GELAS kaca kecil dan berbentuk bulat di atas meja diangkat. Air berwarna kekuningan di dalamnya seakan memanggil-manggil untuk diteguk sekali lagi.
Tidak sampai beberapa saat, gelas sudah kosong. Pekerja bar yang dikhaskan untuk berkhidmat hanya buat dia itu memenuhkan kembali gelas
Syed Tamim mengangkat wajah. Mata tajam menikam wajah pemuda di hadapan.
Pemuda yang terlihat sebaya seperti anak bongsunya. Ki....
Itu panggilan manja isteri tercinta kepada anak satu-satunya itu. Dia rindu. Pertama kali bertemu dengan Khidr dan isterinya, dia nekad akan melindungi mereka dari apa pun.
Tetapi kenapa Tuhan begitu kejam pada dia? Kenapa Tuhan tarik wanita yang dicintainya?
•••
"KI, INI AYAH KI. INI PULA ABANG YASIR DAN ABANG WAIS."
Syed Tamim senyum nipis. Sudah lama dia tidak ada anak kecil. Janggal berbalut gelisah memikirkan penerimaan Tuan Khidr kepada mereka sekeluarga.
Anak kecil yang baru mahu menginjak umur 3 tahun itu menyorok di belakang kerusi ibunya. Sesekali kepala terjengul memandang dia tiga beranak.
"Maaf, awak. Ki ni pemalu sedikit. Tapi kalau di rumah, dia yang paling lasak sekali," ujar wanita cantik di depannya. Wanita yang berjaya meruntuhkan tembok ego Syed Tamim.
Syed Tamim hanya melirik mata. Dia faham. Lagipun, dia sedar diri. Mereka orang miskin. Dia tidak mengharapkan apa-apa dari pertemuan kali ini. Syarat yang diletakkan sebelum berkahwin baru, mestilah keluarga pihak sana menerima dia dan anak-anak lelakinya dengan hati terbuka.
Dengan umurnya yang agak jauh dari wanita bernama Melur Amelia ini, hampir saja dia kuburkan anganan mahu bergandingan.
Tidak disangka, Amelia yang terlebih dahulu membuka langkah mengenali dirinya. Walaupun dia bukan sesiapa.
Amelia nampak begitu santai melayan kerenah anak-anak lelakinya. Wais dan Yasir pula langsung tidak malu-malu. Syed Tamim tahan senyum.
Kepala sedikit tergeleng. Memanglah anaknya tak malu-malu. Bila lagi mereka akan dapat makan makanan semewah dan sesedap ini. Wais dan Yasir pasti sudah bosan dihadapkan dengan nasib goreng yang dibeli di kedai mamak setiap hari. Tidak pun, nasi, telur dan kicap.
Senyum Syed Tamim mati sesaat tatkala kepala Tuan Khidr menjengah lagi dari belakang kerusi Amelia. Mata mereka bertembung.
Syed Tamim berpeluh dingin. Rasa macam sedang interview kerja pula. Walhal, seorang anak kecil saja yang dia perlu tawan.
Bibir cuba melakar senyum. Dan Tuan Khidr menyorok kembali di belakang kerusi. Senyum Syed Tamim beku. Tidak pasti apa yang dibenak anak kecil itu. Tidak sukakah kepada keluarganya?
Bukankah itu perkara biasa terjadi. Anak tidak suka ibunya ada keluarga lain. Lagi-lagi Tuan Khidr anak tunggal. Mesti dia rasa kasih sayang ibunya terbelah bahagi untuk dia dan anak-anak baru.
"Ki tak mahu makan?" Syed Tamim cuba berborak. Sepotong epal dihulurkan kepada Tuan Khidr.
Tangan kecil itu menjulur menyambut hulurannya.
Tersentuh. Tangan halus yang pernah menjadi milik Wais dan Yasir dulu, sekali lagi dia dapat menyentuhnya. Jiwa kebapaannya memang mudah terusik apabila melihat anak kecil. Saat-saat dimana dia berhempas pulas menjaga dan membesarkan anak-anak sendirian tanpa kehadiran isteri di sisi. Kerana itu juga yang membawa dia dan Amelia bersama.
Mereka saling memahami kepayahan dan kesukaran menjadi ibu dan bapa tunggal. Tanpa sedar, bertukar jadi cinta.
Amelia yang banyak bercakap itu memang selalu berborak isu Khidr dengannya dan dia sebagai bapa tunggal yang punya dua orang anak lelaki selalu menjadi penasihat.
YOU ARE READING
KHIDR-RELLA
RomanceHidup seorang Tuan Khidr umpama cerita cinderella. Dia punya keluarga tiri. Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan dia berada sepenuhnya dibawah jagaan ayah tiri dan juga adik beradik tiri. Tuan Khidr. Hanya dia sahaja yang tinggal untuk mewarisi...