"Mama, adik nangis...! " jerit Aniq sambil menepuk-nepuk dada adik bongsunya itu. Dia masih belum mengerti apa-apa, namun sudah mampu belajar daripada perlakuan ibunya setiap kali ingin memujuk adiknya yang menangis kelaparan.
Azura bergegas dari dapur, membawa sebotol susu yang masih hangat. Di goncang-goncang botol tersebut untuk memastikan bancuhan susu betul-betul larut didalam air masak. Azura duduk bersimpuh lalu membongkokkan badan mengangkat bayinya dari tilam.
"Assalamualaikum Zulaikha...dah bangun putri mama ni..." Azura menguntum senyuman yang paling lebar. Senyuman dari seorang ibu yang akan sentiasa menjadi memori terindah buat anaknya sepanjang hayat.
Sudah 3 bulan Zulaikha dilahirkan didunia ini. Azura juga telah berpindah ke tanah besar beberapa bulan sebelum Zulaikha dilahirkan. Dia meninggalkan pulau bersama-sama kenangannya yang lalu, hanya membawa sekeping hati yang sayu dan rindu akan ketenangan jiwa.
Dan pada saat ini jiwanya mulai berasa tenang, dan akan terus cuba melupakan kisah silamnya yang terpahat di dalam memori penghuni pulau.Dia berdoa kepada Tuhan kerana hanya Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha mengasihani.
Sambil memangku Zulaikha, dia menyuapkan susu ke dalam mulut bayinya itu menggunakan botol yang dibawanya tadi. Azura menatap wajah Zulaikha. Hatinya tidak mampu menahan rasa tatkala melihat kejernihan sinar mata bayinya itu yang saling tak tumpah seperti pandangan mata arwah suaminya, Azman. Satu-satunya insan bernama lelaki yang sentiasa menyayangi dan menjaga isteri disepanjang hayatnya.
Azman kembali kepada Sang Pencipta beberapa minggu sebelum Azura melahirkan Zulaikha. Dia disahkan mengidap kanser usus tahap 4 ketika Azura masih tinggal di pulau, namun memilih untuk merahsiakan berita sedih tersebut daripada pengetahuan orang lain termasuk Umi. Pemergiannya tanpa disangka-sangka oleh orang sekeliling memberikan pukulan emosi yang hebat terutamanya kepada Azura sehingga tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Tiada apa yang mampu membuatkan dirinya rasa tenang melainkan dengan mencurah sepenuh kasih dan sayang terhadap anak-anak. Pintu hatinya ditutup serapat-rapatnya, yang ada tersimpan hanyalah kenangan pahit manis antara dia dan Azman, mahu disimpan kekal selama-lamanya.
Dirinya jatuh terduduk longlai tatkala menerima berita tersebut. Ibarat layang-layang terputus talinya, hidup Azura diuji dengan pemergian suami disaat dia mahu kembali ke pangkal jalan. Tangisan dan sendu menemaninya sehingga disuatu ketika, dia merasakan tiada lagi urusannya didunia ini. Jiwanya berantakan mahukan nyawanya dilepas dari jasad. Namun semuanya terhenti apabila dia merasa tendangan kaki Zulaikha di dalam rahim yang juga merasai kesedihan ibunya.
Tanpa sedar, air matanya berjujuran jatuh ke pipi. Begitulah keadaan dirinya tatkala menatap wajah Zulaikha. Dia bersyukur kerana dirinya masih diberi peluang untuk dikasihi dan disayangi anak-anak. Biarlah jasadnya lelah seharian menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak, asalkan hatinya tenang melihat wajah suci anak-anaknya ketika mereka nyenyak tidur di malam hari.
"Sudah la tu Zura..tak baik nangis-nangis depan baby.." suara lembut Umi mengembalikan kehangatan kasih sayang terhadap dirinya.
"Umi sayang Zura. Zura anak Umi, jantung hati Umi..percayalah sayang, jika Allah tutup satu pintu, pasti Dia akan membuka satu lagi pintu buat kita..kita sebagai hamba, jangan pernah berhenti berdoa..kan Zulaikha?" Umi tersenyum sambil mencubit manja pipi cucunya itu.
Minggu depan Azura akan mula menghantar Zulaikha ke rumah pengasuh, kerana tempoh cuti bersalinnya telah tamat. Dirinya berazam untuk menjadi seorang wanita yang kuat dan menjaga harga diri. Dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang, yang pasti hari-hari mendatang akan ditempuhinya dengan kuat dan tabah.
Hari Isnin menjelang tiba, usai menghantar Zulaikha ke rumah pengasuh Azura bergegas pula menghantar Aniq dan Danial ke Tabika dan sekolah. Mujurlah semua lokasi penting ini terletak berdekatan dengan rumahnya, jadi sempatlah dia bersarapan sebelum tiba di pejabat tepat pada waktunya. Hari ini dia mengenakan baju kurung moden bermotifkan flora, dipadankan dengan hijab berwana lembut.
Sebelum keluar dari kereta, dia mengambil beg tangan kesayangannya dari tempat duduk penumpang. Hadiah gaji pertama awal perkahwinan dari arwah Azman kepadanya, semoga hari ini segalanya berjalan lancar. Dia mahu memberikan yang terbaik pada hari pertamanya.
Tok tok tok! Cermin keretanya diketuk seseorang.
Hampir menjerit Azura kerana terkejut. Perlahan-lahan Azura mengayuh handle menurunkan cermin. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki berdiri sambil memeluk tubuhnya. Dia kemudian membongkok sambil meletakkan tangan pada bumbung kereta Azura.
"Maaf Cik, boleh ubah sikit tak kereta cik.. saya nak parking kereta saya jugak. Macam tak lepas je ni.." pintanya sambil tersenyum.
Azura melihat dicermin sisi keretanya. Ternyata keretanya diparkir sedikit senget namun masih memberi ruang kepada kenderaan lain untuk parkir dengan selamat.
"Mengada..nama je laki, nak parking kereta pun mengalahkan mak cik-mak cik."
Hatinya berbisik sindiran, namun bibirnya mengukir senyuman pahit. Dia menghidupkan enjin semula, memberi signal lalu mengundur.
Bammmm!! Kereta Azura terhenti serentak dengan bunyi hentakan tersebut. Cepat-cepat dia membuka pintu lalu bergegas keluar melihat apa yang berlaku. Hatinya mulai bengang apabila melihat lelaki tadi duduk ditempat pemandu kereta SUV tersebut. Azura berjalan ke arah pintu kereta bahagian pemandu lalu mengetuk cermin.
"Eh, awak ni tak boleh sabar sikit ke? Saya baru nak undur. Awak gerak lah jauh sikit!"Azura menghamburkan amarahnya sambil mencekak pinggang.
"Aik, saya yang salah? Awak tu mengundur ada tengok belakang tak? Saya nak reverse parking sebelah kereta awak, mestilah saya kena lepas dari kereta awak dulu..faham?"
Masing-masing bengang . Azura masuk semula ke dalam kereta lalu menunggu kereta lelaki tadi memberikan ruang secukupnya. Dia kemudian terus beredar mencari petak parkir yang lain.
"Orang bawak kereta mahal-mahal ni memang otak dekat lutut ke?"Azura menghempas pintu keretanya lalu bergerak menuju ke bangunan pejabat.
Seperti biasa di tempat kerja baru, pasti Azura diperkenalkan dengan semua staff pada hari pertama melaporkan diri dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dia merasa begitu bersemangat. Sudah lama dia tidak duduk di meja kerja sambil menyiapkan fail dan tugasan yang diberikan. Kali ini tiada lagi senda gurau berlebihan, fokusnya hanya tertumpu kepada arahan kerja untuk disiapkan.
"Hai Azura, saya Elysa. Nampaknya saya dah ada geng kat sini. " Elysa memperkenalkan diri sebelum mereka berbual di pantri. Dari perbualannya dengan Elysa, ternyata lelaki sombong yang ditemuinya di kawasan parkir tadi merupakan salah seorang staff di sini.
"Dia selalunya kat site, pagi-pagi je dia datang thumb print pastu keluar lah." Ujar Elysa sebelum menghirup Milo panas di dalam gelasnya.
"Owh yeke..."
Azura mencuci gelas, lalu kembali ke mejanya."Hmm..biarlah..buat kerja sendiri lagi baik." Azura terus mula menaip sambil melihat skrin komputernya.
Fikirannya sedikit terganggu, namun dia pasti semuanya akan baik-baik sahaja. Kerana dia pasti akan berkerja lama disini. Pasti dia tidak mahu hubungan antara rakan sekerja yang dingin..