GRIP pendikit dipulas. Sesekali mulutnya membebel sendirian. Habis semua lembu dan kambing yang mengganggu di jalan dimaki hamun dalam hati.'Nasib lembu orang, kalau lembu aku ... aku rendangkan semua sekali lepastu sedeqah dekat orang kampung. Hish!'
Enjin motor dimatikan di depan rumah Tok Imam. Kain baju kurung diangkat tinggi turun dari motor. Nasib pakai seluar. Kalau tak, memang jangan harap dia nak menapak naik ke rumah Tok Imam. Pasti dia jerit aje dari luar tunggu abang Ansar keluar menyambut lauk-pauk yang ibu Aina bungkus untuk mereka ini.
Tak pasal-pasal dia pula yang jadi rider makanan. Padahal kedai makan ibu tak ada buat servis penghantaran pun.
Usai memberi salam, tanpa segan silu dia menapak mendaki tangga kayu rumah Tok Imam. Macam tak biasa. Tok Imam dah anggap dia macam kawan baik dah.
"Waalaikumussalam. Ha, sampai dah. Makcik ada dekat dapur. Aina hantar lauk ke dapur sana," sapa Tok Imam yang baru keluar dari dalam bilik. Serban di atas kepala sudah dililit.
"Baik, Bos! Selamat menunaikan ibadah, Bos!" Tangan diangkat naik separa dahi. Jari diluruskan.
Tok Imam balas dengan berdiri tegak lalu mengangguk kecil. Lebar senyuman melihat gelagat Aina yang tidak banyak berubah dari kecil. Anak nakal mengalahkan jantan ini masih seperti dulu. Cuma, imejnya saja sudah keperempuanan.
Dia masih ingat, Aina ketika remaja dahulu suka benar berambut pendek. Baju pula dia pakai baju lama Ansar yang besar tiga kali ganda dari saiz tubuhnya sendiri. Anak-anak kecil di kampung ini memang suka mengekor Aina ke sana ke mari.
Tergeleng-geleng kepala Tok Imam menggamit memori lalu.
Aina memeluk Makcik Esah dari belakang. Terlompat senduk nasi di tangan.
"Aina... Kalau terpelanting periuk nasi ni, siapa nak ganti?" Mencerlung mata Makcik Esah. Tangan mencekak pinggang. Geram pada masa yang sama lucu melayan perangai Aina.
Aina mengekek. Dagu dijatuhkan ke atas bahu Makcik Esah. Dia paling suka Makcik Esah. Paling sayang pada Makcik Esah.
Makcik Esah merupakan ibu yang menjaganya ketika kecil. Ketika Ibu dan Abah sibuk mengerjakan ladang getah, rumah ini lah menjadi tempat dia menumpang di siang hari.
Bunyi pintu air dibuka dari dalam.
"Abang Ansar tak pergi kerja lagi?" soalnya lebih kepada menggumam sendirian.
Makcik Esah memaling wajah. Keningnya terangkat.
"Oh... Tak. Ansar dah ke tempat kerja dah. Itu"
"Abang Ki!" jerit Aina sebaik sahaja pintu bilik air menganga luas.
Lelaki yang baru keluar dari bilik air itu hanya ber-Tshirt kosong dengan tuala putih membaluti pinggangnya juga beriak terkejut. Sekejap sahaja, kemudian riak berubah mesra semula. Senyuman menghiasi wajah.
"Hai, Na." sapa Tuan Khidr. Tuala sederhana besar di tangan yang digunakan untuk mengeringkan rambut, disangkut ke leher.
Aina terkebil-kebil. Senyuman Khidr menghantar getar rasa yang dia sendiri kurang pasti.
"Mari sarapan, Ki. Aina dah bawa lauk ni."
Tuan Khidr mengangguk. Aina masih tercegat di tempat yang sama.
Bahu Aina ditepuk perlahan. Makcik Esah menolak Aina perlahan sehingga kakinya terdorong sendiri ke arah meja makan.
"Na tak nak makan sekali?" ajak Tuan Khidr. Siap-siap mahu menjamah. Dicapai satu lagi pinggan buat Aina.
YOU ARE READING
KHIDR-RELLA
RomanceHidup seorang Tuan Khidr umpama cerita cinderella. Dia punya keluarga tiri. Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan dia berada sepenuhnya dibawah jagaan ayah tiri dan juga adik beradik tiri. Tuan Khidr. Hanya dia sahaja yang tinggal untuk mewarisi...