa yang dia buat ini? Hati mula berbelah-bagi. Lebih-lebih lagi, tatkala melihat wajah ibu yang risau tadi.

Terbit pula rasa bersalah untuk meneruskan rancangannya. Bagaimana dengan usaha dan titik peluh ahli keluarganya mengadakan persiapan? Wajarkah dia membiarkan ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain menanggung malu?

Sekali lagi... Saffiyyah buntu!

Perasaan bersalah yang kian menghambat segera ditepis dari terus menjalar di segenap ruang hati. Tak boleh! Hatinya bulat dan nekad. Apa nak jadi, jadilah! Yang penting, dia takkan sama sekali dinikahkan dengan Putera. Titik! Lagipun, masih ada jalan yang terbentang untuk keluar daripada permasalahan ini.

Rai

Saff, malam ini jadi ke tak?

Mesej kiriman Whatsapp daripada seseorang itu dibaca berkali-kali. Bibirnya menghela nafas sebelum menaip jawapan balas.

Jadi. Kita proceed dengan rancangan asal.
Tepat pukul 12 kita mula.

Okey. Nanti dah settle semua, aku tunggu di Petronas.

Noted! 👌

Selesai menghantar mesej, matanya dipejam rapat. Cuba untuk membuang seribu satu rasa yang bertandang di hati. Kali ini, Saffiyyah perlu yakin dengan pilihannya sendiri. Semua ini melibatkan masa depannya nanti. Apa pun yang bakal berlaku, segala risiko yang bakal ditanggung, hakikat kebenaran yang bakal terbongkar, semuanya perlu ditelan jua!

HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎Where stories live. Discover now