Bab 4

144 22 5
                                    

JANTUNG Nazir berlari laju. Basikal sudah dilepas jatuh ke tanah. Melihat darah yang keluar tidak henti-henti dari kepala Tuan Khidr buat dia kejang. Tidak tahu mahu buat apa. Hanya mampu memanggil nama lelaki itu.

Pandangan Tuan Khidr kabur. Tiada kekuatan mahu menjawab. Kepalanya sakit yang teramat. Suara Nazir berterusan memanggil namanya itu seakan menghentam kuat kepala yang sudah kepeningan.

"Tepi!" Tubuh Nazir dirempuh kuat sehingga tertolak ke tepi.

Mata Nazir terkebil-kebil. Seorang gadis berbaju kurung duduk di sisi Tuan Khidr. Dia memeriksa kecederaan pada tangan dan kaki terlebih dahulu. Setelah pasti yang lelaki itu tidak patah dimana-mana, tangan menarik perlahan memaksa tubuh itu bangun dari berbaring.

Mata si gadis menjeling Nazir tajam.

Nazir terkedu. Tuan Khidr dipapah dibelakang dan terus berlari masuk ke dalam sekolah terdekat. Sekolah menengah sebelah sekolah mereka!

Nazir yang baru tersedar, cepat-cepat berlari mengekori gadis bertudung tadi. Beg Tuan Khidr dibawa sekali.

"Awak ni bodoh ke? Awak boleh biar kawan awak terbaring macam tu aje dekat atas jalan raya!"

Nazir mendiamkan diri. Beg Tuan Khidr dipeluk rapat ke dada. Sesekali matanya naik memandang susuk lelaki tua yang sedang merawat kawan baiknya itu. Nasib tidak teruk mana kecederaan yang dialami oleh Khidr.

Gadis di depan ini pula tidak berhenti membebel. Sakit telinga. Dia bukan sengaja. Dia terkejut sangat tadi. Dan orang sekeliling pula langsung tidak membantu. Semua orang pun terkejut juga melihat kejadian yang terlalu tiba-tiba itu.

"Nasib dia tak apa-apa. Kalau tadi dia patah dimana-mana, awak tunggu aje lah ambulans sampai. Entah dah nazak lah kawan awak tadi kalau ada kawan macam awak ni!"

Nazir masih menunduk. Tidak berani mahu menjawab. Dan dia mahu simpan tenaga untuk berdepan dengan Syed Tamim pula sekejap lagi.

"Sudah tu, Airis. Awak ni asyik marah saja." ujar lelaki berkemeja putih yang baru selesai merawat Tuan Khidr.

Dalam hati, dia bersyukur. Nasib ada orang yang boleh menghentikan bebelan gadis ini. Muka saja lawa, mulut macam angsa. Bising!

Gadis bernama Airis itu membantu guru kesihatan yang sudah agak berumur itu untuk membersihkan luka di kepala Tuan Khidr. Sempat lagi dia mengingatkan Nazir untuk bawa Tuan Khidr ke hospital selepas ini. Nazir terangguk-angguk saja.

"Zir...." panggil Tuan Khidr. Matanya cuba dibuka.

Nazir yang dari tadi di sisi terus bangun merapati lelaki yang sedang terbaring di atas katil. Mahu membantu Khidr bangun dari berbaring. Namun, tangan si gadis cepat-cepat menghalang.

"Jangan nak pandai-pandai buka mata tu. Jangan paksa diri nak bangun!" arah Airis dengan nada tegas. Mencerlung matanya memandang mereka berdua.

Terus terkunci mulut Nazir dan Khidr. Tidak berani mahu melawan. Hanya setelah gadis Airis keluar dari bilik baru Nazir berani membuka mulut. Dia tahu Khidr sedar.

"Kau okay ke? Aku dah call ayah kau." ujarnya dalam nada berbisik.

Tuan Khidr mengangguk. Walaupun kepalanya masih pening dan sakit tapi dia masih sedar lagi. Cuma, penglihatannya agak kabur.

"Makcik mana membebel tak sudah dari tadi tu... Kecut perut aku." ujarnya. Tangan naik meraba perut sendiri dan seterusnya kepala.

Nazir mencebik.

"Makcik apanya. Anak dara. Garang. Aku pun takut jugak tadi. Tapi, nasib ada dia. Dia yang dukung kau ke sini." Nazir memuji keberanian Airis di dalam hati.

KHIDR-RELLAWhere stories live. Discover now