Selesai sahaja menghubungi Dhiya, Aireen lantas menuruni tangga ke tingkat bawah. Dia mahu keluar dari rumah ini seberapa segera. Tidak sanggup rasanya dia bertemu dengan ibu bapanya dalam keadaan sebegini rupa.
"Ai... Aireen ke ni?" Tiba-tiba suara Haji Abbas kedengaran terkejut.
Langkah Aireen terus terhenti di pertengahan jalan. Dia lihat sekumpulan manusia di pintu sedang memandangnya dengan wajah yang terkejut. Mama dan papanya ada di situ!
"Assalamualaikum..." Tiba-tiba Zhariff muncul memberi salam apabila memasuki ruang pintu tersebut.
Aireen sudah terkejut besar. Badannya terus menggeletar ketakutan. Kini lelaki yang digeruninya selama ini juga ada bersama mereka! Memang tidak salah lagi, dialah lelaki kek itu!
Zhariff pandang Aireen dengan riak terkejut. Siapakah gadis liar ini?
"Siapa ni, Tok Haji?" Zhariff pandang Haji Abbas.
Air mata Aireen hampir menitis. Buat pertama kalinya, dia berasa lega dengan rupa dan penampilannya sekarang apabila Zhariff tidak dapat mengecamnya.
"Abah panggil dia siapa tadi? Aireen?" Tiba-tiba Datuk Amran bersuara keras.
"Mama... papa..." Air mata Aireen lantas menitis laju ke pipinya, kegembiraan. Setelah sekian lamanya, mereka tidak bersua muka.
Datuk Amran dan Datin Aida sudah terkejut besar. Penampilan Aireen yang dilihat mereka ketika ini sangat jelek sekali! Sudah seperti gadis liar!
Haji Zainuddin, peguam kepada arwah Tan Sri Dato' Syuib juga turut terkejut besar dengan penampilan Aireen yang sangat berbeza sekali dengan apa yang digambarkan oleh Tan Sri Dato' Syuib selama ini.
"Haji kenal ke budak ni? Siapa dia, Amran?" soal Tan Sri Najmi naik hairan.
Haji Abbas sudah serba salah. Sebenarnya dia sendiri masih belum percaya gadis di hadapannya ini benar-benar ialah Aireen, cucunya sendiri.
"Baiklah, memandangkan semua dah hadir, rasanya lebih baik kita mula bergerak ke ruang yang lebih selesa untuk saya bacakan wasiat penting daripada arwah Tan Sri Dato' Syuib. Maafkan saya sebab terpaksa baca wasiat Tan Sri di rumah Tuan Haji Abbas hari ni." Haji Zainuddin tiba-tiba bersuara.
"Tak ada masalah Zainuddin. Kami faham pejabat kau sedang diubahsuai sekarang," ujar Haji Abbas hormat.
"Betul Tuan Haji, lagipun alang-alang kami nak berbincang pasal perkahwinan Zhariff hari ni." Datin Sri Yasmin turut menyetujuinya.
"Uncle dan auntie dah sampai?" Tiba-tiba kedengaran suara Maisarah menyapa mereka dengan ceria.
Luna dan Melly di belakangnya pula hanya berlalu keluar tanpa sebarang kata.
"Kami baru aje sampai, Sarah," balas Puan Sri Yasmin tersenyum. Ketika itu, sempat dia bersyukur kerana jodoh Zhariff ialah gadis secantik dan sebaik Sarah, bukan seperti gadis yang liar di hadapannya ini.
"Sarah, apa yang kau dah buat pada cucu aku?!" Tiba-tiba suara Haji Abbas bergema, menengking Maisarah.
Maisarah terkejut apabila diherdik oleh Haji Abbas di hadapan semua orang. Semua di situ turut terkejut.
"Haji?" Tan Sri Najmi naik hairan.
"Zhariff, Najmi, Yasmin... Sebenarnya Tok Haji ada sesuatu yang perlu Tok Haji bagitahu kamu semua hari ni."
******
"Amran, Aida! Apa semua ni?!" sembur Tan Sri Najmi, bengang. Dia terus bangun dari sofa.
"Bawa bertenang, Mi. Aku boleh terangkan."
"Macam mana kami nak bawak bertenang, Abang Am, Aida! Kamu semua dah tipu kami sekeluarga bulat-bulat! Sarah pun sama!" Suara Datin Sri Yasmin kedengaran begitu kecewa.
YOU ARE READING
Dia Cinderella Amanda
RomanceLima belas tahun di New York, Aireen Amanda akhirnya pulang ke Malaysia untuk menagih kasih ibu bapa kandungnya yang telah lama membuangnya sejak kecil. Tiba di Malaysia, sekali lagi Aireen didajalkan oleh kakak angkatnya, Maisarah. Kini, penampilan...