Dua buah khemah putih yang sudah terpacak kukuh di halaman rumah dipandang kosong. Fikirannya jauh menerawang. Langsung tidak terganggu dengan bunyi hingar-bingar dari persekitaran. Kelibat manusia yang lalu-lalang menyinggah ruang mata turut tidak mampu meleraikan lamunan si bakal pengantin.
Dia mengeluh tatkala tersedar sesuatu. Ya... bakal pengantin. Saffiyyah bakal bergelar pengantin dalam baki masa lima hari lagi. Kemudian, fasa hidupnya akan berganjak menuju ke tahap yang lebih tinggi. Statusnya juga akan berubah.
Paling penting... rahsianya nan satu itu mungkin bakal tersingkap. Sia-sia saja setiap perkara yang cuba dilakukan selama ini. Mahu atau tidak dia perlu lalui juga.
Persoalannya, bagaimana dengan nasib hidupnya nanti? Tegarkah dia melalui sekali lagi saat-saat getir itu? Kuatkah dia? Semua tanda tanya itu saja mampu membuatkan dada Saffiyyah terasa sesak dan sebu.
Bunyi telefon pintar menyedarkan gadis itu kembali ke alam realiti. Peti simpanan mesej dari aplikasi Whatsapp dibuka.
Rai
Kita jumpa. Pantai, 11 pagi.
Rasa pelik tiba-tiba menerjah minda. Mengapa Rai mengajaknya bersua muka sedangkan selama ini boleh saja mereka berurusan melalui perantaraan? Paling tidak pun kiriman mesej sudah memadai. Selebihnya, kerja-kerja lain akan diuruskan oleh Rai sendiri sebelum upah diberi.
Entah kenapa, untuk kali ini Saffiyyah sendiri rasa tak sedap hati. Seolah-olah ada sesuatu. Namun, perkara itu hanya didiamkan saja. Dia tak perlukan campur tangan sesiapa dalam hal ini. Bimbang rancangan jahatnya bersama Rai lima tahun lalu sampai ke pengetahuan ahli keluarga pula. Untuk detik itu, Saffiyyah masih belum bersedia untuk berdepan.
Gerak kaki diatur masuk ke dalam rumah. Bersiap-siap sebelum bertemu Rai.
Saat dia tiba, kawasan pantai itu lenggang tanpa kehadiran orang ramai. Maklumlah, waktu pagi dan matahari pun hampir tinggi di atas kepala. Bebola iris Saffiyyah galak melihat kawasan sekitar. Cuba untuk mengenal pasti susuk tubuh yang mungkin milik Rai. Dia dan lelaki itu tidak pernah bertemu empat mata. Jadi, sukar untuk dia mengecam kehadiran jejaka tersebut.
Hampir berputus asa, Saffiyyah melabuhkan duduk di atas tembok batu berhampiran. Beri peluang untuk merehatkan kaki yang terasa lenguh akibat terlalu lama berdiri. Hampir setengah jam juga gadis itu menunggu namun masih tiada tanda-tanda kehadiran Rai.
Sinar mentari juga semakin mencucuk. Bahangnya saja cukup terasa untuk membuatkan kulit putih Saffiyyah bertukar merah seperti dipanggang. Sempat mulut merah itu menyumpah Rai dalam hati. Dasar Melayu! Tak pernah nak tepati masa.
Daripada duduk, perempuan itu bangkit berdiri. Kejang otot punggung dek duduk dalam tempoh yang panjang. Pinggangnya dicekak dengan sebelah tangan. Ya Allah, mana Rai ni?
"Saff."
Suara gemersik dan serak-serak basah itu betul-betul kedengaran di cuping telinga. Automatik dadanya berdegup kencang. Secara tak langsung menggamit memori lalu datang menerpa.
Dia kenal suara itu.
Perlahan-lahan Saffiyyah berpaling. Ketika itu, nafasnya hampir putus. Badannya mula menggeletar hebat. Terasa peluh sejuk yang mengalir menuruni dahi. Mindanya turut berpusing. Satu persatu langkah kakinya mengundur. Menjauhi kelibat di hadapan mata.
"H... Hilman..." Buat pertama kalinya, nama keramat itu meniti di bibir setelah hampir beberapa tahun peristiwa itu menghantui.
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Historia CortaDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...