P R O L O G

120 8 2
                                    

Hari-hari berlalu seperti biasa. Kelihatan sesusuk tubuh terbaring lemah di atas katil. Wajahnya pucat tidak berdarah. Bibirnya pecah membengkak. Bintik-bintik merah di sekitar wajah itu jelas menunjukkan tubuh itu dalam keadaan tidak sihat. Dia hanya terbaring di situ.

Kaku.

Pintu bilik terbuka. Seorang wanita melangkah masuk ke dalam bilik anaknya. Iya. Dia ialah ibu pesakit itu.

Dia hanya berjalan perlahan ke arah katil yang menempatkan anaknya. Langkah diatur berhati-hati supaya tidak mengganggu anaknya yang disangka terlelap.

Dia duduk di birai katil sambil merenung anaknya dengan penuh kasih. Hatinya luluh melihat keadaan anaknya yang tidak bermaya. Naluri keibuannya berasa sakit kerana merasakan dirinya tidak menjaga anak yang dikandungnya dengan baik. Rasa bersalah menjentik ke pangkal hati.

Perlahan-lahan tangan diangkat dan diletakkan di atas dahi anaknya. Terasa panas telapak tangan. Suhu badan anaknya bertambah panas dari hari ke hari. Dia mengusap rambut panjang anaknya itu.

"Sayang, bangun. Ibu bawakan makanan ke sini. Bangun sayang, " perlahan suaranya mengejutkan anaknya.

Tiada balasan yang diterima. Hanya tubuh kaku yang menjadi jawapan.

"Sayang, bangun. Ibu masakkan makanan kegemaran kamu ni. Jamahlah sedikit. Nanti bertambah sakit, sayang, " sekali lagi dia memujuk anaknya untuk bangun.

Dia mengerut dahi apabila tiada langsung balasan yang diberi oleh si anak. Hanya diam dan kaku. Selalunya apabila dia mengejutkan anaknya untuk makan, cepat sahaja anaknya membuka mata. Namun, dia perasan anaknya hanya diam dan tidak langsung membuka mata. Perasaan risau terus bertamu di dalam hati.

"Abang! " segera dia memanggil suaminya. Bertambah rasa risaunya apabila dia menyentuh tangan anaknya yang telah berubah sejuk walaupun jelas tiada pendingin hawa di dalam bilik yang dipasang. Dia semakin cemas apabila dia merasakan nadi anaknya berdetak perlahan.

Sungguh perlahan.

Tidak sampai seminit, muncullah suaminya dengan wajah penuh tanda tanya. Setelah memeriksa anaknya, lelaki itu terus menyuruh isterinya bersiap ke hospital. Keadaan anaknya memaksa mereka untuk ke hospital walaupun wabak penyakit yang sedang merebak dapat membahayakan nyawa mereka sekeluarga.

Dengan tergesa-gesa, wanita itu menyalin pakaian yang lebih sesuai dan mencapai tudung. Mereka berdua bergerak bersama meninggalkan dua orang anak mereka yang lain untuk menghantar anak mereka yang tidak sihat ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tidak dihiraukan keadaan yang merbahaya kerana bagi mereka, nyawa anak mereka lebih penting dari segalanya.


..





A M N E S I A •Where stories live. Discover now