"Put, aku nak kau janji dengan aku boleh?" Suara Saffiyyah berbunyi seiring dengan desiran ombak memukul pantai.
Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka berdua, meluangkan masa bersama setiap petang di kawasan pantai. Persekitarannya yang tenang dan mendamaikan menjadi tempat Putera dan Saffiyyah berkongsi masalah.
"Janji? Janji apa pula ni?" tanya Putera.
Bebola mata dihala tepat memandang Saffiyyah yang begitu asyik melemparkan pandangannya jauh ke hadapan. Setelah agak lama, barulah gadis itu membuka mulut.
"Janji dengan aku, kau hanya boleh jadi sahabat aku sampai bila-bila. No more than that. Keep the border between us," kata Saffiyyah.
"Kalau tak? Apa jadi?"
"Tinggalkan aku dan kita putus kawan."
Putera terdiam. Saffiyyah yang berada di sisi dijeling sekilas. Riak wajah gadis itu diperhati dengan ekor mata. Cuba mencari unsur gurauan dalam kata-kata Saffiyyah. Sayangnya, dia tidak menjumpainya.
Ekspresi gadis itu masih seperti tadi.
Serius dan jujur.
"Kenapa sampai macam itu sekali? Kau takut aku jatuh cinta dengan kau ke?"
Saffiyyah mengukir senyum nipis sambil menggelengkan kepala. Ranting kayu yang berada di pegangan sibuk mengukir sesuatu di pasir pantai membentuk satu perkataan.
CINTA.
Pandangannya dikalihkan, menatap wajah Putera yang sedia menanti jawapan.
"Aku tak takut langsung kalau kau jatuh cinta dengan aku. Sebab aku yakin benda itu takkan berlaku. Aku cuma takut andai rasa cinta yang hadir nanti akan membuatkan hubungan kita tak macam sekarang. Mana tahu dengan cinta, ada antara kita yang terluka. Itu tak termasuk lagi dengan dendam, rindu dan cemburu. Huish, tak sanggup aku!"
Perkataan CINTA dipadam dengan tapak kaki. Perkataan lain pula ditulis di tempat sama menggantikan perkataan CINTA tadi.
SAHABAT.
Senyumannya semakin melebar. Lesung pipit kelihatan di tepi bibir si gadis. Bayu angin petang sesekali meniup lembut hujung tudung bawal yang tersarung di kepala Saffiyyah.
"Aku nak kita jadi macam ni, Put. Satu perkataan namun cukup mendatangkan makna yang besar antara satu sama lain. Sepasang sahabat yang saling melengkapi. Bukan sahabat biasa, tetapi sahabat setia. Persahabatan yang kekal selamanya."
Putera termenung jauh. Mindanya menerawang seperti memikirkan sesuatu.
"Saff, kau yakin ke persahabatan kita ini akan kekal?"
"Kenapa? Kau tak yakin?"
Putera tertelan air liur sendiri. Bibirnya menghela nafas berat. Dia menunduk seketika sebelum beradu pandangan dengan mata jernih milik Saffiyyah.
"Kau nak tahu, apabila lelaki dan perempuan berkawan rapat sebenarnya mereka hanya terpisah dengan satu garisan halus. Tersangat halus. Bila-bila sahaja garisan itu akan hilang. Besar kemungkinan untuk salah seorang daripada kita jatuh cinta, Saff."
"Jadi? Apa kaitannya?"
Saffiyyah masih belum dapat memahami makna tersirat yang cuba disampaikan oleh Putera. Lelaki itu mendengus perlahan. Sesekali jemarinya diramas kasar.
"Macam mana kalau aku cakap, aku dah jatuh cinta dengan kau?"
Gadis itu serta-merta terdiam. Mata bundar itu tajam menikam wajah Putera sebelum pandangannya meliar melihat kawasan sekeliling.
"Bagitahu aku cepat. Mana kau letak benda tu?"
Putera berkerut hairan. "Benda apa pula ni? Aku tak fahamlah, Saff."
"Urgh, kamera tu la! Kau letak di mana?"
"Buat apa bawa kamera? Fikir aku nak tangkap gambar kau? Heh! Simpang malaikat 44. Saff, kau pun bukannya lawa sangat. Muka lebih kurang dengan penghuni bilik mayat. Tinggal tunggu masa je tu nak mereput." Selamba Putera menggunakan kesempatan untuk mengutuk.
"Amboi kau Put, mengutuk aku nombor satu! Hei, tak payah nak tipulah. Aku tahu, kau letak kamera dekat-dekat sini kan? Kau sengaja nak prank aku, sebab itu kau cakap dah jatuh cinta dengan aku kan?"
Saffiyyah aktif mencari 'kamera' yang kononnya wujud. Jika tadi dicari di belakang semak-samun, kini Saffiyyah mendongak ke arah pokok kelapa yang tinggi melangit. Pinggangnya dicekak sebelah tangan. Kelopak mata dikecilkan supaya pandangan bertambah fokus.
Putera terdiam. Tidak sampai seminit, tawanya pecah berderai. Senak pula rasanya ketawa tak berhenti. Lagi-lagi melihat wajah blur Saffiyyah.
"Woi, minah! Aku bergurau jelah! Yang kau beria-ia percaya ini dah kenapa?" jerit Putera pada gadis yang berdiri 100 kangkang kera darinya.
Tawanya pecah lagi. Putera menggelengkan kepala. Saffiyyah dan penyakit kaburnya, memang tak dapat dipisahkan.
"Biadab! Kau main-main dengan aku, Put? Jangan marah aku lepas ni. Semua ini salah kau!" Saffiyyah mendengus geram. Langkahnya semakin mendekat dengan Putera.
Pap! Pap! Pap!
Ranting kayu laju hinggap di belakang lengan lelaki itu. Putera mengaduh perlahan. Uish, boleh tahan pedih juga penangannya! Tak padan dengan tangan kecil!
"Aduh, sakitlah woi! Fine! Aku yang salah dan selamanya aku yang salah. Puas hati?"
Kata-kata itulah yang sering diungkapkan apabila mereka bergaduh. Putera yang salah dan selamanya Putera yang salah. Mula-mula dia tak setuju juga tetapi mendengar kata Saffiyyah, dia ikutkan sahaja. Malas nak salahkan, sebab ada betulnya juga.
Saffiyyah kata, perempuan tak pernah salah dan selamanya betul. Lelaki pula perlu belajar untuk menanggung kesalahan. Nanti bila dah kahwin, yang menanggung dosa ialah suami dan suami itu lelaki. Hah, begitulah logiknya.
"Puas! Terlebih puas!" balas Saffiyyah dengan nada menyindir. Ranting kayu dilepaskan dari genggaman. Dia kembali melabuhkan duduk di atas batang pokok kelapa yang dah lama tumbang.
Untuk beberapa ketika, masing-masing diam sambil berpeluk tubuh. Membiarkan batang tubuh mereka lembut ditampar bayu petang.
"Okey, aku janji. Kita akan kekal sebagai sahabat. Selama-lamanya."
Bukan mudah untuk Putera mengukir janji. Semua dilakukan hanya kerana gadis di sebelahnya ini. Sesungguhnya itu lebih baik daripada dia kehilangan Saffiyyah dalam hidupnya.
Hilang harta? Boleh dicari.
Hilang Saffiyyah? Mati.
Putera mati sebab Saffiyyah nyawa.
YOU ARE READING
HIKAYAT CINTA SAHABAT [COMPLETED]✔︎
Historia CortaDua sahabat berjanji untuk tak saling jatuh cinta walaupun dalam diam Putera menyimpan rasa terhadap Saffiyyah. Disebabkan suatu peristiwa, Putera nekad memperisterikan gadis itu meskipun persahabatan mereka menjadi taruhan. Akibat terlampau kecewa...