Tuan Khidr menggeliat sepuas hati. Belakang tubuh diketuk-ketuk. Tilam nipis yang menjadi dia beradu ini benar-benar tidak selesa. Sudah beberapa minggu dia duduk di rumah Ansar, fikirnya batang tubuhnya akan terbiasa dengan keadaan yang serba berbeza dari kehidupan sebenarnya.
Krak!
Lega. Bunyi yang buat dia kembali bersemangat setiap pagi. Dulu, memang jarang sekali batang tubuhnya mahu berbunyi begitu. Tilamnya empuk, selesa, mudah lena gitu.
Tuan Khidr menyelak kain nipis yang menjadi penghalang kepada nyamuk. Entah apa nama kejadah ini, dia pun lupa.
Setiap malam, Ansar lah orang bertanggungjawab yang tolong ikatkan kain nipis ini serata kamar tidurnya. Kalau harapkan dia buat sendiri, sampai pagi pun belum tentu dia dapat lena.
"Selamat pagi, Makcik," sapa Tuan Khidr sebaik menjejak kaki ke dapur. Ruang pertama yang menjadi tempat dia menghabiskan masa setiap pagi.
Makcik Esah lincah membuat kerja di dapur. Tuan Khidr bantu menghidang makanan di atas dapur dibawa ke meja. Tidak sopan pula dia menumpang di rumah orang tanpa berbuat apa-apa.
"Tak payah, Ki. Ki duduk saja makan. Nanti Makcik hantar ke meja." Tangan Makcik Esah menolak tangan Tuan Khidr.
"Takpe. Takpe. Ki boleh buat." Tuan Khidr berkeras mahu membantu. Diangkat dulang air yang sudah diisi seteko air kopi dengan 4 cawan bertangkai yang ditelungkupkan.
Tangan Makcik Esah berhenti. Matanya tidak lepas memerhati Khidr. Risau dia melihat langkah lelaki itu mendaki anak tangga kayu ke meja makan yang terletak di ruang tamu.
Bibir tersenyum dengan kepala menggeleng. Khidr ini nampak saja tegap, maskulin ... tapi, segala kelakuannya agak kekok. Cuai. Mudah leka.
Sepanjang menetap di rumahnya, entah sudah berapa kali anak teruna itu luka dan cedera ringan. Sudah berapa banyak pinggan mangkuk kaca di rumahnya yang retak dek kerana kecuaian Khidr.
Kepala tergeleng lagi. Hal duit dan ganti rugi bukan masalah. Dia suka Khidr di sini. Sekurangnya rumah tidak sunyi. Setiap hari suami dan anaknya keluar mencari rezeki dan hanya dia berseorangan dan kesunyian di rumah.
Sejak ada Khidr, dia punya tugas baru. Setiap petang, menanti Khidr pulang. Ada juga teman dia berbual ketika makan tengahari dan juga minum petang. Tidak perlu pagi bertelingkah dengan si suami hanya kerana mahu menyuruh lelaki tua itu membeli barang. Khidr lah yang menapak ke kedai jika dia perlu apa-apa.
"Ha, hari ini kita sarapan apa?" sapa Tok Imam yang baru keluar dari bilik. Sebentar lagi mahu ke masjid.
"Nasi lemak aje. Ki, pergi mandi dulu. Nanti nak ikut Tok ke masjid." Belakang tubuh Khidr ditampar.
Ansar masih belum celik mata. Seorang lagi anak teruna yang perlu dikejutkan.
Tuan Khidr menurut. Kain tuala yang bersangkut di ampaian dalam bilik di capai dan bergerak ke bilik air.
"Sar tak bangun lagi?" soal Tok Imam. Dia menyudu kuah sambal masuk ke dalam pinggan yang sudah diisi nasi lemak oleh si isteri.
"Macam biasalah Ansar tu. Mana boleh nak bangun sendiri. Kena dikejutkan." Makcik Esah menapak ke bilik anak sulungnya. Anak paling bongsu masih duduk di asrama. Lagi dua tahun baru anak itu tamat persekolahan.
Tok Imam membebel sendiri. Ansar memang anak yang baik tetapi habitnya yang sukar bangun pagi itu agak membimbangkan. Bagaimana kalau dibiar anak teruna itu lepas hidup sendiri di bandar? Terbengkalai lah rutin solatnya.
Khidr jauh lebih baik. Sekali cakap saja, lelaki itu patuh. Kalau dikata bangun seawal jam 6, sebelum jam 6 pagi lelaki itu sudah celik.
Tok Imam tersenyum nipis. Dia pasti didikan yang Tuan Khidr dapat adalah didikan yang baik. Bukan mudah mahu terdidik menjadi seorang yang menepati waktu.
YOU ARE READING
KHIDR-RELLA
RomanceHidup seorang Tuan Khidr umpama cerita cinderella. Dia punya keluarga tiri. Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan dia berada sepenuhnya dibawah jagaan ayah tiri dan juga adik beradik tiri. Tuan Khidr. Hanya dia sahaja yang tinggal untuk mewarisi...