Hatinya terasa sunyi, namun Azura tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk menerima mana-mana lelaki lagi sebagai teman di dalam hidupnya. Sebolehnya, dia cuba menjadi ibu dan ayah buat ketiga-tiga orang anaknya. Jauh di sudut hati, dia tidak pernah walau sesaat melupakan tentang puteri sulungnya. Anak luar nikah yang dilahirkan hasil dari benih Jack.
Terasa jijik dan hina apabila dia mengenangkan betapa buruk perangai dan sikapnya suatu ketika dahulu.
"Benarkah bahagia itu milikku?"
Soal hatinya.
Nafas panjang dihela. Azura menghentikan lamunannya sebelum ia membawa diri kembali ke kisah silamnya sebagai wanita yang tidak bermaruah."Hai orang baru."
Azura terdengar suara lelaki yang agak biasa didengarinya menegur dari belakang ketika dia sedang bersiap-siap untuk balik. Dia kemudian memalingkan badannya ke belakang. Ternyata lelaki yang menyapanya itu adalah lelaki yang memberikan masalah ketika dia berada di parkir kereta pagi tadi. Pada mulanya wajah Azura masam mencuka, namun setelah memikirkan profesionalisme dia tempat kerja, dia melemparkan sebuah senyuman sebagai balasan.
"Hai.."
Azura bangun dari kerusi lalu meminta izin untuk beredar. Dia pantas berlalu pergi dengan harapan agar mereka tidak bertentang mata.
"Come on Zura, you can do it." Bisik hatinya. Dirinya agak berdebar, namun dia cuba mengawalnya. Setibanya dia di kereta, langkahnya terhenti.
"Aduh...beg aku.." Dahinya ditepuk kuat. Marah pada kecuaian diri sendiri. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu berpatah balik ke bangunan pejabat. Tidak mahu dia terserampak lagi dengan lelaki tadi, tetapi banyak benda penting terdapat di dalam beg kesayangannya itu, apatah lagi kunci kereta.Tanpa berlengah, dia pun berjalan menuju ke bangunan pejabat sambil mulutnya tidak henti-henti menyalahkan diri.
"Ahh..lega. Nasib baik dia dah pergi." Azura menghela nafas panjang kelegaan apabila melihat pejabat yang lengang. Dia berjalan menuju ke meja kerja lalu mengambil beg tangannya. Dia kemudiannya beredar semula ke parkir kereta. Dia singgah di rumah pengasuh untuk mengambil Zulaikha sebelum pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan pulang, dia perasan yang enjin keretanya seperti bermasalah kerana enjin kereta Kancilnya agak tersemput-semput tapi mujur enjinnya tidak terhenti.
Setibanya dia di rumah, kedengaran suara anak-anaknya Aniq dan Danial memanggil-manggil Mama dan adik. Dia mengangkat Zulaikha dari kerusi keselamatan lalu mendukungya masuk ke dalam rumah. Hatinya berbunga melihat keceriaan anak-anaknya. Perasaan yang sukar digambarkan namun membawa seribu erti. Anak-anaknya adalah amanah daripada Allah yang harus dipikul olehnya. Dia sering berpesan pada diri agar sentiasa bersabar dan tabah dalam membesarkan mereka. Terkadang dia tidak mampu untuk menahan rasa amarah terhadap kerenah anak-anak sehingga dia menangis seorang diri.
Pada hari-hari terakhir sebelum Azman meninggal, Azura sentiasa menghabiskan masa bersama Azman di katil wad sambil mengenangkan kisah hidup mereka bersama. Sengaja Azura meminta agar Azman menceritakan apa yang terbuku dihati kerana dia ingin semua cerita tersebut terpahat dihatinya sebagai memori indah mereka.
"Sayang minta maaf abang, sayang banyak berdosa dengan abang." Azura mencium berkali-kali tangan Azman dengan air mata yang berjujuran jatuh. Azman mengusap kepala Azura. Disebalik keadaan dirinya yang tidak berdaya lagi, wajahnya yang pucat, dan bibirnya yang kekeringan mengukir senyuman yang paling manis.
"Abang ampunkan segala dosa-dosa sayang." Suaranya tersekat-sekat.
Dia menarik nafas dalam kemudian terbatuk.
"Abang tahu sayang kuat dan sayang boleh besarkan anak-anak kita."
"Sayang kuat sama macam masa yang lahirkan anak-anak kita dulu. Cuma kali ni abang mintak maaf, abang mungkin tak boleh temankan sayang bersalin nanti.." Air mata Azman terkumpul dikelopak mata. Tangannya terketar-ketar.
Azura tidak mampu lagi menuturkan kata, hanya esakan tangisannya sahaja yang kedengaran. Tangisannya yang tidak berlagu.
"Abanggggg!!"
Azura terjaga dari tidurnya. Dia beristighfar sambil mengusap dada. Air matanya mulai bergenang. Dia mengambil botol air masak dan meminumnya. Jam di dinding menunjukkan pukul 5 pagi. Dia bangun dari katilnya lalu melihat Zulaikha yang nyenyak tidur di dalam buaian. Aniq dan Danial Pula tidur bergelimpangan di atas tilam. Azura menanggalkan baju tidurnya lalu mencapai tuala. Dia membersihkan diri kemudiannya menunaikan solat Subuh. Usai bersarapan ringkas, dia menyiapkan Aniq dan Zulaikha manakala Umi menyiapkan Danial. Jam 6.45 pagi, mereka bergerak meninggalkan rumah sebelum Azura menghantar anak-anaknya ke rumah pengasuh, Tadika dan sekolah rendah.
Pagi ini Azura dan staf yang lain mengadakan mesyuarat bulanan bersama Ketua Pengarah. Pihak jabatan bersetuju untuk mengadakan sesi apresiasi kepada staf yang menunjukkan prestasi terbaik dalam meningkatkan pencapaian jabatan mereka.
"Disini saya umumkan Zaid Rizman sebagai staf paling cemerlang bulan ini. Zura, tolong ambil hadiah tu." Pinta ketua pengarahnya. Azura yang agak terkejut, pantas bangun menuju ke depan sambil menjinjing bungkusan hadiah untuk diberi kepada Zaid Reizman. Matanya tertumpu kepada susuk tubuh lelaki yang menegurnya itu semalam.
"Zaid Rizman...sedap juga namanya.."
Dia cuba mengalihkan pandangannya apabila bertentang mata dengan Zaid namun tidak mampu lari daripada situasi tersebut. Setibanya dia di depan, tanpa disangka ketua pengarahnya memberi isyarat agar dia terus menyerahkan hadiah tersebut kepada Zaid.
"Sebab awak staf baru."
Ketua pengarahnya bersuara dalam nada gurauan.Setibanya dia dihadapan Zaid, barulah kelihatan sebenar-benar rupa lelaki yang mengganggu fikirannya tempoh hari. Zaid tersenyum lebar kerana telah mencapai kejayaan besar untuk mendekati wanita yang baru melaporkan diri di jabatannya itu. Azura hanya mampu membalas dengan senyuman kelat kemudiannya menyerahkan hadiah tersebut kepada Zaid sambil menyampaikan ucapan tahniah.
Semasa kedua-dua mereka masih memegang hadiah tersebut, Zaid sempat mendekatkan wajahnya pada Azura sambil berbisik,
"Kita ni co-worker. Awak boleh lari, tapi awak tak boleh sembunyikan diri daripada saya sampai bila-bila, Azura."