Bab Sembilan

2K 127 1
                                    

"Marlisa?"

Hari ini entah berapa kali nama wanita itu disebut. Aku anggukkan kepala, Abang Azad pula bertongkat dagu. Jambang yang menutupi rahang muka lelaki itu disentuh.

"Rasanya abang pernah dengar nama itu tapi abang tak ingatlah muka dia. Kenapa Lia tanya?"

Nadia yang datang dari dalam dapur menghidangkan air untuk aku dan suaminya. Kemudian dia juga ikut duduk di meja makan, mendengar apa yang dibualkan oleh kami berdua.

Semasa aku telefon tadi, Abang Azad ada di rumah. Katanya dia ambil cuti, nak luangkan masa dengan anak-anak dia.

Abang Azad inikan ada syarikat dia sendiri. Anak syarikat dari Isla Group juga, cuma dia tak berminat nak pegang jawatan besar di syarikat induk.

Izani pula, dia lagi suka bekerja secara terus di syarikat induk daripada menjaga anak syarikat Isla Group. Biar orang dengar cakap dia, bukan dia yang dengar cakap orang. Itulah stail dia bila dia bekerja.

"Kenapa dengan Marlisa itu?"

Nadia pula bertanya. Semua orang bermula dari Sabrina sampailah ke Nadia, mesti mereka akan tanya kenapa.

Salah ke aku nak tahu siapa Marlisa? Apa yang hebat sangat perempuan ini?

"Tak ada apa. Saja nak kenal dengan dia." Aku berbohong.

Hati ini tiba-tiba rasa sakit. Mengenangkan semula apa yang pekerja Izani katakan siang tadi, lagi buat hati terasa disiat-siat.

"Lia, kalau kau ada masalah dengan Izani, better kau bincang dengan dia. Tak baik masam-masam muka."

Aku tahu Nadia sekadar menasihatkan aku kerana dia dah sedia maklum dengan perangai aku yang tak reti beralah dengan orang lain. Nak pula ada suami macam Izani yang juga tak suka beralah.

Haa, sama-sama berlaga la jawabnya.

Takkan aku pun akan dapat nasib yang sama macam perempuan lain? Suami curang ketika isteri sedang sarat mengandung.

Nauzubillahiminizalik!

Minta-mintalah keluarga kecil aku ini tak terkena masalah sebegitu. Aku percayakan Izani, aku yakin dia tak akan buat benda bukan-bukan di belakang aku.

"Betul Abang Azad tak tahu siapa Marlisa?"

Abang Azad anggukkan kepala.

Hesy, nak atau tak, aku kena bertanya kepada Izani. Tak salah pun untuk aku tanyakan tentang Marlisa kepada suami aku sendiri, aku punya hak.

"Kalau macam itu, tak apalah. Lia nak balik dulu. Nanti Izani cari Lia pula."

"Kau tak bagitahu dia ke, kau datang sini?"

Aku gelengkan kepala. Malas nak bagitahu, malas nak ambil tahu pasal Izani. Emosi aku sedikit sebanyak terganggu dengan apa yang dah jadi hari ini.

Baby, Ibu minta maaf okay? Balik ini kita makan buah lagi, ya?

Perut diusap lembut sebelum keluhan berat dilepaskan.

*************

Tepat pukul satu pagi.

Ketika ini barulah aku terdengar bunyi deruman enjin kereta Izani masuk ke dalam halaman rumah. Sementara menunggu dia masuk, aku duduk bersandar di sofa dengan muka ketat.

"Lewat awak balik hari ini." Aku tegur sebaik saja dia meletakkan kunci keretanya di atas rak di tepi pintu.

Izani terkejut. Dia berdiri lama di depan pintu sebelum berjalan ke arah sofa dimana aku duduk. Hidung yang sensitif dengan bau badannya aku tutup.

Tunang untuk Dua Bulan | RAYA [c]Where stories live. Discover now