Bab 6 - Segalanya Terbongkar

1.4K 80 3
                                    

Dari jauh lagi sudah kedengaran suara Haji Abbas sedang berbual di telefon di beranda rumah.

"Amran, boleh tak kamu jangan bercakap macam orang dah tak ada iman? Ibu kamu tu meninggal disebabkan dah sampai ajal. Bukan disebabkan Aireen!" Kedengaran herdikan Haji Abbas di pendengaran Aireen dan Tan Sri Dato' Syuib yang berdiri di sebalik beranda tersebut.

Aireen sudah menggeletar tubuhnya. Manakala Tan Sri Dato' Syuib benar-benar sudah terkedu dengan apa yang dilihat dan didengarinya sekarang. Wajah Aireen yang sugul di sebelahnya terus dipandangnya simpati.

"Memang dari dulu lagi, kamu langsung tak boleh dengar kalau abah sebut nama Aireen depan kamu, kan? Tapi sampai bila Amran? Sampai bila kamu nak seksa Aireen macam ni? Aireen tu anak kandung kamu, Amran. Tolong sedar sikit!" tengking Haji Abbas lagi.

"Kamu ni memang tak habis-habis ungkit benda lama, Amran! Tolonglah sedar sikit yang Aida dah tak boleh mengandung disebabkan ketentuan Tuhan. Bukan disebabkan Aireen! Anak dalam kandungan Aida tu pun sama. Dia pergi dulu sebab Allah lebih sayangkan anak kamu. Semua tu sudah ketentuan Allah, Amran! Bukan disebabkan Aireen!" Semakin kuat pula herdikan Haji Abbas kedengaran.

Air mata Aireen semakin mencurah lebat di pipinya. Getaran pada tubuhnya dirasakan hebat sekali sekarang. Sehingga Tan Sri Dato' Syuib di sebelahnya juga dapat melihat dengan jelas getaran badannya yang menggigil kuat. Ya Allah, hancur hati Aireen mendengarkan perbualan di antara datuk dan papanya sekarang!

"Kamu ni memang dah tak ada hati perut langsung, Amran! Apa yang tak bolehnya kalau Aireen pulang Malaysia tahun depan? Dia pun dah tamat pengajian dia masa tu. Kamu tahu tak, Aireen betul-betul dah tak sabar nak pulang Malaysia? Kalau boleh, setiap hari dia akan sebut pasal Malaysia, Amran! Sampai abah dengar pun rasa nak menangis!"

Aireen menundukkan wajahnya memandang rumput yang melata. Sekarang sudah tidak tergambar betapa hancur hatinya mendengarkan perbualan datuk dan papanya yang selama ini disangkanya sudah lama memaafkannya.

Tan Sri Dato' Syuib pula sudah menggelengkan kepalanya kerana terlalu kesal dengan perbuatan Amran dan sahabat baiknya sendiri yang begitu dia percaya selama ini. Sanggupnya mereka menyorokkan perkara ini daripada pengetahuannya selama ini.

"Asyik budak tu, budak tu! Salah ke kalau kamu sebut nama Aireen, Amran? Sampai macam tu sekali ya kamu dan Aida bencikan Aireen selama ni? Sampai muka Aireen sendiri pun kamu berdua tak nak pandang langsung, kan sejak dari dulu? Dan hari ni... Kamu tahu tak hari ni hari apa?" soal Haji Abbas pula. Kemudian dia menyambung lagi.

"Hari ni ulang tahun kelahiran anak kamu, Amran. Hari lahir Aireen! Kamu ni memang dah melampau sampai tak ingat langsung hari lahir anak kandung kamu sendiri. Kamu tahu tak, kamu bukan seksa Aireen saja, tapi abah sendiri Amran! Sebab kamu berdualah, abah terpaksa tipu Aireen dengan mengatakan hadiah setiap tahun yang dia terima tu ialah dari kamu berdua. Kalaulah Aireen tahu semua tu, mesti hancur hati dia Amran!" Haji Abbas menggenggam tangannya kemas kerana terlalu menahan marah.

Aireen tutup mulutnya dengan tangan, kemas. Memang benar, hatinya sudah hancur sekarang!

"Kamu berdua ni tak habis-habis lebihkan Sarah dari Aireen. Kamu tolong sedar sikit yang Sarah tu cuma anak angkat kamu saja. Tapi anak kandung kamu sekarang ni Aireen, Amran! Kamu berdua ni memang sesuai sangat dengan peribahasa kera di hutan disusukan tapi anak di rumah mati kelaparan!"

Tan Sri Dato' Syuib sudah merah matanya menahan marah yang melampau. Sungguh dia tidak menyangka, begini sikap sebenar mereka yang dianggapnya saudara sendiri.

"Kamu ni memang dah terlalu melampau, Amran! Sanggup kamu nak lucutkan kewarganegaraan Malaysia Aireen! Aireen dah besar Amran! Dia berhak tentukan hidup dia sendiri!" Selesai sahaja berkata, Haji Abbas terus mematikan panggilannya dengan dengusan yang kuat.

Dia Cinderella AmandaWhere stories live. Discover now