04 PEDIH

350 69 2
                                    

Sudah dua bulan dia bergelar pelajar tingkatan empat. Maka, sudah dua bulan juga dia langsung tidak bertegur sapa dengan Ahlam. Bukan dia yang tak cuba faham tapi Ahlam yang banyak pendam.

Kehidupan hariannya berubah.

Sewaktu tingkatan dua dahulu Ahlam ajak dia kaji kehidupan katak. Sewaktu tingkatan tiga pula Ahlam ajak dia kaji kitaran hidup nyamuk aedes. Hasil kesungguhan mereka berdua, sejenis produk telah mereka hasilkan dan diedarkan kepada tukang kebun maktab untuk membanteras jentik-jentik.

Malika mengeluh perlahan. Buku latihan Matematik Tambahan ditutup kembali. Jiwa dia sarat dengan emosi pahit dan menyiat hati. Apa sudah jadi dengan Ahlam? Ahlam sangatlah bukan Ahlam.

Sudah tiada Ahlam yang tepat pada masa. Sudah tiada Ahlam bersama sebatang pen di poket belah kiri atas kemeja. Sudah tiada Ahlam yang rajin mencoret kata. Senang cerita Ahlam Hulawi yang dahulu sudah mati dikubur masa.

Malika termenung sendiri. Kali terakhir mereka berbual adalah pada hari penyerahan sijil keputusan PT3. Setelah itu, dia dan Ahlam tidak lagi berbalas kata. Beratus-ratus mesej Malika hantar menggunakan telefon nokia namun tetap tiada balasan sepanjang cuti sekolah tahun lepas.

Malika cuba positif. Telefon nokia Ahlam mungkin hilang. Malika cuba kirimkan e-mel dan alangkah marahnya Malika kepada Ahlam kerana Ahlam abaikan semua e-mel dia. Dia tidak faham Ahlam. Kalau dia ada buat salah, kenapa Ahlam tidak terus terang sahaja?

Bukankah itu memang sifat Ahlam? Menegur Malika jika dia salah meskipun teguran itu menyakitkan hati kerana umum pun mengetahui bahawa mereka saling melengkapi.

Malika meraup mukanya berkali-kali. Serabut. Sudah bulan dua dan Ahlam masih tidak beritahu rancangan projek mega persahabatan mereka tahun ini. Biasanya, semua itu Ahlam yang uruskan. Projek mega mereka telah disertai beberapa orang yang lain dek kerana teguran pertama Ahlam kepada Malika semasa tingkatan dua.

+++

Dia berjalan selamba. Lengan kemeja dilipat sehingga ke bawah siku bagi menampakkan jam mewah berwarna hitam yang elok tersarung di pergelangan tangan sebelah kanan. Hakikatnya dia memang berjalan selamba sehingga pandangan-pandangan manusia terhadapnya tidak dihiraukan.

Semakin menghampiri selekoh itu, semakin tinggi nawaitu dirinya untuk membelok kiri ; asrama lelaki.

Itu rutinnya sejak bulan lepas. Baru sahaja kaki nak melangkah ke kiri, langkahnya dihalang oleh sepasang tangan yang mendepa. Dia mengeluh berat. Sangat berat.

"Ahlam, kau nak pergi mana ni?"

"Nak balik aspura takkan tak nampak"

Sarkastik sungguh dia jawab. Makin berapi si tukang tanya. Tidak sedarkah Ahlam sekarang ni waktu rehat pagi bukannya waktu untuk pulang lagi.

"Ahlam. Kau kalau ada masalah cakaplah dengan aku". Hampir-hampir sahaja dia menangis di situ. Akhirnya, dia dapat bercakap dengan Ahlam setelah sekian lama. Selama ini Ahlam selalu mengelak tapi hari ini Ahlam termasuk perangkap.

"Aku tak perlukan kau untuk dengar masalah aku"

"Kita kan kawan Ahlam. Kita kan dah tekad nak saling bantu bila kita susah senang, kau lupa ke Ahlam?"

Malika cuba bertanya lembut. Api tidak boleh dilawan api nanti parah merana diri. Ahlam senyap. Tidak terlihat seperti berminat pun untuk menjawab. Dia cuba mengambil kesempatan untuk meloloskan diri kerana Malika sudah tidak mendepakan tangan.

Namun, cubaan itu tidak berjaya. Hampir-hampir sahaja Malika hendak terpeluk Ahlam apabila ingin menghalang Ahlam yang ingin melarikan diri tiba-tiba. Merah padam muka Ahlam.

"Kau pahal perempuan, kau tak payah sibuk hidup aku tak boleh ke bangang! Dah macam takde maruah".

Terhinjut bahu Malika. Air mata mula bertakung di tubir mata. Itu bukan Ahlam. Ahlam tidak pernah pun tinggi suara dan berkasar dengan Malika walaupun mereka berselisih faham. Malika menatap mata Ahlam dalam-dalam cuba menyalurkan rasa melalui pandangan yang kelam.

Ahlam tidak peduli. Dia terus merempuh jalan sehingga Malika ketepi sendiri. Tinggallah Malika seorang di lorong itu. Pedih. Setiap memori lama mula berlayar dalam ingatan membuatkan hatinya pedih tanpa sekatan.

+++

"Ahnaf, tolong umi nanti ya hantarkan kek coklat dekat jiran depan rumah ni".

"Okey Umi!". Sahut budak lelaki berumur 8 tahun itu. Hanya Ahnaf yang ada di rumah bersama umi. Arfa Humairah telah selamat bersama abangnya di MRSM pengkalan Chepa. Berkat kesungguhan Arfa belajar, dia mendapat keputusan UPSR yang cemerlang sama seperti abangnya.

Sekarang, umi perlu bekerja untuk menyara anak-anaknya. Ayah sudah tidak bertanyakan khabar mereka sejak mereka tinggalkan rumah ayah tahun lepas. Urusan pendaftaran Arfa ke MRSM pun semua umi yang uruskan.

Umi bekerja di syarikat datuk dan nenek. Alhamdulillah adik-beradik umi pun selalu menghulurkan bantuan sejak mengetahui musibah yang menimpa keluarga kecil umi. Timbul juga rasa marah mereka terhadap opah mama tapi macam biasalah umi akan minta mereka maafkan opah mama.

Malam di mana mereka dihalau dari rumah ayah, mereka tiada hala tuju. Mujur umi ada kereta sendiri jadi mereka tidak perlu merempat tepi jalan untuk menagih simpati teksi di malam hari. Disebabkan ketandusan idea, mereka anak beranak bermalam di sebuah taman permainan. Beralaskan permaidani rumput yang hijau dan beratapkan ribuan bintang.

Umi tidak tidur langsung sepanjang malam. Wanita itu sibuk mencari kerja kosong di telefonnya. Setelah habis cara mencari, barulah umi memaklumkan kepada datuk dan nenek. Akhirnya, umi ditawarkan kerja di syarikat datuk dan nenek.

Duit gaji umi sangat terhad. Sewa rumah sahaja sudah RM600. Tidak termasuk bil air dan bil elektrik. Buku-buku sekolah anak-anak pun terpaksa beli lewat sedikit daripada orang lain.

Bermula dari situlah, Ahlam mula simpan dendam. Dia kecewa dengan sifat ayah. Mereka adik-beradik masih lagi bawah tanggungan ayah namun ayah langsung tidak mengirimkan nafkah. Ditinggalkan umi, wanita yang lemah itu untuk jadi tabah.

Kadang-kadang Ahlam rasa ayah sudah mati. Oleh itu, Ahlam mula memberontak. Dia sengaja jadi nakal dan tidak terurus di sekolah. Hakikatnya, dia mahu ayah dipanggil oleh guru disiplin. Dia mahu ayah tahu yang ayah masih lagi ada tanggungjawab untuk mendidik anak-anaknya yang masih mentah dengan kebenaran dunia.

Dahulu Ahlam sering tergolong dalam golongan intelingesia. Hanya disebabkan tragedi berdarah yang lalu, dia mula beralih arah. Jangan mimpi untuk lihat Ahlam yang dulu kerana Ahlam itu sudah tidak wujud oleh kerana dimamah luka berdarah di bahagian hati.

Umi tidak tahu pun apa yang terjadi dengan anak umi yang seorang ini. Sudah dua bulan dia tidak pulang dek kerana kesempitan wang yang tidak mampu dibincangkan lagi. Maka, terkandaslah dia dan seorang Arfa di blok asrama sedangkan orang lain pulang bermalam dan bercuti.

Arfa pun tidak pernah mengadu pada umi mengenai perangai Ahlam di sekolah. Rata-rata pelajar maktab ini pun masih tidak mengetahui bahawa Arfa ialah adik kepada Ahlam. Hidup Arfa masih aman. Tidak pernah lagi diserang mahupun diasak dengan soalan berkenaan Ahlam Hulawi yang akhirnya akan buat hidupnya gasak.

---
Upcoming chapter :
"Aku taknak dah dia. Kau nak ke? Ambillah aku tak marah".

ONCE UPON A SCAR [C]Where stories live. Discover now