Memandangkan hari ini hujung minggu, jadi pagi-pagi lagi Aireen sudah keluar berjogging di taman rekreasi terdekat. Sudah lama rasanya dia tidak mengeluarkan peluh sejak pulang ke Malaysia. Jika di New York, sudah menjadi rutin hariannya untuk berjogging di sekitar perjiranannya. Mungkin sedikit biased, tetapi warga di sana mementingkan kesihatan, tidak seperti di Malaysia.
"Aduh! Sakitnya!" Tiba-tiba kedengaran seseorang yang sedang mengerang kesakitan.
Aireen berpaling ke arah suara itu. Dia lihat seorang lelaki yang lebih kurang sebaya papanya sudah terbaring di bawah sebuah pondok dengan berpakaian sukan. Dengan pantas, Aireen terus berlari ke arahnya untuk memberikan bantuan.
"Ya Allah, pak cik!" Aireen terjerit kecil saat melihat pak cik itu sedang meronta-ronta untuk mencapai sebotol ubat yang terjatuh tidak jauh darinya. Dengan tindakan pantas, Aireen terus membangunkan pak cik itu dan mencapai botol ubat tersebut lalu mengambil dua biji kapsul seperti yang tertera di arahan ubat tersebut.
"Pak cik, telan." Aireen membawa kapsul tersebut ke mulut pak cik itu bersama minum air mineral yang dibawanya.
"Pak cik dah okey?" soal Aireen setelah melihat pak cik itu sudah mulai tenang di bangku. Air mata yang bersisa pula sempat diseka sebersihnya dari pelupuk matanya.
Dato' Seri Zaid senyum kepada gadis yang berpenampilan seperti seorang gengster tetapi baik sekali hatinya.
"Alhamdulillah, pak cik dah okey. Terima kasih banyak-banyak sebab dah bantu pak cik. Kalau tak ada kamu tadi, pak cik tentu dah arwah sekarang."
"Pak cik janganlah cakap macam tu. Ajal maut di tangan Allah. Saya cuma tolong saja tadi," ujar Aireen yang masih menyeka air mata di pipinya.
Dato' Seri Zaid yang tersenyum sudah tergelak kecil.
"Pak cik yang sakit, tapi kamu pula yang menangis. Tak sangka orang macam kamu ni pun kuat menangis ya?"
Aireen sudah tersengih. Memang dia kuat menangis orangnya.
"Pak cik nak panggil kamu apa ni?" soal Dato' Seri Zaid.
"Saya Aireen pak cik. Pak cik pula orang panggil apa?"
"Panggil pak cik, Pak Cik Zaid aje." Dato' Seri Zaid tersenyum.
Aireen mengangguk kecil.
"Pak Cik Zaid memang selalu jogging dekat sini ke? Kalau selalu, mungkin kita akan jumpa lagi lepas ni."
"Pak cik jogging hujung minggu aje. Tapi Insya-Allah, kalau ada peluang kita boleh jumpa lagi. Masa tu, bolehlah kita kongsi cerita masing-masing. Itu pun kalau kamu sudi nak berkawan dengan pak cik la," ujar Dato' Seri Zaid bercanda.
"Tentulah saya sudi pak cik. Insya-Allah kita jumpa lagi lepas ni." Ceria wajah Aireen apabila sudah mendapat kawan baru.
Dato' Seri Zaid tersenyum senang apabila melihatkan keikhlasan di wajah Aireeen. Benar-benar gelagat gadis itu dapat menceriakan paginya hari ini.
******
Petang itu, Aireen melakar sepasang baju pengantin di dalam studio kecilnya. Pada waktu terluang, memang studio itu sahajalah tempat dia menghabiskan masanya dengan menjahit dan melakar design bajunya. Studionya tidak jauh, cuma bersebelahan bilik tidurnya sahaja. Jadi senang sikit untuk dia menyusup masuk tanpa merisaukan suaminya yang berada di tingkat bawah.
"Kalau gabungkan warna pink dengan putih, mesti cantik baju pengantin ni," gumam Aireen dengan kepalanya yang terangguk-angguk. Ditelitinya perca kain pink dan putih untuk dijahitnya nanti.
Dengan senyuman manis, Aireen menghampiri pula mannequin yang telah dipakaikan gaun pengantin berwarna biru lembut. Persis gaun Cinderella! Gaun pengantin itu sudah lama dijahitnya, dari New York lagi. Itulah gaun pengantin impiannya.
"Kesian kau Aireen, impian kau hancur macam tu aje..." Sempat Aireen termenung, mengenang nasibnya.
Aireen lihat jam di tangannya. Waktu sudah mahu menghampiri maghrib, tanda dia perlu berhenti rehat dan menunaikan ibadat. Dengan langkah yang lesu, dia keluar dari studio itu.
Sewaktu mengunci pintu studio, Aireen sempat menguap panjang. Langsung dia tidak menyedari kehadiran Zhariff yang sedang berdiri betul-betul di hadapan bilik tidurnya, bersebelahan studionya itu. Waktu itu, Aireen berpakaian ringkas sahaja. Sekadar T-shirt lengan pendek dan seluar capri ketat paras betisnya sahaja.
"Astarfirullahalazim..." Aireen terus mengurut dadanya apabila berpaling ke hadapan. Bagaikan mahu luruh sahaja jantungnya ketika terpandangkan suaminya di hadapan! Mujurlah make-up di mukanya masih bertempek di mukanya! Safe!
"Apa... apa kau buat dekat sini?!" Terketar-ketar jarinya yang runcing diajukan ke arah suaminya.
Zhariff sudah terbatuk kecil apabila matanya menghala ke arah betis isterinya yang putih melepak. Terserlah bentuk badannya yang kelihatan lebih keperempuanan. Pertama kali dia melihat Aireen berpakaian seperti itu!
Aireen pula sudah termalu sendiri. Ketika itu, dia perasan mata suaminya sedang menghala ke arah betisnya. Dasar lelaki gatal! Mujur sahaja mamat itu ialah suaminya, jadi tidak menjadi satu dosa buatnya kerana mendedahkan aurat.
"Kau... kau buat apa dekat atas? Kau dah lupa ke ni zon aku?" marah Aireen, geram.
"Kawan kau ada dekat bawah." Zhariff menunjukkan tangannya ke tingkat bawah.
Aireen terus terdiam. "Kawan? Nasya ke?" tanya Aireen kembali. Kakinya sudah tergedik-gedik tidak boleh duduk diam, malu kerana Zhariff masih memerhatikannya.
Zhariff perasan dengan ketidaksenangan isterinya itu. Dia cuba tahan senyum.
"No, it's not Nasya. It's your friend, Dhiya."
Dhiya? Tapi seingatnya Dhiya pulang dari umrah esok. Alamak! Mesti Dhiya dah banyak kali call tadi.
"Kau... kau boleh blah sekarang! And I warn you, jangan nak pandai-pandai lagi cuba naik ke tingkat atas ni. Ini zon aku! Dah, blah sekarang!" Aireen kemudian terus mengajukan tangannya ke arah tangga dengan muka yang sudah merah padam.
Zhariff ketika itu beriak biasa sahaja. Langsung dia tidak hairan dengan ugutan isterinya. Dengan bahu yang diangkat selamba, dia terus mengorak langkah ke bawah. Namun dia berhenti seketika dan memandang Aireen kembali dari atas ke bawah dengan senyuman yang sinis. Sengaja dia mahu mengusik gengster celup itu!
"Nice figure for a tomboyish like you. Anyway, there's something on your head." Zhariff memberi isyarat di kepalanya dengan senyuman yang sinis.
Aireen sudah merah mukanya menahan malu. Dengan kalut, dia terus meraba kepalanya. Oh, crap! Satu perca kain berwarna pink melekat di rambutnya yang pendek itu.
"Oh ya, kawan kau datang dengan abang dan adik dia. So, I think you should consider your clothes." Selesai sahaja berkata, Zhariff terus menuruni tangga tanpa menunggu apa-apa respons daripada isterinya.
Aireen sedikit terkejut. Dia fikir Dhiya hanya datang seorang diri sahaja. Rupanya Naufal dan Mimi juga datang bersama.
Tanpa membuang masa,Aireen terus masuk ke dalam biliknya dan menukar pakaian yang lebih sopan dan tertutup.
YOU ARE READING
Dia Cinderella Amanda
RomanceLima belas tahun di New York, Aireen Amanda akhirnya pulang ke Malaysia untuk menagih kasih ibu bapa kandungnya yang telah lama membuangnya sejak kecil. Tiba di Malaysia, sekali lagi Aireen didajalkan oleh kakak angkatnya, Maisarah. Kini, penampilan...