Bab 9

135 26 5
                                    

TERJENGUL kepala Tuan Khidr melihat Airis yang ralit menikmati kedamaian angin malam di bawah pondok bacaan yang terletak di tepi tapak berhimpun. Ditangannya ada sebuah buku. Bibir Tuan Khidr menggaris senyum.

Peluang keemasan. Bila lagi dia akan berpeluang berborak berduaan dengan Airis? Gadis yang terus-menerus menganggu ketenangan jiwanya ini.

Tuan Khidr melangkah menuruni tangga asrama putera. Sesekali dia melihat ke kiri dan kanan. Mana tahu ada yang akan menganggu mereka, haruslah dia elak dari awal.

Setiba di pondok bacaan, Tuan Khidr berdehem perlahan. Mengharap sedikit perhatian dari Airis.

"Airis tak tidur lagi?"

Airis bertegun sesaat. Cuba merungkai niat teruna yang datang menyapa tiba-tiba. Tidak elok dilihat orang jika mereka berdua di sini. Belum sempat dia meminta diri mahupun meminta Khidr untuk pergi ... Khidr sudah terlebih dulu naik dan duduk bersila di sebelahnya.

Airis mengeluh di dalam hati. Menerawang fikirannya cuba mengenali hati budi Khidr. Dia tidak kenal lelaki ini, apalagi ngerti apa yang dibenaknya.

Khidr memang lain. Tidak seperti rata-rata lelaki yang pernah dia kenali. Lagak dan gaya Khidr yang tidak mampu diduga itu sedikit sebanyak membuat Airis jadi lebih berhati-hati.

"Belum. Saja ambil angin. Kampung ni cantik," balas Airis. Dibiarkan Khidr seorang memandangnya tanpa dia membalas pandangan si lelaki.

"Ki pun rasa begitu. Ki tak pernah rasa begini tenang. Seumur hidup Ki, Ki...," kata-katanya mati. Dia tersilap bicara. Hampir saja terbuka pekung di dada.

Airis mengalih pandang. Menanti Khidr menghabiskan kata-katanya.

"Seumur hidup Ki, Ki tak pernah masuk kampung?" Airis cuba memahami sendiri ayat yang tadinya tergantung.

Tuan Khidr mengiyakan. Barisan gigi yang tersusun rapi ditayang.

Airis senyum juga. Bila Khidr senyum, jelas lagi raut keanakannya. Mungkin Khidr agak nakal sedikit tetapi setakat ini dia lelaki yang baik. Sekurangnya itu lah pandangan Airis pada Khidr sejak pertemuan pertama kali.

Tiada yang buruk mengenai lelaki ini malah abang Ansar yang sukar membiasakan diri dengan orang baru pun dengan mudahnya berbual mesra dengan Khidr.

"Esok dah nak balik ke Kuala Lumpur semula, Ki pasti rindu dengan semua orang," ujarnya dengan riak sayu.

Bukan mudah untuk dia lepas keluar menikmati dunia begini. Dia pasti kepulangannya nanti akan disambut dengan bebelan dan juga pelbagai lagi aturan lain oleh Ayah. Dia tak akan berpeluang lagi.

"Kalau Ki rindu, Ki boleh aje datang bila-bila ke kampung Airis dengan Aina. Kami semua sekampung, kecuali students tu semua lah."

"Ya tak ya, Ki baru teringat nak tanya... Pertubuhan amal ni memang jemput pelajar universiti, ya? Ki ingat Ansar dan lain-lain memang kakitangan atau persatuan dalam universiti."

Airis meletakkan buku di tangan ke sisi. Matanya menatap wajah Khidr.

"Ya. Kami jemput mereka kalau mereka mahu turut serta. Sebenarnya itu semua junior Airis di universiti. Memandangkan abang Ansar mahu cari sukarelawan, Airis ajak junior-junior Airis untuk sertai sekali. Ki kawan pada abang Ansar ke? Tak pernah nampak Ki sebelum ni."

Tuan Khidr teragak-agak mahu menjawab. Perlu kah dia jawab dia kawan kepada kawan Ansar? Err... Nazir? Aduh, kenapa lah dia tidak tanya mana pada Nazir sebelum berangkat dulu. Dia pun tak tahu mana satu kenalan Nazir yang beri dia masuk dalam rombongan ini.

KHIDR-RELLAWhere stories live. Discover now