Tepat jam lima petang seperti yang dijanjikan. Kakinya yang disarung sandal menapak ke port biasa tempat dia dan Putera berjumpa dahulu. Dahulu, kenangan yang sudah lama ditinggalkan semenjak mereka berdua putus kawan.
Saffiyyah melabuhkan punggung di atas batang pokok kelapa yang tersadai. Matanya ditala ke hadapan sambil asyik memerhatikan gerakan ombak memukul pantai. Terasa damai hatinya meskipun buat seketika.
Fikirannya menjengah terhadap Putera. Mana lelaki itu? Sudah hampir 15 minit dia berseorangan di sini. Adakah dia telah dipermainkan? Saffiyyah mendengus geram. Argh, bodohnya dia masih mempercayai Putera! Timbunan pasir disepak dengan hujung kaki.
Waktu itu, baru dia sedar kehadiran sebuah botol kaca putih yang terletak elok di sebelah kakinya dan disandarkan pada batang pokok itu. Mata bundarnya memerhatikan sekeliling, mana tahu milik orang lain di sini. Tetapi, tidak mungkin kerana sedari awal lagi hanya Saffiyyah seorang saja yang berada di pantai persendirian ini.
Saffiyyah separa membongkok dan sekejap saja botol itu sudah berada dalam genggaman. Di balik botol kaca yang lut sinar, dia dapat lihat terdapat sekeping kertas putih di dalamnya. Penutup botol kaca itu dibuka. Sehelai kertas putih jatuh di atas riba. Dibaca tulisan yang bertulis tangan di dada kertas itu.
▥▥▥
DAY 1
We've been friends for a long time,
but we don't necessarily know each other.
Aku nak kau ambil tahu semua benda tentang aku hari ini.
Don't miss it even the little secret things.
Don't ever come home and call me too.
▥▥▥
Terkebil-kebil mata Saffiyyah merenung kertas itu. Huh? Apa semua benda ini? Buat apa dia perlu ambil tahu tentang Putera? Cukuplah dia kenal lelaki itu tak lebih daripada seorang kawan. Mengapa perlu lebih-lebih? Saffiyyah menunduk sambil merengus tak puas hati.
Hendak saja dia membentak di depan Putera. Paling kurang dapat telefon pun jadilah. Namun tatkala teringatkan syarat yang dikenakan oleh lelaki itu, dia terpaksa akur. Lagipun, mulutnya dah berjanji untuk patuh.
Sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, Saffiyyah terus menuju ke ruang dapur. Mencari batang tubuh si ibu. Lain yang dicari, lain yang dijumpa. Matanya terlebih dahulu menjamah kelibat Puan Fuziah yang sedang duduk di meja makan sambil memotong buah mangga. Saffiyyah tersenyum sendiri melihatkannya.
"Assalamualaikum, mama. Mama sihat?" Sejak lamaran keluarganya diterima, panggilan Saffiyyah terhadap wanita itu turut berubah. Kembali pada panggilan lima tahun lalu.
Saffiyyah tunduk menyalami tangan Mama Putera.
"Alhamdulillah, mama sihat saja. Saff baru balik? Dari mana?" tanya Puan Fuziah. Pisau di tangan setia memotong mangga muda.
"Dari pantai. Mama dah lama sampai ke?"
Puan Fuziah mengangguk perlahan. Saffiyyah menarik kerusi di sebelah bakal mertuanya. Misinya kini bermula, untuk mengambil tahu segala benda tentang Putera yang selama ini tidak pernah dia ambil tahu.
Memanglah mereka sudah lama berkawan, tapi sepanjang tempoh itu tidak pernah dia ambil tahu tentang Putera. Baginya, kawan hanya sekadar kawan. Tempat untuk meluah rasa. Tidak pernah lebih dari itu.
"Mama, Saff nak tahu semuanya tentang Putera boleh?" pinta Saffiyyah. Wajah Puan Fuziah diperhatikan dari tepi.
"Putera? Oh, hahaha. Nak jaga Putera ini senang saja Saff. Dia pun bukan memilih sangat orangnya," ujar Puan Fuziah. Pisau yang digunakan untuk memotong mangga diletakkan di atas papan pemotong. Badannya juga dipusingkan supaya betul-betul menghadap gadis itu.
"Ya ke? Kalau macam itu, lega Saffiyyah dengar," seloroh Saffiyyah. Tangannya dibawa mengusap dada. Masing-masing menghamburkan tawa.
"Kalau nak tahu, Putera suka makan masakan kampung. Lauk yang paling dia suka ikan masak lemak cili api," terang Puan Fuziah.
Saffiyyah menganggukkan kepala. Nampaknya, selepas ini dia perlu meluangkan lebih masa di dapur sebab dia belum pernah masak masakan itu. Ataupun lebih tepat lagi dia tak mahir memasak! Namun begitu, kelemahannya itu tak perlu dirisaukan kerana Putera sudah tahu. Jadi pandai-pandailah lelaki itu cari makan sendiri selepas mereka berkahwin nanti.
"Dia suka pedas ya mama?" soal Saffiyyah. Di depan Mama Putera haruslah dia menunjukkan minat untuk bertanya.
"Hmm... tak juga. Perut Putera ini lain macam sedikit. Boleh pedas, tapi jangan pedas sangat. Dia ada gastrik. Perut kosong pun tak boleh." Saffiyyah hampir terlopong sebaik mendengar hakikat itu.
Gastrik? Wah... Saffiyyah memang betul-betul kena jaga Putera selepas ini. Gadis itu sendiri tak dapat bayangkan bagaimana mereka hendak duduk sebumbung nanti. Dengan dirinya yang tak reti memasak dan Putera yang gastrik, boleh ke bertahan? Ngeri pula dia memikirkannya.
"Bagi mama, Putera itu macam mana orangnya?" Saffiyyah cuba mengorek lagi. Kali ini lebih mendalam dan berkait dengan soal hati.
"Sebelum itu, mama tanya dulu. Saffiyyah rasa, Putera itu macam mana?" Puan Fuziah memulangkan soalan yang sama. Gadis itu menelan air liur. Apa yang harus dijawab? Jujur atau sebaliknya?
Dia terdiam sejenak. Cuba mengimbas kembali detik-detik persahabatan yang terjalin antara mereka. Merasai semula memori yang tercipta.
"Putera seorang yang baik. Baik itu sebab penyayang, hormat orang tua, suka tolong orang lain, ambil berat dan selalu ada susah dan senang. Cuma satu perkara yang Saffiyyah tak suka, dia... tak pegang pada janji."
Ayat terakhir itu diungkap dengan perasaan bercampur-baur. Ya, tak dapat dinafikan yang dia masih marahkan Putera. Kepalanya menunduk. Serba salah lagi-lagi apabila dia perasan Puan Fuziah juga tak lepas memandangnya.
Puan Fuziah tersenyum. Dagu Saffiyyah diangkat lembut dengan ibu jari menjadikan pandangan mereka bertembung.
"Apa yang Saffiyyah cakap itu semuanya betul. Mama tinggal nak tambah sedikit saja."
Kedua-dua tangan Saffiyyah di atas meja dicapai lalu dibawa ke dalam genggaman. Kekura tangan gadis itu diusap perlahan.
"Setiap apa yang Putera buat, perkara itu mesti ada tujuannya tersendiri. Mama yakin, Putera tak pernah silap buat keputusan. Keputusan yang paling baik pernah dia buat dalam hidup ialah memilih Saffiyyah sebagai isteri."
"Most important is... he loves you. Sekali dia cinta, selamanya dia cinta. Trust me."
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Kısa HikayeDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...