"ABAH!"
Larian dilajukan lalu melompat melepasi pagar kecil beranda rumah keluarga mereka. Merecup harapan sebaik sahaja mata tertangkap susuk si ayah yang baru keluar dari kereta.
Tangan terus merangkum tubuh si ayah dan menyembunyikan diri di belakang tubuh yang 2 kali ganda lebih besar darinya itu. Baju kemeja si ayah ditarik. Muncung menuding ke arah pintu rumah.
Umi keluar dengan rotan ditangan. Adam telan air liur. Habislah!
"Abang ke tepi. Adam ni degil. Za dah kata jangan main dekat bendar lama tu! Bahaya! Tapi Adam pergi juga situ!"
Mata memandang wajah si ayah meminta simpati.
"Kenapa Adam pergi sana? Kan Abah kata jangan main dekat situ. Keras."
"Adam memancing je, Abah. Lagipun, tadi ada kak Aina."
"Menjawab! Kalau apa-apa jadi, kena culik jin ke apa ... mana Umi nak cari?" Pinggang dicekak. Geram sungguh dia dengan anak sulungnya ini. Sudah dinasihat berkali-kali, langsung tidak masuk dalam kepala.
Adam buat tidak tahu. Telinga sudah kebas dengar Uminya membebel setiap hari. Mata dijuling ke atas. Makin membulat mata Umi melihat reaksi tanpa sedar Adam itu.
"Aduh! Sayang ... Sayang pukul abang buat apa...."
"Yang abang lindung Adam tu kenapa? Ke tepi." Tubuh suaminya cuba ditolak.
Ben Azir tahan lengan si isteri. Mata memberi isyarat kepada Adam untuk lari masuk ke dalam rumah.
"Za, nanti abang cakap dengan Adam ... okay?" Bahu si isteri diusap lembut.
"Abang tu tahu janji aje. Bukan abang yang ajar Adam, Adam pula yang pengaruh abang. Bahaya lah main dekat situ. Tanah tu kan ada penjaga. Buatnya Adam tersilap kata atau langkah, tak ke susah nanti?"
Terangguk-angguk kepala Ben Azir. Iyakan sahajalah. Kalau balas nanti, melayang pula rotan di tangan isteri tercinta ke tubuh sendiri pula nanti. Hari-hari begini, berbirat juga badan dia hanya kerana mahu selamatkan Adam sahaja.
"Insya-Allah, tak ada apa-apa. Jom masuk! Abang lapar ni... Sayang masak apa hari ni?"
Wajah si isteri masih mencuka. Ben Azir garu kepala. Tidak cukup hal kerja, di rumah dia terpaksa mengurus rajuk isteri pula. Kalau rajuk sahaja, tak apa. Ini sekali pakej tak masak sarapan untuk dia esok pagi. Kebulur lah dia pagi esok kalau isterinya masih merajuk!
'Penyakit keturunan, Ben. Ben sabar sajalah.'
Kata-kata bapa mentuanya ketika baru berkahwin dulu terngiang-ngiang dalam kepala. Ben Azir tersenyum nipis. Mana tak tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Mana lagi perangai Umi nak tumpah kalau tidak ke anak perempuan tunggalnya ini.
"Abang mengata Za dalam hati, ya?"
Mencerlung mata Ben Azir. Laju dia menggeleng.
"Uish, tak baik tuduh abang tau. Abang ni dari tadi dok berzikir je dalam hati."
•••
SEKALI lagi jari menyentuh skrin. Nama Ki ditekan berulang kali. Hampa. Memang nombor tersebut sudah dimatikan. Nazir mengetap gigi.
Ki... Dia dah agak!
Salah dia sendiri kerana terjatuh dalam pujuk dan rayu. Mana lah dia tidak lembut hati kalau sudah Tuan Khidr tayang muka seposen. Mana pula dia mahu cari Ki sekarang ini. Lagi bertambah runsing fikirannya memikirkan Syed Tamim.
"Kenapa?" Maya, isterinya datang dengan dulang minuman di tangan. Hati Nazir sejuk kembali sebaik melihat ke wajah isteri tercinta. Fikiran memanggil kembali ingatan tentang Tuan Khidr.
'Aku pun mahu Maya aku, Zir.'
Parah! Setiap kali dia mahu berkeras dengan Tuan Khidr, pasti gagal. Air yang baru dituang oleh Maya, dibawa naik ke bibir. Baru mahu hirup, tangan Nazir berhenti separuh jalan. Sebelah lagi tangan menepuk dahi.
"Abang ni kenapa? Serba tak kena aje Maya tengok. Dari tadi Maya perhati abang," rungut Maya sedikit bimbang.
Nazir menggeleng. Hirupan diteruskan. "Ki hilang."
Maya terjerit. Dari duduk, sudah berdiri. Nazir masih tenang. Memang sudah dia duga Maya akan beri reaksi begitu. Namun, tiada apa dia boleh lakukan. Tuan Khidr juga manusia biasa. Yang mahu mencari hidupnya sendiri.
"Jadi, abang buat apa dekat rumah ni? Pergi lah cari Ki."
"Jangan risau lah. Ki tak apa-apa. Abang yakin."
Maya menyilang tangan. Sebelah kaki menghentak-hentak perlahan. Dia terhidu sesuatu.
"Abang dengan Ki jangan buat gila. You tahu kan ... kalau apa-apa jadi pada Ki, satu keluarga ni yang akan menanggungnya."
Nazir terdiam. Tiada kata yang mampu diucap untuk menenangkan hati Maya yang sedang berang. Maya tak akan cuba faham pun apa dia mahu cakap. Apa lagi nak faham perasaan Ki.
"Jangan sebab you kesian ... keluarga kita you pertaruhkan Zir. I tahu Ki kawan baik you. I tahu Ki banyak tolong kita. Tapi, you kena faham. Ki bukan orang biasa. Ki tak boleh hidup macam kita. You terlalu beri harapan pada Ki. Beri dia bayangan-bayangan kehidupan yang tak sepatutnya untuk dia. Kali ini, you beri Ki lari pula?"
Nazir jeda. Canggung perasaanya. Apa benarkah dia menyuntik bayangan kehidupan yang bukan-bukan pada Tuan Khidr? Dia cuma mahu lelaki itu gembira dengan hidupnya. Kaya tidak bermakna Tuan Khidr tidak boleh mengalami kehidupan yang dia mahukan.
Suara Maya langsung tidak menembus ruang fikiran. Rasa bersalah menggunung dalam hati.
"Ha, iya lah! Iya lah! Nanti I cari Ki. You ni risau tak bertempat lah!" Cawan air dikosongkan dengan sekali hirup. Naik sakit kepalanya mendengar bebelan Maya.
Maya mendengus geram. Ada sahaja akal suaminya dengan Khidr. Pantang dia lepa, macam-macam masalah yang ditimbulkan dua lelaki ini.
"You cari Ki sampai jumpa. Ingat!"
"Yalah! Yalah! Membebel aje tak habis-habis. Nanti I cari lah!"
Anak lelaki mereka yang baru mahu menginjak dua tahun itu didukung dan dibawa naik ke atas. Meninggalkan Maya seorang diri di tingkat bawah. Main dengan anak lebih seronok dari mendengar leteran isteri.
YOU ARE READING
KHIDR-RELLA
RomanceHidup seorang Tuan Khidr umpama cerita cinderella. Dia punya keluarga tiri. Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan dia berada sepenuhnya dibawah jagaan ayah tiri dan juga adik beradik tiri. Tuan Khidr. Hanya dia sahaja yang tinggal untuk mewarisi...