"Maafkan saya. Tapi saya rasa terdapat sedikit salah faham di sini." Tiba-tiba Haji Zainuddin mencelah.Semua orang memandang Haji Zainuddin dengan riak yang hairan. Salah faham tentang apa lagi ni? Haji Abbas pula hanya berdiam diri sahaja walaupun dia sudah tahu keseluruhan isi wasiat itu.
"Menurut arwah, Zhariff bukan bakal dinikahkan dengan Maisarah, tetapi anak kandung kepada Datuk Amran dan Datin Aida sendiri. Iaitu Aireen," jelas Haji Zainuddin lagi.
Semua orang benar-benar terperanjat. Apatahlagi Aireen dan Zhariff sendiri! Langsung tidak pernah terlintas di fikiran mereka sama sekali!
Maisarah pula sudah menggenggam tangannya geram apabila mendengarkan kenyataan yang langsung tidak masuk akal itu.
"Apa semua ni Tuan Haji? Mungkin Tuan Haji yang tersalah faham dengan kata-kata arwah atuk dulu." Zhariff terus bangun dari sofa sebelum yang lain membantah.
"Aireen... Aireen nak pergi dari sini, atuk. Aireen rasa Aireen tak sepatutnya ada dekat sini. I... I shouldn't be here..." Terketar-ketar suara Aireen memberitahu datuknya di sebelah. Air matanya kembali lebat di pipi. Benar-benar dia berharap agar peguam Atuk Syuib hanya tersalah membaca wasiat sahaja.
"Aireen Amanda. Itu kan nama Aireen?" soal Haji Zainuddin lembut.
Aireen mengangguk kecil dalam tangisannya. Dia tahu semua ini ada kaitan dengan banglo Atuk Syuib yang dihibahkan kepadanya.
"Buat pengetahuan Zhariff dan semua di sini, arwah sebenarnya dah lama kenal dengan Aireen. Betul kan Aireen, apa yang saya cakap ni?" soal Haji Zainuddin lagi kepada Aireen.
Aireen menutup mukanya. Dia terpaksa jua mengangguk.
"Semua ni mesti abah yang beritahu arwah pasal Aireen, kan? Kalau tak, arwah mesti tak kenal dengan Aireen!" Datuk Amran tiba-tiba naik angin.
"Atuk buat semua ni sebab atuk benci Sarah, kan? Sebab Sarah bukan cucu atuk! Sebab tu la atuk tak nak Sarah kahwin dan bahagia dengan Zhariff!" Maisarah terus menangis di dalam pelukan Datin Aida.
"Apa yang dah merasuk kamu semua ni? Tolong hormat sikit dengan siapa kamu sedang bercakap sekarang!" tengking Haji Abbas pula. Dia kemudian memandang semua orang dan menyambung lagi.
"Buat pengetahuan kamu semua, arwah dah lama kenal dengan Aireen di New York, secara tak sengaja. Bukan sebab aku yang kenalkan mereka! Kalau nak cerita sekarang, memang takkan habis!" Haji Abbas yang berdiri tadi kembali duduk.
"Tapi Tok Haji, Zhariff kenal sangat dengan atuk. Atuk tak mungkin jodohkan Zhariff dengan cucu Tok Haji yang berpenampilan macam ni. Tolonglah cakap semua ni tak betul, Tok Haji." Zhariff sudah mati kutu. Dia picit kepalanya yang semakin serabut.
"Zhariff, maafkan Tok Haji. Tapi kamu perlu tahu yang atuk kamu sangat suka dan sayangkan Aireen macam cucu dia sendiri. Sebab itulah, arwah harap sangat Aireen dan Zhariff dapat disatukan juga suatu hari nanti." Dengan tenang, Haji Abbas menjelaskannya.
"Haji, tak mungkin arwah ayah boleh berkenan dengan cucu Haji yang liar ni," tambah Tan Sri Najmi pula.
"Maafkan Tok Haji, Zhariff. Tapi Tok Haji rasa kita patut dengar dulu penerangan Haji Zainuddin. Lagipun wasiat ni belum habis lagi dibacakan," balas Haji Abbas yang masih tenang.
Haji Zainuddin mengangguk. Kini semua mata kembali memandangnya, meminta penjelasan.
"Seperti yang dinyatakan Tuan Haji Abbas tadi, arwah Tan Sri Syuib memang dah anggap Aireen macam cucu sendiri dari dulu. Dan buat pengetahuan semua, Banglo Qiara milik arwah telah dihibahkan atau dalam erti lain telah pun dihadiahkan kepada Aireen. Jadi sekarang, Banglo Qiara tu milik Aireen sepenuhnya. Semua jelas?" Haji Zainuddin pandang mereka di situ satu-persatu.
YOU ARE READING
Dia Cinderella Amanda
RomantizmLima belas tahun di New York, Aireen Amanda akhirnya pulang ke Malaysia untuk menagih kasih ibu bapa kandungnya yang telah lama membuangnya sejak kecil. Tiba di Malaysia, sekali lagi Aireen didajalkan oleh kakak angkatnya, Maisarah. Kini, penampilan...