Bab 24

88 12 10
                                    

DULANG air diletak ke atas meja.  Penampilan dibelek sekali ke cermin motor yang diparkir di depan kedai.

Terjengah-jengah memandang ke arah masjid yang jauhnya tidak sampai beberapa meter dari kedai milik mereka. Senyuman memekar tatkala mata menangkap kumpulan jemaah yang baru keluar dari masjid.

Dia tahu sebentar lagi pasti yang ditunggu-tunggu akan keluar juga.

Aina mengemam bibir. Bersinar-sinar mata memandang jejaka yang sedang berbual-bual santai di depan pintu pagar masjid. Sudah berapa tingkat doa dipanjatkan kepada Tuhan moga-moga Tok Imam dan Abang Ansar mahu singgah ke kedai.

Kalau mereka berdua singgah, pasti yang tampan di belakang itu akan mengekor sekali.

"Ha, buat apa depan motor tu? Pergi cuci pinggan dekat belakang sana. Pinggan dah tak ada ni."

Bibir Aina memuncung. Ibu ni pantang tengok dia senang.

Malas-malas Aina berjalan ke belakang kedai. Lengan baju sukan sekolah lama itu disingsing separuh. Air paip dibuka lalu menjatuhkan punggung ke bangku pendek.

Kalau Tam gosok kena gosok bontot kuali sampai putih, Aina pula kena gosok bontot kuali sampai mampus!

"Hai, Na...."

Kepala Aina berpusing 180darjah. Malu bertandang.

"Hai, abang," balasnya perlahan.

Makin bertambah-tambah debaran bila Khidr mencapai satu lagi bangku pendek di tepi dan duduk di sebelahnya.

"Na nak abang tolong?"

Aina menggeleng. Tangan dilajukan mencuci pinggan mangkuk.

Tuan Khidr tergelak. Dia lantas mencapai berus cuci pinggan di dalam besen. Kalau mencuci, memang dia sudah ambil kursus istimewa dari Mak Ansar. Dia dah graduate.

"Jangan pecah pula tau. Nanti Ibu Aina menjerit dekat telinga abang," pesan Aina.

Risau juga kalau ibu menjerit pada lelaki ini. Nanti Abang Ki tak mahu datang kedai lagi.

Setiap kali tangan Khidr bertukar pinggan, Aina akan memandang. Risau. Lelaki ini memang merisaukan orang sekelilingnya. Lihat cara Khidr mencuci pinggan saja dia sudah berpeluh. Bila-bila masa pinggan boleh berderai.

Aina menahan diri dari menghentikan kelakuan Khidr. Lagi-lagi bila Abang Ki nampaknya terlalu tumpu kepada cuciannya. Tangan dilajukan. Sebolehnya dia mahu cepat-cepat selesai. Lagi banyak pinggan yang Khidr capai, lagi resah gelisah jiwanya. Risau! Risau!

"Dah siap! Terima kasih abang, sebab tolong Aina." Pinggan terakhir diletak ke atas rak pinggan.

Tuan Khidr mencuci tangan. Seronok juga mencuci pinggan rupanya. Kalau buat seorang diri di rumah, tak seseronok begini.

"Okay. Abang nak upah!" Telapak di buka.

Aina mengecilkan mata. Dia yang mahu tolong, dia minta upah pula.

"Abang nak upah apa?"

Tuan Khidr tersengih. "Na buatkan abang air. Aina buat air sedap betul!"

Aina mencebik. Kalau mengambil hati orang, serah pada Khir. Dia memang pandai ambil hati orang dengan muka tak bersalahnya.

Mereka berdua masuk ke dapur kedai. Tangan Aina lincah membancuh air yang diminta oleh Khidr. Tuan Khidr pula tolong tengok saja.

Wajah Aina dipandang. Aina lebih muda darinya namun dia selesa. Dia tidak pernah selesa sebegini dengan mana-mana wanita. Mungkin kerana dimatanya Aina seperti adik perempuan.

KHIDR-RELLAWhere stories live. Discover now